Pagani, Racing Unleashed hasilkan simulator Huayra R yang ultra realistik

BAGI mereka yang terlepas peluang membeli Pagani Huayra R yang dilancarkan tiga tahun lalu, ini ada berita baik untuk anda.

Pengeluar hypercar itu menawarkan peluang untuk merasai pengalaman memandu jentera litar itu menerusi simulator Huayra R yang dihasilkan dengan kerjasama Racing Unleashed.

Menurut Pagani, simulator itu pada asalnya ditawarkan kepada pemilik Huayra R sahaja, namun kini ia boleh dibeli oleh sesiapa sahaja (yang berduit) menerusi rangkaian pengedarnya.

Harga mesin ini tidak dinyatakan namun kami boleh bayangkan yang ia jauh lebih murah berbanding sebuah Huayra R yang sebenar, yang dijual pada harga kira-kira 2.6 juta euro (RM13.2 juta) ketika dilancarkan pada 2021.

Seperti Huayra R yang sebenar, simulator ini dibina di kilang Pagani menggunakan mesin autoclave yang sama. Ia mempunyai badan gentian karbon yang dicat hijau, dengan trim merah dan nombor 10 pada bahagian sisi.

Malah menurut syarikat itu, keseluruhan setup termasuk stereng, pedal, kerusi dan tali pinggang adalah sama dengan kereta itu. Jadi secara asasnya pembeli mendapat sebuah Huayra R versi mini tanpa tayar dan enjin.

Simulator ini didatangkan dengan komputer gaming berprestasi tinggi dengan Assetto Corsa Pro, skrin melengkung, sistem audio 5.1 dan set kepala VR.

Untuk menjadikan pengalaman lebih realistik, ia juga mempunyai kicker yang berfungsi untuk memberikan efek gegaran pada tempat duduk. Malah bunyi enjin V12 di dalam permainan itu dirakam terus daripada Huayra R.

Simulator ini mempunyai ukuran panjang 3.11 meter dan lebar 1.7 meter. Sekiranya pemilik ingin membawanya ke mana sahaja di seluruh dunia dengan kapal terbang, mereka boleh menggunakan kotak kayu khas yang disertakan dengan setiap pembelian.

Pagani Utopia sebuah hypercar yang ringkas dan ringan, 852hp, 1,100Nm, pilihan manual 7-kelajuan

PAGANI telah mempertontonkan kepada dunia hasil terbaharu mereka iaitu Utopia. Hypercar ini merupakan versi produksi untuk C10.

Menurut Pagani, untuk menghasilkan Utopia ini, mereka telah bertanya kepada pelanggan-pelanggan sedia ada. Mereka meminta tiga benda: keringkasan, keringanan, dan keseronokan memandu.

Pagani Utopia dikuasakan oleh enjin 6.0-liter V12 dengan sudut 60 darjah. Enjin yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG ini menghasilkan 852hp pada 6,000rpm dan 1,100Nm tork dari 2,800 hingga 5,900rpm.

Pemilik boleh memilih antara manual automated 7-kelajuan yang mana Pagani berkata merupakan kotak gear dengan penukaran terpantas dengan gear helical. Terdapat juga pilihan manual sebenar dengan pedal klac, juga 7-kelajuan. Kuasa disalurkan ke roda belakang dengan differential elektro-mekanikal.

Berbanding dengan Huayra dan Zonda, Utopia ini mempunyai rekabentuk minimalistik. Pagani meletakkan elemen aerodinamik aktif dengan ringkas untuk menampakkan badan yang tidak keterlaluan.

Pagani Utopia ini dibina pada struktur Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62, manakala sub-bingkai depan dan belakang adalah besi Chromoly.

Badannya pula dibina dari bahan yang menurut Pagani, “gentian karbon A-class jenis baharu” yang 38 peratus lebih tegar tetapi mempunyai berat yang sama dengan bahan sebelumnya.

Ekzos quad dengan balutan seramik mempunyai berat cuma 6kg, dan kesemua bahan-bahan ringan ini menjadikan Utopia cuma seberat 1,280kg. Cukup ringan untuk sebuah hypercar.

 

Untuk suspensi, Utopia menggunakan double-wishbone dengan aluminium kukuh dan penyerap hentak dengan kawalan elektronik. Brek pula adalah Brembo karbon-seramik dengan 6-piston di depan dan 4-piston di belakang.

Rim depan dan belakang masing-masing berukuran 21-inci dan 22-inci. Rim-rim ini mempunyai ekstraktor gentian-karbon berbentuk turbin untuk ‘menyedut’ udara panas dari brek. Sementara itu tayar Pirelli mempunyai bentuk Utopia pada dinding tepinya.

Di bahagian dalam, Pagani Utopia tidak mengikut trend yang menggunakan banyak paparan digital. Hanya satu skrin tunggal antara speedometer dan tachometer analog.

Tiada paparan infotainmen, Pagani meletakkan banyak kawalan instrumen, suis dan panel pendingin hawa di bahagian konsol tengah. Stereng dan pedal dihasilkan dari blok besi.

Pagani tidak mendedahkan harganya atau bila penghataran akan bermula. Apa yang pasti, hanya 99 unit Utopia akan dibina.

Pagani batalkan R&D untuk EV, akan terus gunakan enjin V12

PAGANI pernah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kereta elektrik (EV) pada 2018. Walaubagaimanapun hari ini, empat tahun kemudian, syarikat itu mengumumkan mereka akan membatalkan terus hasrat membangunkan kereta jenis itu.

Horacio Pagani sendiri mendedahkan berita itu kepada Autocar pada pameran motor Milan Monza di Itali bulan lepas.

Penyelidikan Pagani mendapati bahawa supercar elektriknya akan memerlukan 600kg bateri, yang mana Autocar menyatakan lebih dari separuh berat keseluruhan Huayra R (1,070kg).

Menurut Horacio, EV terlalu berat untuk supercar dan kurang aspek emosi pemanduan. Beliau sendiri membeli sebuah Tesla untuk memahami EV dengan lebih baik, dan percaya bahawa supercar elektrik perlu lebih dari prestasi semata-mata, dan telah dicapai hari ini.

Sebagai contoh, Kia EV6 GT menghasilkan 577hp dan mampu mencapai 100km/j sepantas 3.5 saat. Cabarannya, menurut Horacio, ialah untuk memberikan EV sensasi seperti terdapat pada kereta petrol biasa. Ini tidak dapat dicapai apabila bateri masih terlalu berat.

Horacio berkata dia mengimpikan untuk membina EV seberat 1,300kg tetapi memberitahu kepada Autocar bahawa ia tidak dapat dihasilkan. Malah, Pagani akan terus mengeluarkan supercar berkuasa V12 yang diperolehi dari Mercedes-Benz.

Syarikat itu pada 2019 mengumumkan mereka akan menggunakan V12 Mercedes sehingga 2026, dan enjin itu akan menjadi nadi kepada Pagani C10 yang akan dilancarkan pada September nanti.

Pagani juga tidak menemui sebarang minat dalam pasaran supercar EV. Walaubagaimanapun, Horacio menyatakan mereka akan terus melabur dalam R&D ini kerana tahu bawaha citarasa pelanggan dan situasi pasaran boleh berubah.