Arkib Kategori: EV

iCAUR V23 – EV rekaan retro, jarak pandu sehingga 550 km

Selain daripada EV kotak iCAUR 03, jenama itu turut memperlihatkan sebuah lagi SUV elektrik yang membawakan penggayaan retro,  iaitu V23.

iCAUR V23 merupakan model pertama yang dibangunkan oleh Chery dan Zhimi Technology.

Unit yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 ini merupakan versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

iCAUR V23 merupakan SUV saiz kompak berukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,730 mm.

Rekaan luaran V23 banyak diinspirasikan daripada SUV off-road terkenal seperti Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz G-Class dan juga Land Rover Defender.

Di pasaran China, V23 boleh didapati dalam versi pacuan roda belakang 136 PS/180 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa 208 hp dan 292 Nm.

Terdapat pilihan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh dengan jarak gerak 401 km, atau nickel manganese cobalt (NMC) 81.76 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 550 km.

V23 turut menyokong pengecasan pantas DC membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 30 minit serta fungsi V2L (Vehicle-to-load) sehingga 3.3 kW.

Buat masa ini, pihak iCAUR Malaysia belum mengumumkan harga jualan rasmi serta tarikh pelancaran bagi model V23 ini.

MODENAS lancar skuter elektrik MEV-1, MEV-2 – harga dari RM9,878

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, MODENAS melancarkan dua buah model skuter berkuasa elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu MEV-1 dan juga MEV-2.

Modenas MEV-1 sebelum ini sudah digunakan oleh Pos Malaysia untuk tujuan penghantaran barang, dan kini sudah boleh dibeli oleh orang awam.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 6.6 hp, berkeupayaan untuk mencapai kelajuan maksimum 85 km/j.

Skuter MEV-1 ini menggunakan bateri ATL Lithium yang mampu menawarkan jarak tunggangan sehingga 135 km untuk sekali cas penuh.

Antara ciri lain termasuklah pengecas on-board, suspensi hadapan teleskopik, serta brek cakera hidraulik dengan CBS.

Terdapat dua varian, iaitu MEV-1 Pro yang hadir dengan pelana tunggal, serta MEV-1 Pro SX yang dilengkapi dengan pelana untuk pembonceng.

Harga jualan bermula dari RM13,470 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

MEV-2 pula dijana dengan motor elektrik berkuasa 6.8 hp dengan halaju maksimum dihadkan kepada 80 km/j sahaja.

Pek bateri ALT Lithium 74V30Ah pula menawarkan jarak tunggangan sejauh 107 km.

MEV-2 turut dilengkapi dengan pengecas on-board, suspensi hadapan jenis teleskopik, brek cakera hidraulik dengan CBS, serta sistem lampu LED.

Harga jualan bermula dari RM9,878.

 

MEV-1 PRO/PRO SX

MEV-2

Prototaip Perodua EV 1 di Malaysia Autoshow 2025, rupa lebih hampir kepada versi produksi

Setelah beberapa siri pameran model konsep, Perodua akhirnya memperlihatkan bentuk sebenar kereta elektrik EV 1 di Malaysia Autoshow 2025.

Tidak seperti model konsep eMO-II yang dipamerkan sebelum ini di KLIMS 2024, EV 1 ini mempunyai bentuk luaran yang lebih mirip kepada model produksi sebenar.

Menurut Perodua, acara pameran di Malaysia Autoshow 2025 merupakan siri terakhir sesi teaser daripada pengeluar tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi Disember ini.

Difahamkan, EV baharu ini akan dipasang di kemudahan baharu BEV yang terletak di Sungai Choh, Rawang.

Fasa pengeluaran secara besar-besaran akan bermula pada September ini, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 500 unit sebulan.

Mengikut spesifikasi awal, Perodua eMO mampu memecut sepantas 7 saat dari pegun ke 100 km/j.

Kapasiti pek bateri Lithium-ion Phosphate (LFP) tidak diberitahu, namun mampu menawarkan jarak pandu sejauh 410 km untuk sekali cas penuh.

