Lotus Emeya pecah rekod EV terpantas di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang

Lotus Emeya menetapkan tanda aras baharu prestasi kenderaan elektrik (EV) di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, baru-baru ini.

Dengan menggunakan varian tertinggi Emeya R dan dipandu oleh pelumba GT Daniel Lu, hyper-GT elektrik penuh itu berjaya mencatatkan masa 2:20.317, atau 7 saat lebih pantas berbanding rekod terdahulu.

Lotus Emeya R yang digunakan dalam sesi ini merupakan unit produksi standard sepenuhnya tanpa sebarang ubah suai.

Program pertama di Asia Tenggara

Ini merupakan Time Attack rasmi kedua Lotus di SIC serta program prestasi elektrik pertama jenama itu di Asia Tenggara.

Malaysia dipilih kerana kedudukannya sebagai pasaran utama Lotus di rantau ini, selain menjadi pentas ideal untuk mempamerkan warisan sukan permotoran, falsafah kejuruteraan dan DNA prestasi Lotus.

Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang terkenal sebagai antara litar yang mencabar di Asia.

Ia menggabungkan laluan lurus berkelajuan tinggi, serta selekoh pantas dan perlahan yang menuntut pecutan, brek, aerodinamik dan keseimbangan casis yang tepat.

Tahun lalu, Lotus Emira berjaya mencatat masa 2:27.932 yang dipandu oleh ikon sukan permotoran Malaysia, Tengku Djan Ley.

Spesifikasi Lotus Emeya

Lotus Emeya R dipacu oleh dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 905 PS dan 985 Nm.

Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 2.8 saat sementara kelajuan maksimum 248.8 km/j dicatatkan di litar Sepang.

CEO Lotus kritik kereta sendiri? Kata model lebih 1,800 kg ‘biasa sahaja’

CEO Lotus, Feng Qingfeng kini menjadi perhatian selepas kenyataan beliau mengenai berat kereta sport dilihat bercanggah dengan barisan model semasa jenama itu sendiri.

Menurut laporan CarNewsChina, Qingfeng berkata mana-mana kereta sport yang melebihi 1,800 kg boleh dianggap “mediocre” atau biasa sahaja. Kenyataan itu dilihat memakan diri kerana realitinya, berat kebanyakan model semasa Lotus sudah pun melebihi angka tersebut. Ini termasuk hypercar Evija yang mempunyai berat sekitar 1,900 kg.

Situasi ini secara tidak langsung membuatkan kenyataan beliau kelihatan ironik, seolah-olah model paling eksklusif Lotus sendiri tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh ketua eksekutifnya.

Sasaran berat lebih ringan jadi hala tuju baharu?

Walaupun kenyataan Qingfeng mengundang kontroversi, ia mungkin memberi gambaran arah tuju masa depan Lotus. Jenama itu sememangnya terkenal dengan falsafah “light is right”, dan Qingfeng dilihat mahu mengembalikan fokus kepada nisbah kuasa-berat yang lebih ekstrem.

Jika ditafsir secara positif, Lotus mungkin sedang menuju ke arah sasaran berat sekitar 1,800 kg untuk model prestasi akan datang, sesuatu yang lebih selari dengan DNA asal jenama tersebut.

Supercar V8 hibrid 1,000 hp dalam perancangan

Menariknya, Lotus kini sedang membangunkan sebuah supercar V8 hibrid yang dijangka menghasilkan lebih 1,000 hp. Model yang buat masa ini dikenali sebagai Type 135 itu dilihat sebagai calon utama untuk menguji pendekatan baharu ini.

Jika Lotus berjaya mengekalkan berat rendah pada platform tersebut, gabungan enjin V8 hibrid dan casis ringan berpotensi menghasilkan nisbah kuasa-berat yang sangat ekstrem.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan prestasi garis lurus, tetapi juga memberi pengalaman pemanduan yang lebih tajam dan “pure”, sesuatu yang selama ini menjadi identiti Lotus.

Lotus Emira 420 Sport: paling berkuasa, lebih ringan dan aerodinamik setakat ini

Ucapkan selamat datang kepada Lotus Emira 420 Sport, varian tertinggi dan paling ekstrem pernah dibina.

Ini kerana ia hadir dengan pakej enjin yang lebih bertenaga, lebih ringan dan lebih aerodinamik berbanding Emira sedia ada.

Kuasa cecah 420 PS

Enjin 4-silinder sebaris 2.0 liter turbo itu kini mampu menjana kuasa setinggi 420 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 500 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300 km/j.

Lebih aerodinamik

Bahagian luar Emira 420 Sport mendapat ciri unik termasuklah:

  • splitter hadapan
  • liang hadapan yang disemak semula
  • bukaan kemasukan udara yang lebih besar
  • spoiler lip
  • tailgate louvre gaya Esprit Turbo

Perubahan ini menyumbang kepada peningkatan aliran udara ke radiator serta penyejukan brek 10 peratus lebih baik.

Selain itu, tetapan suspensi Emira telah disemak semula selain merendahkan ketinggian kereta sebanyak 5 mm, menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik.

Pakej lebih ringan

Emira 420 Sport turut ditawarkan dengan pakej Lightweight Handling Pack terdiri daripada:

  • peredam Multimatic boleh laras 2-tahap
  • set ekzos titanium
  • bateri lithium-ion
  • komponen gentian karbon
  • aplikasi Lotus Track Performance

Dengan pakej ini, Emira 420 Sport menjadi 25 kg lebih ringan berbanding Emira Turbo dan berupaya menjana 25 kg tambahan daya mendap.

