TUDM hantar pasukan ke Kuwait untuk runding pembelian F/A-18 Hornet

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menghantar pasukan ke Kuwait untuk berunding mendapatkan pesawat tempur F/A-18 Hornet dari negara tersebut.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, lawatan teknikal ke negara itu akan diadakan dalam masa terdekat dengan pasukan pelaksana dibentuk pada bulan hadapan.

“Mungkin dalam Jun (lawatan), Insya-Allah kita akan tubuhkan satu pasukan untuk laksanakan lawatan teknikal ke sana.

“Menerusi lawatan itu nanti, kerajaan dan TUDM akan memutuskan bilangan pesawat Hornet yang ingin diperoleh bagi memperkasakan pertahanan udara negara,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM di Akademi Tentera Udara baru-baru ini.

Mohd. Asghar Khan berkata, TUDM ketika ini mengoperasikan lapan buah pesawat F/A-18D Hornet buatan Amerika Syarikat yang dibeli pada 1995 dan mula beroperasi dua tahun kemudian.

“Kuwait mempunyai 39 pesawat Hornet dua jenis tempat duduk dan satu tempat duduk. Daripada lawatan itu baru kita tentukan jumlah yang diperlukan.

“Sekiranya lawatan itu memberi hasil yang positif sehingga 2035, mungkin TUDM akan buat keputusan untuk membelinya,” katanya.

F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait. – Foto ihsan ainonline.com

Kuwait bakal menamatkan khidmat pesawat-pesawat itu yang dibeli pada 1991 apabila digantikan dengan pesawat tempur lebih moden.

TUDM telah menunjukkan minat perolehan Hornet dari Kuwait sejak penghujung 2021 memandangkan armada jet pejuang tersebut masih dalam keadaan baik dan rata-rata mempunyai jam penerbangan yang rendah.

Sama-sama kita doakan urusan ini berjalan lancar dan TUDM dapat memperkasakan angkatan mereka.

MAS terima unit pertama Boeing 737-800

MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat penaung kepada Malaysia Airlines semalam telah menyambut ketibaan pesawat Boeing 737-8 (737-800) pertama mereka.

Pesawat dengan nombor pendaftara 9M-MVA itu berlepas dari Seattle Delivery Centre milik Boeing pada 13 November 2023 jam 10:20 pagi waktu tempatan ke Honolulu. Ia kemudian terbang ke Guam sebelum tiba ke Malaysia.

Penerbangan MH5041 itu diterbangkan oleh Kapten Mohd. Ezaddin Roslan, kapten Izahariman Ibrahim, dan Kapten Arian Syazwara Adenan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10:30 pagi. Penerbangan itu mengambil masa keseluruhan 21 jam 45 minit.

Pesawat itu dengan megahnya membawa livery bendera Malaysia dengan logo bermotifkan songket dan wau baharu, dan disambut dengan tabik air (water salute) semasa ketibaannya.

Boeing 737-8 baharu ini dijadualkan membuat penerbangan komersial pertamanya ke Kota Kinabalu pada 20 November depan.

Perolehan Boeing 737-8 adalah Sebagian dari strategi pemodenan syarikat penerbangan itu bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi, dan menepati keperluan perkembangan di masa depan.

737-8 ini dilengkapi dengan sistem hiburan dalam penerbangan tanpa-wayar yang canggih, menghidangkan pelbagai kandungan bagi penumpang. Ia mempunyai konfigurasi 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 162 tempat duduk ekonomi.

MAG telah memesan 25 unit 737-8 keseluruhannya dan penghantara dijangka dibuat secara berperingkat hingga 2026.

Penerbangan terakhir Boeing 747 ‘melukis’ mahkota di ruang udara

SALAH satu objek paling ikonik dalam rekabentuk kini tidak lagi dikeluarkan. Ya, tiada lagi Boeing 747, selepas 54 tahun memegang takhta sebagai Permaisuri Langit (Queen of the Skies).

Ia mengubah landskap dunia penerbangan, menjadi ikon pelancongan, dan menarik minat serta inspirasi. Krew 747 terakhir membuat penghormatan dengan cara mereka sendiri; melukis di langit negeri Washington.

747 terakhir merupakan 747-8F, varian pengangkut. Ia beroperasi di bawah Atlas Airlines yang menerima penyerahannya di fasiliti Boeing di Everett, Washington.

Menggunakan nombor ekor N863GT, krew berlepas di Paine Field, Everett dan terbang melintasi negeri Washington, semata-mata penerbangan selamat tinggal khas. Krew ini menerbangkan pesawat yang melakar perjalanan bertulis “747”, dengan mahkota di atas nombor ini – merujuk kepada Queen of the Skies.

Melihat kepada laluan penerbangan dalam aplikasi Flightradar24, ia ternyata cukup besar. Krew Atlas terbang melintasi ruang yang besar di negeri itu untuk ‘melukis’ mahkota itu dan ia nampak cukup cantik.

Penerbangan selama kira-kira dua jam setengah itu suatu tugas yang teknikal. Selepas melukis penghormatan itu, mereka terbang ke hab Atlas Airlines di Cincinnati.

Di darat pula, orang ramai berkumpul untuk melihat 747 meninggalkan lokasi yang menjadi ‘rumahnya’ sejak 1967.

Menurut BBC, John Travolta yang juga menerbangkan 747-400 dan seorang peminat dunia penerbangan, juga berada dalam kelompok orang ramai itu. Beliau juga antara pasukan awal yang membangunkan 747 yang mengambil masa cuma 28 bulan.

Boeing 747 merupakan pesawat pertama seumpamanya, dengan kabin dua aisle (lorong) dan mempunyai dua tingkat. Ia memberikan definisi baharu dalam keselesaan penerbangan jarak jauh.

Dengan tiadanya pengganti jet empat-enjin buat masa ini, 747 bertahan lebih lama dari Airbus A380 yang jauh lebih baharu.

Realitinya, jet syarikat penerbangan dengan konfigurasi dua-enjin dan kabin lebar terbukti mampu menjalankan tugas yang sama dengan penggunaan bahan api lebih rendah, menjadikan 747 tidak lagi relevan.

 

Tidak akan ada lagi pesawat sepertinya. Selamat tinggal, 747.