Jelas Perodua lagi, EV 1 ini akan ditawarkan sekali dengan program sewa bateri, di mana proses penukaran bateri boleh dilakukan di pusat servis Perodua dengan mudah.

Proton e.MAS 5 muncul di Malaysia Autoshow 2025

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Proton memperlihatkan sebuah lagi model kenderaan elektrik (EV) sebagai pelengkap kepada penawaran e.MAS 7 sedia ada.

Proton e.MAS 5 (Geely Star Wish) mempunyai dimensi yang lebih kecil berbanding e.MAS 7.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Spesifikasi tidak didedahkan buat masa ini.

Namun berdasarkan unit yang wujud di China, ia dikuasakan oleh motor elektrik 78 hp dan 130 Nm, atau 114 hp/150 Nm.

Terdapat pilihan pek bateri 30.12 kWh dengan jarak gerak sejauh 310 km, atau 40.16 kWh dengan jarak gerak sejauh 410 km.

Lebih banyak perincian bakal didedahkan oleh Proton dalam masa terdekat, namun yang pasti Proton e.MAS 5 bakal menjadi EV Proton yang paling mampu milik apabila dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Zeekr 7X dipertontonkan di Malaysia, harga anggaran dari RM182,000

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Zeekr Malaysia memperlihatkan crossver segmen D Zeekr 7X yang bakal dipasarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Zeekr 7X merupakan SUV elektrik segmen D yang bakal memberikan saingan kepada model popular seperti Tesla Model Y dan BYD Sealion 7.

Dibina menggunakan platform SEA (Sustainable Experience Architecture), Zeekr 7X mempunyai ukuran dimensi sepanjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,925 mm.

Zeekr Malaysia mengesahkan terdapat tiga varian yang bakal ditawarkan, seperti berikut:

– RWD Standard (RM182,000)
– RWD Long Range (RM195,000)
– AWD Performance (RM230,000)


Zeekr 7X menawarkan pecutan sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, selain boleh dipandu sejauh 600 km mengikut data WLTP.

Harga indikatif yang disebutkan di atas hanya sah untuk 500 orang pelanggan pertama sahaja.

Proton e.MAS 7 jadi kereta peronda di Northport

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) baru-baru ini menyerahkan tiga unit SUV elektrik Proton e.MAS 7 kepada pihak pengurusan Northport (Malaysia) Sdn Bhd untuk kegunaan pasukan polis bantuan.

Pencapaian ini menandakan Northport sebagai pengendali pelabuhan pertama di negara ini yang menggunakan e.MAS 7 dalam pengurusan kenderaan syarikat, sekaligus mengukuhkan komitmen dalam usaha ESG korporat dan penyelesaian pengangkutan lestari.

Penggunaan SUV elektrik Proton e.MAS 7 bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan bahan api, pelepasan karbon dan pencemaran bunyi, pemanduan yang senyap dan lancar itu turut menjadikan operasi rondaan yang lebih selesa dan mengurangkan keletihan anggota.

Menurut Zhang Qiang selaku ketua pegawai eksekutif Pro-Net, “kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Northport, sebuah organisasi yang menjadi contoh dalam mengamalkan kelestarian.

“Penggunaannya dalam operasi Northport membuktikan kenderaan elektrik bukan sekadar visi masa depan, tetapi satu penyelesaian yang boleh diguna pakai hari ini.

Fakhrul Azhar Tajudin selaku ketua pegawai eksekutif Northport berkata, “Di Northport, kami komited untuk mengamalkan pendekatan lestari dan menyokong penyelesaian tenaga bersih.

“Sebagai sebuah pelabuhan yang berbangga dengan identiti Malaysia, pemilihan jenama Proton turut mencerminkan sokongan kami terhadap inovasi tempatan dan pembangunan industri negara.

“Dengan keseimbangan antara prestasi, keselamatan dan teknologi, Proton e.MAS 7 menjadi pilihan yang sesuai untuk memenuhi keperluan operasi pelabuhan yang mencabar,” ujarnya.