Ruang kabin

Pemandu kini disediakan paddle shifter gentian karbon baharu serta tempat duduk larasan 12-tahap yang dapat menyokong pemanduan di atas jalan raya dan di dalam litar.

Buat pertama kalinya, semua varian Emira ditawarkan dengan panel bumbung kaca mudah alih.

Diinspirasikan daripada Esprit, pemandu boleh menikmati konfigurasi coupe dan open top pada bila-bila masa.

Panel kaca itu tadi boleh disimpan di dalam beg khas dan diletakkan di belakang tempat duduk.

Pakej opsyen

Emira 420 Sport turut tersedia dengan pakej gentian karbon di bahagian luar, seperti:

  • splitter hadapan
  • ambang sisi
  • liang gerbang roda
  • pod sisi
  • spoiler belakang
  • diffuser

Pembeli boleh mendapatkan sehingga sembilan rekaan dan kemasan rim termasuklah rim aloi tempa 20 inci warna satin dark grey.

Selain itu, terdapat dua pakej opsyen baharu yang boleh ditambah seperti:

  • Carbon Fibre Pack – kemasan geometri unik pada perumah meter kluster, jejari roda stereng dan kemasan belakang tempat duduk
  • Hand Painted Pack – kemasan warna Tangelo Orange pada konsol tengah, jejari roda stereng, tuil gear dan corong pendingin udara

Harga

Di pasaran UK, Lotus Emira 420 Sport dijual pada harga dari £105,900 (RM566 ribu).

Tiada lagi enjin Toyota & Mercedes-AMG, Lotus Emira bakal dapat enjin V6 baharu Horse Powertrain

Setelah bertahun-tahun bergantung kepada enjin buatan Toyota dan Mercedes-AMG, Lotus akhirnya membuat keputusan untuk beralih kepada enjin V6 buatan Horse Powertrain.

Enjin 3.0L turbo hibrid bentangan V6 baharu Horse itu dijangka akan muncul dalam Lotus Emira facelift hujung dekad ini.

Dalam satu temubual bersama Autocar, CEO Lotus Feng Qingfeng mengesahkan enjin V6 itu akan menggantikan nadi V6 Toyota dan empat silinder AMG sedia ada.

Kuasa lebih 500 hp

Enjin baharu itu dikatakan mampu menghasilkan 536 hp dan 700 Nm.

Kelebihannya sudah pasti berat yang lebih ringan di mana nadi V6 ini dianggarkan 10 kg lebih ringan berbanding mana-mana enjin V6 dalam pasaran, dan hampir sama dengan enjin 4-silinder 2.0L.

Nadi V6 itu akan dipadankan dengan transmisi automatik serta motor elektrik terbina dalam untuk kuasa tambahan dan emisi lebih rendah.

Pasaran AS, regulasi EU jadi penentu

Antara sebab kenapa enjin V6 dipilih adalah permintaan yang cukup memberangsangkan terutama daripada pasaran Amerika Syarikat.

Menurut Feng, kebanyakan pelanggan di sana lebih menggemari enjin V6, dan tidak menghairankan apabila Emira V6 merupakan model yang paling laris terjual.

Selain itu, enjin V6 sedia ada daripada Toyota sememangnya dalam proses untuk digantikan.

Ini kerana ia kini sukar untuk memenuhi keperluan regulasi EU yang semakin ketat, memaksa Horse untuk menghasilkan enjin baharu.

Boleh jadi asas untuk enjin V8 baharu

Tahukah anda, enjin V6 baharu ini sebenarnya menggunakan asas daripada nadi empat silinder sedia ada?

Menurut CEO Horse Matias Giannini berkata, enjin V6 baharu ini mempunyai dimensi yang kompak dan ringan kerana menggunakan asas daripada enjin yang lebih kecil.

Teknologi binaan modular itu membolehkan Horse mampu membesarkan atau mengecilkan enjin dengan mudah, termasuklah mencipta nadi V8 baharu berasaskan V6 untuk kegunaan supercar Lotus akan datang.

Tiada permintaan untuk Emira EV

sekadar hiasan

Antara sebab lain kenapa enjin V6 menjadi tumpuan utama Lotus ialah projek kereta sports elektrik yang tidak menjadi.

Lotus pada mulanya merancang untuk menghasilkan kereta sports elektrik pengganti Emira menerusi kerjasama dengan Alpine.

Namun begitu, projek tersebut dibatalkan apabila mereka mendapati tiada permintaan bagi model sifar emisi tersebut.

Lotus Type 135 – Supercar dengan nadi V8, kuasa lebih 1,000 hp, ganti Esprit?

Lotus dilapor sedang menghasilkan sebuah model supercar dengan nadi V8, iaitu Type 135.

Kali terakhir Lotus ‘bermain’ dengan enjin V8 ialah pada tahun 2004 di mana ia merupakan tahun di mana produksi Esprit ditamatkan secara rasmi.

Kini, nadi tersebut akan muncul semula dalam barisan produk Lotus dalam bentuk yang lebih berkuasa dan ekstrem.

Type 135 – supercar pertama Lotus

Type 135 bakal menjadi supercar pertama Lotus dan bakal dilancarkan pada tahun 2028.

Dalam barisan produk sedia ada, Type 135 akan diposisikan ditengah-tengah antara kereta sports Emira dan hypercar Evija.

Model baharu ini akan dilengkapi dengan enjin bentangan V8 hibrid dengan output melebihi 1,000 hp!

Enjin V8 Mercedes-AMG? Toyota?

Buat masa ini, pihak Lotus tidak mengumumkan sebarang perincian tentang enjin yang bakal digunakan pada Type 135.

Buat masa ini, Lotus memperoleh enjin pembakaran dalaman untuk kegunaan Emira daripada dua pembekal, iaitu Mercedes-AMG dan Toyota.

Lebih menarik perhatian, kedua-dua OEM tersebut sedang membangunkan nadi V8 serba baharu yang bakal debut secara rasmi tahun ini.

Jadi, yang mana satu akan jadi pilihan? Enjin V8 Mercedes-AMG atau nadi hibrid turbo berkembar GR?

Bukan hibrid pertama Lotus

Sayang sekali, Type 135 bukanlah kereta hibrid pertama keluaran Lotus.

Status tersebut dipegang oleh Lotus Eletre PHEV yang sudah ditawarkan di pasaran China dengan kuasa keseluruhan 939 hp.

Nama Esprit bakal digunakan kembali?

Satu lagi persoalan besar yang timbul ialah adakah nama Esprit akan dihidupkan semula?

Jika dilihat daripada sudut warisan, pendekatan itu dilihat masuk akal berbanding menggelarkannya sebagai Emira versi naik taraf.

Malah dari segi reka bentuk, ia juga menunjukkan inspirasi daripada konsep Theory 1 yang diperkenalkan pada September 2024.

Bagaimana dengan Emira?

Model Type 135 ini merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan baharu Focus 2030 yang diumumkan oleh Lotus.

Dalam masa terdekat, Lotus juga akan memperkenalkan Emira versi kemas kini dengan enjin yang dipertingkat dan diet pengurangan berat badan.

Lotus Eletre & Emeya 600 2026 kini di Malaysia – harga dari RM489,000

Lotus Cars Malaysia mengumumkan ketibaan model EV Lotus Eletre dan Emeya yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Lotus Emeya 600 2026 – RM489,000
  • Lotus Eletre 600 2026 – RM499,000

Naik taraf spesifikasi

Kedua-dua model itu tadi mendapat naik taraf kelengkapan, seperti:

  • Active Rear Spoiler
  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • tali pinggang keledar tiga-warna gelap
  • sistem pencahayaan ambien

Selain itu, terdapat juga pilihan naik taraf rim saiz besar (21 inci untuk Emeya atau 22 inci untuk Eletre), tayar Pirelli P Zero dan angkup brek 6-omboh.

Kelengkapan standard lain masih lagi dikekalkan seperti:

  • sistem suspensi udara adaptif dengan Continuous Damping Control (CDC)
  • sistem audio premium KEF
  • kawalan iklim empat-zon
  • skrin paparan head-up 29 inci
  • lampu matriks LED

Terdapat pelbagai pilihan warna tersedia seperti Zenith White, Kaimu Grey dan Stellar Black, serta warna istimewa seperti:

  • Galloway Green
  • Boreal Grey
  • Fireglow Orange
  • Solar Yellow

Prestasi

Lotus Eletre dan Emeya varian 600 ini dikuasakan oleh sistem motor elektrik berkembar dan pacuan semua roda (AWD).

Dengan hamburan kuasa 610 hp dan 710 Nm, Lotus Emeya 600 boleh memecut sepantas 4.15 saat dari 0-100 km/j.

Sementara Eletre 600 pula mengambil masa 4.5 saat.

Kedua-dua model ini dilengkapi pek bateri 102 kWh, dengan jarak pandu sejauh 580 km (Emeya cecah 610 km) untuk sekali cas penuh.

Lebih 300 EV Lotus atas jalan raya

Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif Karrus Automotive Group, “Pengenalan Lotus Eletre dan Emeya MY27 ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membawakan kenderaan elektrik berprestasi terbaik Lotus ke Malaysia.”

Jelasnya lagi, sehingga kini sudah lebih 300 kenderaan elektrik Lotus didaftarkan di Malaysia.

Lotus Emira Turbo Bathurst Edition 2026: 503 hp, 15 unit sahaja untuk Australia, harga RM692k

Lotus telah memperkenalkan versi Emira paling ganas iaitu Emira Turbo Bathurst Edition 2026 dan seperti yang boleh dijangka, ia hanya ditawarkan untuk pasaran Australia.

503 hp untuk takluk Mount Panorama

Dibangunkan oleh pengedar rasmi Lotus di Australia, Simply Sports Cars, edisi Bathurst ini menaikkan prestasi Emira Turbo ke satu aras baharu. Enjin 2.0 liter turbo empat silinder M139 daripada AMG kini ditala sehingga 503 hp dan 600 Nm, 144 hp dan 180 Nm lebih tinggi berbanding versi standard.

Walaupun mengalami naik taraf yang signifikan, kuasa masih disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar lapan kelajuan. Dengan 503 hp, Bathurst Edition secara rasminya adalah Emira paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini.

Naik taraf bukan sekadar pada enjin. Ia turut menerima penyerap hentak boleh laras tiga tahap, tetapan jajaran roda baharu serta tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih melekit. Sistem brek juga dipertingkat dengan angkup empat omboh AP Racing bersama cakera berkembar pada bahagian depan dan belakang.

Pengeluaran dihadkan kepada hanya 15 unit, setiap satu didatangkan dengan nombor siri tersendiri. Menurut Lotus, satu daripadanya sudah pun ditempah.

Luaran: Aero gaya GT4

Dari segi penampilan, perubahan jelas kelihatan menerusi splitter gentian karbon pada bahagian depan, manakala di belakang terdapat sayap besar ala GT4 untuk membantu kestabilan pada kelajuan tinggi.