 

Zeekr 007 GT – EV shooting brake stailo dengan jarak pandu cecah 825 km

Tatkala pengeluar lain sudah mula menarik brek tangan, Zeekr pula sedia untuk merancakkan kembali segmen wagon sporti menerusi pengenalan model 007 GT.

Zeekr 007 GT (atau nama lain Zeekr 7 GT di pasaran global) dibina berdasarkan sedan elektrik Zeekr 007 dan merupakan model shooting brake kedua selepas Zeekr 001.

Ia memiliki ukuran dimensi sepanjang 4,864 mm, lebar 1,900 mm, tinggi sehingga 1,445 mm dan jarak antara roda menghampiri 3 meter (2,925 mm).

Sebagai perbandingan, Zeekr 001 mempunyai ukuran sepanjang 4,977 mm, lebar 1,999 mm, dan jarak antara roda 3,005 mm.

Zeekr 007 GT boleh didapati dalam varian motor elektrik tunggal berkuasa 416 hp dan 440 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat.

Sementara varian motor elektrik berkembar mampu menjana kuasa setinggi 637 hp dan 710 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 3.8 saat.

Zeekr 007 GT menggunakan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 75 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 650 km (data CLTC), sementara pek bateri nickel cobalt manganese (NCM) 100 kWh pula mempunyai jarak gerak sejauh 825 km.

Bateri LFP itu menyokong pengecasan paling pantas di dunia, di mana pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh diselesaikan dalam tempoh 10.5 minit sahaja!

Untuk ruang kabin, terdapat skrin sentuh sebesar 15.4 inci serta skrin kluster digital dan skrin paparan head-up realiti terimbuh (AR) untuk kegunaan pemandu.

Di bahagian konsol tengah terdapat gugusan butang fungsi yang terletak pada bahagian bawah skrin, ruang storan, tempat meletak cawan dan dua slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Tempat duduk hadapan pula mempunyai ciri boleh laras 14 tahap lengkap dengan fungsi pemanas, penyejuk, urut dan balutan kulit Nappa.

Dari segi praktikaliti pula, ruang kabin Zeekr 007 GT ini menawarkan sehingga 36 tempat meletak barang, opsyen peti sejuk tersembunyi, dan ruang kargo sebesar 1,737 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak cukup dengan itu, Zeekr 007 GT turut menawarkan sistem pemanduan pintar, terima kasih kepada 31 unit penderia termasuklah LiDAR, 11 kamera dan 3 radar yang membolehkannya mengelak halangan pada kelajuan tinggi dan berhenti secara automatik dalam keadaan tertentu.

Di China, Zeekr 007 GT dijual pada harga bermula dari RMB202,900 (RM121,876).

Subaru Trailseeker diperkenalkan, nampak seperti Solterra tetapi lebih besar

Ini dia, kenderaan elektrik (EV) kedua daripada Subaru iaitu Trailseeker. Dinamakan sempena kebolehannya untuk meredah pelbagai jenis permukaan, model ini akan dilancarkan ke pasaran bermula awal tahun depan.

Jika diperhatikan, rekaan Trailseeker seakan-akan Solterra (EV pertama Subaru) namun model ini sebenarnya enam inci lebih panjang dan seinci lebih tinggi berbanding model tersebut.

Secara tak langsung ia bermakna Trailseeker mempunyai ruang kabin dan kargo yang lebih luas. Walau bagaimanapun, jarak lega tanahnya sama sahaja dengan Solterra iaitu 8.3 inci.

Ruang kabin menampilkan skrin sentuh berukuran 14 inci, yang dikatakan terbesar pernah ada dalam mana-mana model Subaru. Turut disertakan adalah Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, dua pengecas tanpa wayar 15W, dan dua port USB-C untuk penumpang belakang.

Sistem keselamatan pula hadir di bawah payung EyeSight yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Pre-Collision Braking
  • Front Cross Traffic Alert
  • Blind Spot Monitors
  • Lane Departure Alert
  • Emergency Stop Assist
  • Traffic Jam Assist
  • Lane Change Assist
  • Advanced Adaptive Cruise Control, dan pelbagai lagi

Trailseeker dipacu oleh sepasang motor elektrik – satu pada gandar depan, satu pada gandar belakang – yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 375 hp dan pacuan semua roda Symmetrical AWD yang merupakan trademark Subaru.