Livery khas berinspirasikan GT4 serta logo unik pada bahagian sisi dan belakang membezakan model ini daripada Emira biasa. Pembeli hanya boleh memilih warna rim, manakala spesifikasi selebihnya adalah tetap.

Dalaman: Ringkas tetapi eksklusif

Ruang kabin Bathurst Edition hampir sama seperti Emira standard. Perubahan utama hanyalah plak khas yang menunjukkan nombor siri pengeluaran bagi menandakan status edisi terhad.

Di Australia, model ini ditawarkan pada harga AUD249,990 (RM692,044) dan setiap pembeli akan turut mendapat jemputan ke acara track day khas Lotus di Mount Panorama pada tahun 2027, di mana mereka boleh benar-benar menguji kemampuan jentera ini.

Lotus bagi nama yang agak pelik untuk Eletre PHEV: For Me

Lotus China mengumumkan ketibaan Eletre varian plug-in hybrid (PHEV) untuk pasaran China dengan membawakan nama yang cukup aneh: For Me.

Menurut laporan CarNewsChina, Lotus For Me bakal dilancarkan secara rasmi pada suku pertama 2026.

Dari segi dimensi, Eletre PHEV ini tidak membawakan perbezaan yang ketara berbanding versi EV, dengan ukuran panjang 5,103 mm, lebar 2,019 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak antara roda 3,019 mm.

Ia turut dilengkapi sistem brek Brembo dengan angkup enam omboh di depan, spoiler aktif serta tayar kustom Pirelli P Zero 5 LTS.

Aspek pengendalian ditambah baik dengan sistem suspensi jenis dual-chamber, dual-valve dengan ciri Kawalan Redaman Berterusan (CDC), peredam adaptif serta bar pengimbang adaptif.

Sistem plug-in hybrid yang dimuatkan pada Lotus For Me ini terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo dengan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

Kuasa maksimum mencapai 952 hp untuk membolehkan pecutan sepantas 3.3 saat dari 0-100 km/j.

Dengan senibina 900V, bateri 70 kWh itu boleh dicas sepantas 8 minit dari 30-80 peratus SoC.

Jarak gerak sifar emisi pula boleh mencecah sehingga 420 km (data CLTC).

Buat masa ini, Lotus masih belum mendedahkan harga jualan sebenar untuk model For Me ini.

Lotus Malaysia perkenal Eletre 600 – harga bermula RM499,000

Lotus Cars Malaysia mengemas kini penawaran SUV elektrik Lotus Eletre untuk pasaran Malaysia.

Sama seperti pendekatan yang dibuat pada Emeya, Lotus Eletre 2025 kini menerima nama model baharu, iaitu Eletre 600 dan Eletre 900 selari dengan strategi global pengeluar tersebut.

Terdapat lima varian yang ditawarkan, iaitu Eletre 600, Eletre 600 GT SE, Eletre 600 Sport SE, Eletre 900 Sport dan Eletre 900 Sport Carbin.

Perinciannya seperti berikut:

Lotus Eletre 600 (RM499,000)
– tetapan dua motor elektrik (603 hp, 710 Nm)
– bateri 112 kWh
– jarak gerak 580 km (data WLTP)
– suspensi udara aktif dengan Continuous Damping Control
– rim 20 inci

Lotus Eletre 600 GT SE (RM569,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Parking Pack
– rim aloi 21 inci
– sistem brek angkup enam omboh

Lotus Eletre 600 Sport SE (RM649,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Lotus Dynamic Handling Pack
– Spoiler belakang aktif

Lotus Eletre 900 Sport (RM769,000)
– tetapan dua motor elektrik (905 hp, 985 Nm)
– transmisi dua nisbah kelajuan
– jarak gerak 490 km (data WLTP)
– Lotus Dynamic Handling Pack
– Spoiler belakang aktif

Lotus Eletre 900 Sport Carbon (RM839,000)
(tambahan kepada ciri di atas)
– Extended Exterior Carbon Pack

Untuk ruang kabin, secara standard Lotus Eletre didatangkan dengan sistem audio premium KEF 15 pembesar suara, skrin paparan head-up 29 inci, kawalan iklim empat zon serta kemasan Jasper berserta fabrik LotusWear Performance.

Ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien, plet ambang pintu bercahaya, fungsi urut dan pengudaraan, pintu tutup lembut, serta tema dalaman Quartz (bergantung kepada varian).

Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif dan Pengasas Karrus Automotive Group, sehingga kini terdapat lebih 250 buah Eletre di atas jalan raya.

“Dengan pengenalan Siri 600, kami yakin angka ini akan berterusan meningkat,” ujarnya.

Lotus Emeya 2025 dikemas kini – 5 varian, harga dari RM459,000

Lotus Cars Malaysia mengumumkan kemas kini terhadap penawaran hyper-GT Lotus Emeya, di mana ia kini menampilkan struktur nama baharu selaras dengan strategi global Lotus.

Untuk model tahun 2025, Lotus Emeya boleh didapati dalam lima varian utama, iaitu Emeya 600, Emeya 600 GT SE, Emeya 600 Sport SE, Emeya 900 Sport dan Emeya 900 Sport Carbon.

Secara standard, Lotus Emeya dibekalkan dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Untuk varian Emeya 600, unit pacuan tersebut berupaya menghasilkan 603 hp/710 Nm, sementara varian Emeya 900 pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Pek bateri 102 kWh NMC mampu membenarkan jarak pandu sejauh 610 km, atau sehingga 580 km untuk varian 900.

Dari segi kelengkapan, Emeya 600 hadir dengan rim bersaiz 20 inci, sementara Emeya 600 GT SE pula dilengkapi dengan rim aloi 21 inci, angkup brek enam omboh, bumbung kaca panorama dan pintu tailgate bebas tangan.