Sesuai dengan namanya, crossover elektrik ini direka untuk pemanduan lasak. Ini dibolehkan menerusi mod pemanduan Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud, serta ciri-ciri seperti Grip Control dan Downhill Assist Control. Ia juga mempunyai kapasiti tunda sehingga 3,500 paun.

Ia didatangkan dengan bateri litium ion berkapasiti 74.7 kWh yang mampu menawarkan jarak pemandu lebih 260 batu (418 km) sekali cas.

Dengan adanya sistem prakondisi bateri, ia sedia untuk pengecasan pantas dalam cuaca sejuk mahupun panas. Satu lagi kelebihan model ini adalah ia port pengecas NACS (North American Charging Standard) yang memberikannya akses kepada pengecas Supercharger Tesla.

Batik Air tawar pemindahan terminal persendirian guna Leapmotor C10 EV di KLIA

Batik Air menerusi kerjasama dengan Leapmotor Malaysia mengumumkan perkhidmatan pemindahan terminal persendirian (Private Terminal Transfer) untuk penumpang kelas perniagaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Sebanyak lima unit SUV elektrik Leapmotor C10 akan digunakan untuk membawa penumpang kelas perniagaan dari Pintu G1 di Bangunan Terminal Utama ke Pintu C1 di Bangunan Satelit dan sebaliknya.

Leapmotor C10 merupakan sebuah SUV segmen D berkuasa elektrik yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).

Untuk memastikan keselesaan perjalanan yang terjamin, SUV ini didatangkan dengan tempat duduk yang ergonomik serta balutan bahan tekstil OEKO-Tex Standard 100 yang lebih tahan lasak dan mesra alam.

Selain itu, SUV ini turut menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa, serta ruang kargo berkapasiti 415 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,410 liter untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Perkhidmatan eksklusif oleh Batik Air ini dilihat dapat mengurangkan tempoh masa menunggu, dan dalam masa yang sama dapat melengkapkan lagi perkhidmatan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports sepanjang tempoh penggantungan perkhidmatan aerotrain.

Honda e:N1 2025 – Tempahan kini dibuka, pelancaran Q2 tahun ini

Berita baik buat mereka yang sedang mencari sebuah kenderaan elektrik jenama Jepun.

Honda Malaysia kini membuka tempahan bagi model SUV elektrik pertama mereka, iaitu Honda e:N1 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua (Q2) 2025.

Dibina berdasarkan platform e:N Architecture F, Honda e:N1 dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan 201 hp dan 310 Nm.

Pek bateri lithium-ion 68.8 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 500 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,380 mm, tinggi 1,592 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,610 mm, menyamai saiz HR-V versi petrol.

Antara ciri yang dimuatkan pada e:N1 termasuklah rim aloi dua tona 18 inci, unit lampu LED depan dan belakang, slot pengecasan pada jeriji hadapan, lencana Honda berwarna putih dan emblem perkataan ‘Honda’ di belakang.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan termasuklah informasi titik buta (BSI), sistem pemantauan trafik lintang (CTM), berserta sembilan fungsi keselamatan termaju Honda SENSING.

Para pelanggan Honda boleh membuat tempahan e:N1 di laman web https://prebook.honda.com.my/ atau menerusi aplikasi HondaTouch.

Honda Malaysia turut melantik lapan pusat pengedar sah untuk mengendalikan sebarang urusan berkenaan e:N1 seperti berikut:

Mazda kini ada SUV elektrik baharu EZ-60

Selepas menghasilkan model sedan elektrik EZ-6, kerjasama antara Mazda dan pengeluar automotif Changan diteruskan dengan kehadiran sebuah lagi model crossover baharu – Mazda EZ-60.

Sama seperti sedan EZ-6 yang telah diperlihatkan sebelum ini, Mazda EZ-60 secara asasnya menggunakan pelantar modular EPA1 yang dibangunkan oleh Changan.

Bermakna, ia juga turut berkongsi spesifikasi yang hampir serupa dengan crossover Deepal S07.

Reka bentuk luaran Mazda EZ-60 adalah selari dengan pendekatan bahasa rekaan moden Kodo yang digunakan oleh Mazda.

Antara ciri yang boleh dikesan termasuklah struktur jeriji dan logo hadapan bercahaya, rekaan lampu utama terpisah, diikuti dengan pemegang pintu yang tersorok dan kehadiran kamera sisi.

Lebih mencuri tumpuan ialah kehadiran liang udara pada bahagian tiang C bertujuan untuk mengurangkan kadar pekali seretan, sekaligus membantu dari segi jarak gerak yang lebih jauh.

Pendekatan minimalis turut dibawakan pada bahagian belakang, di mana Mazda EZ-60 ini menonjolkan unit lampu LED yang memanjang ke tengah, serta perkataan MAZDA yang menggantikan penggunaan logo.

Berdasarkan dimensi, besar kemungkinan Mazda EZ-60 ini berkongsi ukuran yang hampir serupa dengan SUV Deepal S07 seperti yang telah dipertontonkan oleh pihak Bermaz pada awal tahun yang lalu.

Dari segi dimensi, Deepal S07 membawakan ukuran sepanjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Di pasaran China, Deepal S07 ditawarkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 hp atau 258 hp.

Terdapat dua pilihan pek bateri NMC, iaitu 66.8 kWh dengan jarak gerak 520 km atau 79.97 kWh dengan jarak gerak cecah 620 km (data CLTC).

Lebih banyak info berkenaan SUV elektrik ini bakal diketahui menjelang acara Shanghai Auto Show 2025 yang akan berlangsung pada bulan ini.

MGS5 EV 2025 dipertontonkan di Malaysia – jarak pandu 430 km, harga anggaran RM115k

MG Motor Malaysia baru-baru ini mempertontonkan sebuah model SUV elektrik yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, iaitu MGS5 EV.

Dari segi dimensi, MGS5 EV membawakan ukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm dengan jarak antara roda 2,730 mm.

Ruang kargo pula adalah sebesar 452 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

MGS5 EV dipacu oleh motor elektrik pacuan roda belakang  berkuasa 170 PS dan 250 Nm.

Terdapat dua pilihan pek bateri, iaitu 49 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 340 km, atau bateri 62 kWh dengan jarak pandu sejauh 430 km.

MGS5 EV menyokong pengecasan AC 11 kW, pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, selain fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 6.6 kW.

Untuk ruang kabin, MGS5 EV dilengkapi dengan skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 12.8 inci, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Varian yang lebih premium mendapat ciri tambahan seperti rim aloi 18 inci, bumbung kaca panorama, pintu belakang berkuasa, tempat duduk balutan kulit dan fabrik berliang, fungi pemanas roda stereng, tempat duduk pemandu boleh laras berkuasa elektrik, sistem audio premium dengan enam pembesar suara dan kamera keliling 360 darjah.

Tidak ketinggalan, ciri keselamatan seperti tujuh beg udara serta kelengkapan ADAS.

Terdapat lima warna menarik, iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red dan Elegant Latte.

Bakal dilancarkan tidak lama lagi, MGS5 EV bakal dijual dengan harga anggaran RM115,000.

Volvo EX90 dan XC90 facelift rasmi di Malaysia – harga jualan dari RM418,888

Volvo Car Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan dua buah model SUV tiga baris tempat duduk, iaitu Volvo EX90 2025 dan Volvo XC90 2025 facelift untuk pasaran tempatan.

Seperti yang diperlihatkan pada bulan lepas, Volvo EX90 merupakan sebuah SUV berkuasa elektrik sepenuhnya yang dibina berdasarkan platform SPA2, tidak seperti Volvo XC90 generasi kedua yang menggunakan pelantar SPA.