Varian Emeya 600 Sport SE pula tampil dengan pakej pengendalian Lotus, spoiler belakang aktif, diffuser belakang aktif, serta air dam hadapan aktif.

Masuk kepada varian Emeya 900 Sport, ia dibekalkan dengan spoiler belakang aktif, manakala varian Emeya 900 Sport Carbon pula mendapat kelengkapan ekstra seperti air dam hadapan aktif, diffuser belakang aktif, serta pakej karbon di bahagian luar.

Ruang kabin Emeya mendapat kelengkapan seperti sistem audio KEF Premium dengan 15 pembesar suara, skrin paparan HUD 29 inci, kawalan iklim empat zon, serta padanan fabrik LotusWear Performance.

Varian yang lebih tinggi mendapat sistem pencahayaan ambien, pakej tempat duduk berventilasi dan fungsi urut, serta pintu jenis tutup-lembut.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Lotus Emeya 600 – RM459,000
  • Lotus Emeya 600 GT SE – RM519,000
  • Lotus Emeya 600 Sport SE – RM599,000
  • Lotus Emeya 900 Sport – RM699,000
  • Lotus Emeya 900 Sport Carbon – RM729,000

Tempahan bagi model Emeya 2025 kini dibuka menerusi pusat pameran di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang.

Penghantaran kumpulan pertama pula dijangka akan bermula pada September 2025.

Lotus Emira ditambah baik untuk 2026 – lebih selesa, penukaran gear lebih tepat

Lotus telah memperkenalkan barisan model Emira untuk tahun 2026, yang menampilkan varian V6 SE sebagai varian flagship dan Turbo sebagai varian entry level, diposisikan di bawah varian Turbo SE yang sedia ada.

Kedua-dua model baharu ini menerima penambahbaikan teknikal yang meningkatkan prestasi serta keselesaan pemanduan harian.

Emira V6 SE mengekalkan enjin 3.5 liter V6 supercaj dengan kuasa mencecah 400 hp dan 430 Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat.

Kotak gear manual enam kelajuan dengan cagak mampatan baharu disediakan secara standard, memberikan penukaran gear yang lebih tepat, manakala transmisi automatik ditawarkan sebagai pilihan.

Sistem suspensi turut ditala semula dengan penyelarasan peredam dan penjajaran roda yang lebih baik bagi meningkatkan kestabilan dan keselesaan. Bergantung kepada keperluan, pemandu boleh memilih antara tetapan casis Tour atau Sport.

Dari segi penampilan, Emira V6 SE didatangkan dengan rim aloi tempa bersaiz 20 inci bersama angkup brek berwarna merah, kemasan Black Pack dan lencana V6 SE eksklusif. Bahagian dalamnya menggunakan kemasan Alcantara dengan pedal sukan.

Pembeli boleh memilih daripada 15 pilihan warna luaran, termasuk dua warna baharu EOS Green dan Purple Haze metalik, serta tujuh tema dalaman. Harga bagi Emira V6 SE bermula dari £96,500 (RM552,590) di UK.

Varian Turbo pula menjadi model asas dalam barisan Emira, dilengkapi enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang dibekalkan oleh AMG. Dengan 360 hp dan transmisi dwi-klac lapan kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.4 saat.

Di UK, Emira Turbo boleh didapati pada harga permulaan £79,500 (RM455,240).

Secara amnya, kedua-dua varian Emira telah diberikan pelbagai penambahbaikan teknikal termasuk sistem penyejukan yang diubah suai untuk aliran lebih baik ke penyejuk minyak transmisi dan radiator utama.

Sistem penyaman udara ditala semula untuk prestasi lebih baik dalam suhu tinggi, manakala suhu operasi termostat enjin dinaikkan daripada 65°C kepada 75°C bagi meningkatkan pemanasan dan prestasi dalam keadaan ekstrem.

Selain itu, transmisi dwi-klac juga telah dikalibrasi semula untuk penukaran gear yang lebih pantas dan lancar.

Dari segi keselamatan, Emira didatangkan standard dengan sistem bantuan pemandu ADAS. Ia merangkumi ciri-ciri seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition dan Fatigue Detection.

Pelanggan boleh mendapatkan Extended Co-Driver Pack yang menambah Adaptive Cruise Control (untuk transmisi automatik sahaja), Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan High Beam Assist.

Emira 2026 akan dilancarkan secara rasmi di UK pada September tahun ini, namun tempahannya kini telah dibuka.

Lotus Emira bakal dapat nadi V8 ganti enjin V6

Lotus Emira kini merupakan satu-satunya kereta sports berenjin pembakaran dalaman tulen yang masih lagi ditawarkan oleh Lotus untuk para peminatnya.

Sebelum produksi model ini ditamatkan pada tahun 2027, Lotus dilapor mempunyai perancangan untuk menambah baik penawaran model ini, khususnya untuk pasaran Amerika Syarikat.

Berdasarkan laporan terkini daripada Autocar, Lotus sedang mempertimbangkan nadi bentangan V8 untuk dimuatkan pada Emira.

CEO-nya, Feng Qingfeng berkata jenama itu sedang meneroka kebolehlaksanaan nadi V8 bagi menggantikan enjin bentangan V6 yang diguna pakai pada ketika ini.

Lotus Emira boleh didapati dengan nadi V6 pengecas lampau 3.5 liter yang disumberkan daripada Toyota, atau pilihan enjin 2.0 liter daripada Mercedes-AMG.