Berikut merupakan beberapa perincian ringkas bagi kedua-dua SUV EX90 dan XC90 untuk pasaran tempatan:

 

Volvo EX90

Volvo Malaysia hanya menawarkan EX90 dalam varian tunggal Twin Motor Performance berkuasa 517 hp dan 910 Nm, dipadankan dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 111 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 623 km.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.9 saat sahaja.

Dari segi dimensi, EX90 sememangnya lebih besar berbanding XC90, dengan ukuran sepanjang 5,037 mm, lebar 1,964 mm, tinggi 1,747 mm dan jarak antara roda 2,985 mm.

EX90 menyokong pengecasan pantas AC sehingga 11 kW (tempoh pengecasan 10 jam), serta pengecasan pantas DC sehingga 250 kW di mana bateri boleh dicas dari 10-80 peratus SoC dalam tempoh masa 30 minit.

Secara standard, EX90 didatangkan dengan ciri seperti rim 21 inci, lampu LED depan dan belakang, pintu dengan fungsi tutup lembut, serta warna baharu Sand Dune.

Sementara ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital sembilan inci, skrin infohibur sebesar 14.5 inci, sistem audio Bowers & Wilkins 3D dengan 25 pembesar suara, kawalan iklim empat zon, fungsi urut untuk tempat duduk hadapan, dan bumbung kaca panorama.

Untuk info, Volvo EX90 juga mempunyai perumah untuk penderia LIDAR, selain lima radar, lapan kamera, dan 16 penderia ultrabunyi.

Volvo EX90 Ultra Twin dijual pada harga RM442,888.

 

Volvo XC90 facelift

Ini merupakan versi facelift kedua untuk model XC90 selepas versi facelift pertama muncul pada tahun 2019.

Perubahan yang ketara ialah pendekatan rekaan yang lebih mirip dengan model EX30 dan EX90, diikuti dengan lampu tukul besi Thor yang lebih menonjol dan jeriji yang lebih lebar.

Selain itu, XC90 facelift turut mendapat sistem gantungan Active Chassis Air dan rim bersaiz 20 inci.

Volvo lebih menumpukan perhatian pada ruang kabin, dengan susun atur yang telah diperbaharui, skrin infohibur menegak sebesar 11.2 inci dengan sokongan aplikasi pemetaaan Google Maps, tombol penukaran gear kristal Orrefors, upholsteri kulit Nappa dan bermacam-macam lagi.

Volvo XC90 untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam varian T8 AWD, dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo (310 PS/400 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik 145 PS/309 Nm.

Kuasa keseluruhan SUV ini mencecah 462 hp, bermakna pecutan 0-100 km/j mampu diselesaikan dalam masa 5.3 saat dengan penggunaan bahan api serendah 1.8 liter untuk setiap 100 km.

Kapasiti pek bateri 18.8 kWh membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 77 km sahaja, dengan pengecasan penuh AC 6.4 kW mengambil masa tiga jam.

Untuk pasaran Malaysia, Volvo XC90 Ultra T8 PHEV dijual pada harga bermula RM434,888, atau dalam versi hibrid ringan Ultra B5 berharga RM418,888.

Proton e.MAS7 muncul sebagai EV paling laris terjual di Malaysia

Untuk tempoh sepanjang bulan Mac yang lepas, Pro-Net selaku anak syarikat Proton telah berjaya menjual sebanyak 797 unit SUV elektrik Proton e.MAS7.

Ini menjadikan jumlah penghantaran e.MAS7 adalah sebanyak 1,853 unit untuk tempoh suku pertama (Q1) 2025 yang menyumbang kepada pegangan pasaran setakat tahun ini sebanyak 30 peratus sekaligus menjadikannya sebagai EV nombor satu di Malaysia.

Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas sokongan, dan keyakinan yang tidak terhingga kepada Proton e.MAS7, selain kepercayaan kepada kami untuk menyediakan ekosistem yang membolehkan mereka menikmati pengalaman pemanduan elektrik.

“Pencapaian ini akan menjadi dorongan untuk kami terus memperbaiki diri dalam menawarkan produk berkualiti tinggi serta memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” ujarnya.

Untuk pasaran Malaysia, Proton e.MAS7 ditawarkan dalam dua varian, iaitu Prime berharga RM105,800 dan Premium berharga RM119,800, sah untuk 6,000 tempahan pertama.

Untuk memudahkan pengguna, Proton menyediakan 75 poin pengecasan DC sehingga 120 kW di beberapa pusat pengedar.

Selain itu, pemilik juga boleh mendapatkan akses kepada lebih 90 peratus titik pengecasan yang wujud di Malaysia dikendalikan oleh Gentari, JomCharge, chargEV, DC Handal, Chargesini, Carput Zap, RExharge dan Charge+, serta peta pengecasan bersepadu langsung menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Menurut Zhang Qiang lagi, “matlamat kami bukan sekadar menjual kereta, kami ingin membangunkan eksositem lengkap yang tidak hanya melibatkan 36 pengedar, tetapi juga seluruh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan pengendali poin pengecasan (CPO) untuk menjadikan pemilikan EV yang lebih mudah kerana kami mahu pelanggan kami beralih dari ICE ke EV dengan lancar.”

 

Generasi ketiga Nissan LEAF kini berbentuk crossover dengan jarak pandu cecah 600 km

Kereta elektrik bateri Nissan LEAF telah pun berada di pasaran dunia sejak tahun 2010 lagi, dan telah pun bertahan selama dua generasi membawakan bentuk badan hatchback.

Namun untuk generasi ketiga, Nissan LEAF diberikan bentuk badan crossover selari dengan permintaan pasaran yang lebih cenderung ke arah model-model berbadan besar.

Dibina berdasarkan platform CMF-EV yang dimiliki oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, LEAF baharu membawakan ukuran dimensi yang lebih tinggi, namun sedikit pendek berbanding LEAF sedia ada.

Berdasarkan rekaan yang dipamerkan, tidak syak lagi LEAF banyak meminjam elemen penggayaan yang wujud pada Ariya EV, selain mempunyai bentuk badan aerodinamik dengan kadar pekali seretan 0.25.

Nissan tidak mendedahkan spesifikasi LEAF dengan lebih lanjut.

Namun, menurut ketua produk Nissan Eropah Francois Bailly menjelaskan model LEAF baharu ini mampu menawarkan jarak gerak dunia sebenar melebihi 598 km.

Beliau menambah, LEAF akan turut mendapat sistem infohibur terkini berasaskan Google, dibantu dengan sistem bantuan pemandu termaju.

 

#EratkanIkatan: Balik Kampung dengan EV, perjalanan lebih tenang bersama CelcomDigi!

CelcomDigi bangga untuk mengumumkan kerjasama strategik dengan JomCharge dan chargEV, pemimpin dalam pengecasan kenderaan elektrik di Malaysia selaku pengendali stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) terkemuka di Malaysia untuk memasang lebih 100 stesen pengecas di kawasan kediaman dan komersial menjelang akhir 2025.

Ini merupakan sebahagian daripada komitmen CelcomDigi untuk menyokong ekosistem EV di Malaysia dan dalam masa yang sama memudahkan rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti yang lestari.

Selain itu, pelanggan CelcomDigi juga boleh menikmati rebat sebanyak RM10 ketika mengecas di stesen JomCharge dan chargEV.

Semak aplikasi MyDigi dan Celcom Life hari ini untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi stesen yang mengambil bahagian. Ganjaran akan tersedia untuk penebusan pada 1 April 2025.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna dengan hubungan erat dan keharmonian antara generasi.

Sempena musim perayaan ini, CelcomDigi mempersembahkan kempen #EratkanIkatan dengan tema “Raya Bersama, Lebih Bermakna”, mengajak kita berkumpul dan mencipta kenangan bersama keluarga, sahabat, dan masyarakat.

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025, CelcomDigi membawakan:

 

Syukur: Sebuah Kisah Impian & Determinasi

 

Syukur mengisahkan Melor, seorang busker dari bandar kecil dengan cita-cita besar. Berlatarbelakangkan bulan Ramadan, filem pendek ini menggambarkan cabaran yang dihadapi Melor, yang menguji kesabaran dan ketabahan.