Feng menolak cadangan untuk menaikkan kuasa nadi V6 tersebut kerana enjin Toyota itu dikatakan tidak lagi mampu untuk memenuhi piawaian Euro 7 yang lebih ketat.

Lotus sebelum ini berhasrat untuk menghentikan penawaran model V6 secara beransur-ansur bagi memberikan ruang kepada model bernadikan AMG.

Namun dengan permintaan yang agak memberangsangkan untuk model enam silinder di Amerika Syarikat, ia mendorong Lotus untuk mempertimbangkan cadangan memasang enjin yang lebih besar.

CEO Lotus Eropah, Matt Windle memberitahu Autocar, “Amerika Syarikat merupakan pasaran terpenting kami. Jadi kami sedang meneliti permintaan pasaran supaya produk tersebut dapat diteruskan pada masa depan.

Jelasnya lagi, pihaknya sedang meneliti beberapa pilihan yang dapat diguna pakai untuk memastikan potensi penuh Emira dapat diteroka, termasuklah memadankan enjin daripada pembekal sedia ada – besar kemungkinan Mercedes-AMG.

Lotus Emira Clark Edition – tribut kepada pelumba hebat F1 era 60-an

Jim Clark diiktiraf sebagai salah seorang pelumba sukan Formula Satu yang paling hebat di dalam sejarah.

Sebagai salah satu tanda penghargaan terhadap insan tersebut, Lotus kini menawarkan kereta sports edisi terhad Emira Clark Edition.

Penampilan luaran Emira ini diinspirasikan daripada jentera lumba Lotus Type 38, dengan layangan warna Clark Racing Green berserta jalur kuning.

Kereta ini turut diserikan dengan bumbung hitam, perumah cermin sisi perak dan tip ekzos kuning.

Tidak ketinggalan, penutup tangki bahan api berwarna biru, serta lencana Clark Edition pada hujung pintu.

Ruang kabin Emira diserikan dengan warna dua tona hitam merah, seperti tema yang digunakan pada jentera Team Lotus era 60-an.

Selain daripada unsur-unsur penghargaan kepada Jim Clark, Lotus Emira Clark Edition juga membawakan tema klasik menerusi penampilan tombol gear manual yang diperbuat daripada kayu.

Lotus Emira Clark Edition menggunakan model Emira V6 sebagai asas, dengan enjin V6 Toyota yang mampu menjana kuasa kuda 400 hp dan 420 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual.

Produksi untuk Emira edisi terhad ini akan dihadkan kepada 60 unit sahaja dan hanya boleh didapati di pasaran tertentu.

Untuk makluman, harga jualan Lotus Emira Clark Edition bermula dari £115,000 (RM647,342) di pasaran UK.

Lotus Eletre raih dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of the Year 2024

Tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cukup bermakna buat Lotus Cars Malaysia.

Sepanjang tempoh 12 bulan tersebut, Lotus Malaysia telah berjaya menjual sebanyak lebih 200 unit SUV elektrik Lotus Eletre, diikuti 20 unit kereta sports Lotus Emira.

Bukan itu sahaja, Lotus Eletre juga berjaya mengungguli bukan satu, tapi dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of The Year 2024 (MCOTY), iaitu SUV of The Year (atas RM500k) dan xEV of the Year 2024 (atas RM300k).

Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun 2023, Lotus Eletre merupakan SUV elektrik pertama jenama Lotus yang membawakan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Dengan padanan pek bateri 112 kWh, Lotus Eletre mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 600 km atau 490 km untuk Eletre R.

Lotus buat u-turn, batal perancangan jadi jenama EV

Keengganan pembeli kereta mewah untuk beralih kepada EV membuatkan Lotus terpaksa membatalkan perancangan asal untuk menjadi jenama EV sepenuhnya pada tahun 2028.

Perubahan tersebut disahkan oleh CEO Lotus, Feng Qingfeng ketika berdepan dengan para pengamal media di acara Guangzhou Motor Show baru-baru ini.

“Saya percaya kenderaan bahan api masih lagi mempunyai tempoh kitaran yang panjang”, sambil menyatakan kebanyakan pemandu Lotus memandu sejauh 30,000 km setahun secara purata.

Ini bermakna, jarak gerak adalah satu faktor penting buat pelanggan dan membuatkan sebahagian mereka tidak begitu tertarik untuk beralih kepada EV.

Menurut Qingfeng, masalah kebimbangan jarak bukanlah satu-satunya isu yang dibangkitkan.

“Kadar penembusan kenderaan elektrik tulen dalam segmen kereta mewah adalah perlahan disebabkan enjin kereta mewah sudah sedia berkuasa dan pengalaman pemanduan yang serupa dengan enjin lapan dan 12 silinder menunjukkan prestasi yang baik.

“Peningkatan kuasa yang ditawarkan tidak begitu ketara, membuatkan sesetengah pelanggan tidak begitu berminat untuk beralih,” ujarnya lagi.

Feng Qingfeng menjelaskan, Lotus akan membangunkan teknologi “Super Hybrid” yang menampilkan pengecasan ultra-pantas 900 voltan, serta enjin pembakaran dalaman dengan induksi paksaan turbo untuk menawarkan jarak gerak sejauh 1,094 km.

Lotus buat masa ini tidak mendedahkan model mana yang bakal menerima sistem hibrid baharu ini, namun besar kemungkinan ia lebih sesuai untuk dimuatkan pada model seperti Eletre dan Emeya, berbanding kereta sports seperti Emira.

Lotus Cars Malaysia buka cawangan di Pulau Pinang, yang pertama di luar Lembah Klang

Lotus Cars Malaysia telah melancarkan cawangan ketiganya bagi mengukuhkan kehadirannya di negara ini.

Di samping cawangan di Pavilion Damansara Heights dan Glenmarie Kuala Lumpur, Lotus Store Pulau Pinang menjadi cawangan pertama Lotus yang terletak di luar Lembah Klang sejak beroperasi di negara ini 28 tahun lalu.

Terletak secara strategik di No 2A-01-02, Jalan Penang, 10000 Georgetown, Pulau Pinang, cawangan baharu ini mempamerkan dua model Lotus iaitu Emira dan Eletre, serta ruang konfigurator di mana pelanggan boleh memilih warna dan kemasan untuk kenderaan Lotus mereka.

“Pulau Pinang adalah lokasi yang sangat penting dan strategik untuk Lotus Cars Malaysia, dan kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan kemudahan yang beroperasi sepenuhnya ini pada tahun 2024,” kata Pengarah Eksekutif Lotus Cars Malaysia, Mohamad Reza bin Abdul Mutalib.

Untuk pasaran Malaysia, Lotus Cars Malaysia menawarkan barisan lengkap Lotus yang terdiri daripada SUV prestasi elektrik iaitu Eletre, Hyper GT elektrik iaitu Emeya dan kereta sport enjin-tengah iaitu Emira.

Selain versi asas, Eletre dan Emeya juga boleh didapati dalam versi S dan R, manakala Emira ditawarkan dalam versi First Edition, First Edition V6, Turbo dan Turbo SE.

Sempena pembukaan Lotus Store Pulau Pinang, pelanggan yang membeli Lotus Emira akan menikmati pengalaman melawat kilang Lotus di Hethel, United Kingdom pada April dan Oktober 2025.

Bukan itu sahaja, mereka juga berpeluang untuk memandu Emira di litar ujian Lotus yang ikonik.

Selain itu, Lotus Cars Malaysia juga menawarkan pelan pembiayaan untuk Eletre dengan ansuran bulanan bermula dari RM6,388.

Lotus Theory 1, konsep supercar tiga tempat duduk berkuasa 1,000 PS

Lotus nampaknya masih lagi belum jemu untuk terus memperkenalkan model pantas berkuasa elektrik.

Terbaharu, pengeluar Britain itu memperlihatkan sebuah model konsep yang digelar sebagai Lotus Theory 1.

Supercar berkuasa elektrik itu membawakan tetapan dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda yang mampu menjana kuasa 1,000 PS.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa kurang daripada 2.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.

Pek bateri 70 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 402 km untuk sekali cas penuh.

Binaan casis karbon turut membantu mengekalkan berat badan kurang daripada 1,600 kg.

Selain itu, rekaan luaran Theory 1 juga dikatakan mengambil inspirasi daripada S1 Esprit, dengan profil baji yang tajam serta bentuk cab-forward yang mengimbau kembali layout enjin tengah model Esprit.

Model konsep ini juga turut menampilkan beberapa inovasi yang menarik.

Seperti contoh, sistem robotik adaptif Lotuswear yang dibangunkan bersama Motorskins itu mampu memberikan maklum balas haptik kepada pemandu menerusi bonjolan yang terhasil pada tempat duduk dan roda stereng.

Lotus Theory 1 juga turut didatangkan dengan sistem stereng steer-by-wire, di mana pemandu boleh menentukan nisbah dan respons stereng mengikut kemahuan masing-masing.

Di tengah-tengah tab karbon Theory 1 menempatkan susun atur tiga tempat duduk di mana tempat duduk tengah dikhususkan untuk pemandu manakala penumpang pula duduk di sebelah kanan dan kiri pemandu.

Terdapat skrin paparan head-up disertakan, diikuti dengan unit pembesar suara yang ditanam pada struktur perehat kepala untuk setiap tempat duduk.

Lotus Emeya dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga RM555k-RM777k

LOTUS Cars Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik keduanya iaitu Emeya ke pasaran tempatan.

Seperti Eletre, Hyper-GT elektrik sepenuhnya ini boleh didapati dalam tiga varian iaitu Emeya, Emeya S dan Emeya R. Varian asas dijual pada harga RM555,000, S dijual pada harga RM643,000 manakala R pula berharga RM777,000.

Harga tersebut tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Setiap varian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun/150,000 km, dan jaminan untuk bateri selama lapan tahun/200,000 km.

Varian asas Emeya dan Emeya S dikuasakan oleh dua buah motor elektrik yang menghasilkan 603 hp dan 710 Nm. Dengan transmisi kelajuan tunggal, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Sementara itu, Emeya R sebagai varian tertinggi mempunyai 905 hp dan 985 Nm. Tidak seperti varian-varian lain, ia mempunyai transmisi dua kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.8 saat. Kelajuan maksimumnya juga sedikit lebih tinggi iaitu 256 km/j.

Selain motor elektrik yang berkuasa, sebahagian besar prestasi Emeya disumbangkan oleh rekaannya yang aerodinamik.

Emeya dilengkapi dengan gril depan aktif untuk mengurangkan rintangan angin dan menyejukkan bateri, air dam aktif pada bahagian depan, diffuser aktif pada bahagian belakang serta spoiler aktif dua lapisan yang boleh menjana downforce sehingga 215 kg.

Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda bersama sistem Lotus ICC intelligent torque distribution, dan sistem suspensi udara yang boleh membaca keadaan jalan pada kadar 1,000 kali sesaat.

Ketiga-tiga varian didatangkan dengan bateri berkapasiti 102 kWj, namun jarak gerak (WLTP) bagi setiap varian adalah berbeza. Varian asas menawarkan jarak gerak 610 km, manakala S pula menawarkan 540 km. Emeya R boleh dipandu sehingga 435 km.

Emeya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 10% hingga 80% dalam hanya 18 minit. Ia juga mempunyai ciri pengecasan AC 22 kW.

Ruang dalaman Emeya menampilkan ciri minimalis yang digabungkan dengan material mewah dan teknologi termaju. Bagi mengurangkan jejak karbon, Lotus menggunakan benang premium yang diperbuat dari fabrik lebihan industri fesyen.

Selain itu, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 15.1 inci yang dikuasakan oleh sistem Unreal Engine, serta sistem audio KEF dengan pembesar suara Uni-Q, subwoofer Uni-Core dan sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Turut disertakan adalah ciri Road Noise Cancellation (RNC).

Untuk sistem keselamatan, terdapat ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti amaran halangan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran depan dan sistem pemantaun titik buta. Semua maklumat penting dipaparkan menerusi head up display realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci.

Lotus Emeya 2024 bakal dilancarkan di Malaysia, harga dari RM575 ribu

Lotus Cars Malaysia mengumumkan ketibaan sebuah lagi model kenderaan elektrik iaitu Lotus Emeya ke pasaran Malaysia.

Jentera Hyper-GT (grand tourer) berkuasa elektrik itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat, namun pelanggan yang berminat boleh mendaftar sesi pratonton eksklusif bertempat di Pavillion Kuala Lumpur bermula 30 Julai hingga 4 Ogos menerusi pautan INI.

Lotus Emeya merupakan antara GT empat pintu yang paling berkuasa dalam dunia.

 

 

Dengan spesifikasi dua motor elektrik, ia berupaya menjana kuasa sehingga 905 hp dan 985 Nm yang dipadankan dengan transmisi dua nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.78 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.

Lotus Emeya menampilkan pelbagai ciri aerodinamik aktif termaju, seperti contoh struktur jeriji hadapan aktif yang pertama kali diperlihatkan pada model SUV hiper Eletre.

Struktur jeriji hadapan itu direka untuk mengurangkan kesan seretan dan menambah tahap kecekapan kereta apabila ditutup, namun boleh digunakan untuk tujuan penyejukan bateri dan sistem brek apabila ia dibuka.

 

 

Selain itu, terdapat juga ‘active air dam‘ yang mampu meningkatkan daya mendap pada kelajuan tinggi untuk menambah baik aspek pengendalian dan kestabilan, peredam belakang aktif yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, serta spoiler belakang aktif dua lapis yang mampu menjana daya mendap lebih 215 kg.

Pek bateri Lotus Emeya mampu menawarkan jarak gerak antara 490 km hingga 600 km bergantung kepada varian, selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW.

Ini bermakna, pemilik boleh menambah jarak gerak sejauh 150 km dalam tempoh masa lima minit, atau pengecasan 10-80 peratus dalam tempoh 18 minit sahaja.

 

 

Lotus Emeya turut mempunyai pelbagai kelengkapan ADAS termasuklah amaran keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan, dan sistem pemantauan titik buta, di mana segala data penting boleh dipaparkan menerusi skrin head-up realiti terimbuh (AR) sebesar 55 inci.

Pelanggan yang berminat boleh membuat bayaran tempahan sebanyak RM5,000 dan sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Lotus Cars Malaysia di talian 016-611 2388.

 

Lotus Eletre versi asas diperkenalkan semula, harga dari RM598k

Lotus Cars Malaysia baru-baru ini memperkenalkan semula varian asas Lotus Eletre 2024 sebagai pelengkap kepada penawaran varian Eletre S dan Eletre R sedia ada.

Penghantaran pertama dijadualkan bermula seawal bulan Oktober ini, dengan harga jualan meningkat kepada RM598,800 berbanding harga asal RM578 ribu sewaktu pelancaran pada April 2023.

Lotus Eletre 2024 versi asas ini mengekalkan spesifikasi dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 710 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD).

 

 

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.

Pek bateri berkapasiti 112 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 600 km (mengikut data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas 350 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.

Membezakan antara Eletre varian asas dengan varian Eletre S dan Eletre R ialah padanan rim aloi aerodinamik lima jejari berukuran 20 inci diikuti dengan sistem brek empat omboh.

 

 

Pembeli boleh menaik taraf sistem brek enam omboh berserta rim bersaiz 22 inci dengan tambahan RM30,000.

Antara opsyen lain termasuklah kamera sisi serta spoiler belakang aktif yang dapat meningkatkan lagi jarak pemanduan Eletre.

Secara standard, Lotus Eletre dibekalkan dengan ciri keselamatan ADAS termasuklah kawalan jelajah adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, sistem pemantauan titik buta, serta bantuan parkir.

Terdapat sehingga lima mod pemanduan disertakan, iaitu Range, Tour, Sport, Off-Road, dan Individual (tambahan Track untuk Eletre R), dibantu dengan kawalan casis dinamik pintar Lotus.

 

 

Lotus Eletre turut didatangkan dengan sistem audio premium KEF 1,380 watt yang diiringi 15 unit pembesar suara, teknologi Uni-Q™ dan kawalan bunyi tiga dimensi.

Untuk pasaran Malaysia, pembeli boleh memilih dua warna baharu iaitu Akoya White serta Cinnabar Red, serta warna lain termasuklah Kaimu Grey, Solar Yellow, Natron Red, Galloway Green, Stellar Black dan Blossom Grey.

Setiap Eletre dilindungi jaminan pengeluar selama lima tahun/jarak perbatuan 150,000 km serta jaminan bateri selama lapan tahun atau perbatuan sehingga 200,000 km.