Kemuncak filem ini ialah penampilan kameo Yuna, yang memberikan inspirasi kepada watak utama, serta menggambarkan peranan CelcomDigi dalam memperkasakan generasi masa depan.

Promosi istimewa sempena Raya

Nikmati tawaran eksklusif seperti langganan Disney+ Hotstar, Viu, dan iQiyi dari RM11.90/bulan serta peranti pintar dengan pakej Easy360 5G serendah RM1/bulan.

Layari https://www.celcomdigi.com/promotions-raya untuk maklumat lanjut dan teroka lebih banyak tawaran menarik!

Hyundai Insteroid adalah EV kecil yang disuntik steroid

Diperkenalkan buat pertama kali pada Jun tahun lalu, Hyundai Inster merupakan kenderaan elektrik subkompak yang comel pada pandangan mata.

Tidak lama lagi, EV itu bakal mempunyai ‘kembar’ yang lebih agresif dan ganas yang dikenali sebagai Insteroid.

Menurut Hyundai, nama Insteroid datang daripada gabungan ‘Inster’ dan ‘Steroid’. Ia masih belum didedahkan sepenuhnya (itu akan berlaku pada awal April) namun teaser rasmi ini menunjukkan sedikit sebanyak rekaan model itu.

Apa yang kami boleh lihat, Insteroid didatangkan dengan lampu utama berbentuk bulat dan lampu piksel yang sama seperti Inster namun selain itu, ia adalah jentera yang berbeza sama sekali.

Ini kerana Insteriod memakai kit badan lebar dan spoiler belakang gergasi yang direka berdasarkan permainan video. Bagi penulis, ia kelihatan tidak ubah seperti kereta rali WRC yang sebenar.

Selain itu, ia juga mempunyai skup bumbung, liang udara pada bahagian fender, diffuser belakang yang menonjol dan rim cakera 21 inci. Bahagian dalamannya masih belum ditunjukkan namun ia jelas telah dikosongkan bagi memberi ruang kepada sangkar keselamatan.

Spesifikasi teknikal Insteroid juga masih belum diketahui namun memandangkan ia dilengkapi dengan butang Boost dan mod Track, ia pastinya lebih berkuasa dan mengujakan untuk dipandu jika dibandingkan dengan Inster.

Kereta itu, yang mana menurut Hyundai sangat popular di Korea Selatan dan Eropah, dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan 97 PS dalam versi Standard atau 115 PS dalam versi Long Range.

Chery Omoda E5 kini dijual pada harga RM119,818, lebih murah sebanyak RM27,000

Chery Omoda E5 didatangkan dengan tanda harga RM146,800 semasa ia dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Mac tahun lalu. Kini, anda boleh memiliki crossover elektrik itu pada harga kurang RM120,000.

Lebih tepat lagi, Omoda E5 kini dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM119,818, bermakna pelanggan dapat menikmati penjimatan sebanyak RM27,000.

Namun, perlu diingat bahawa tawaran menarik ini adalah bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dan terhad kepada unit tahun 2024 sahaja.

Bagi menjadikan tawaran ini lebih menarik dan berbaloi, Chery Malaysia turut menyertakan pengecas dinding (wallbox) percuma bernilai RM3,500, kabel Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM500 dan kredit pengecasan sebanyak RM1,000.

Bukan itu sahaja, pemilik juga boleh mengecas Omoda E5 masing-masing di semua pusat pengedaran Chery di seluruh Malaysia secara percuma.

Omoda E5 dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menjana 201 hp dan 340 Nm. Ia mendapat bekalan kuasanya daripada pek bateri 61 kWj yang menjanjikan jarak gerak sehingga 430 km berdasarkan kitaran WLTP.

Selain pengecasan AC 9.9 kW, bateri berkenaan turut menyokong pengecasan DC sehingga 80 kW yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 30% hingga 80% dalam masa 28 minit sahaja.

Perang harga EV bermula?

Selain Omoda E5, pelanggan yang mempunyai bajet RM150,000 ke bawah boleh mendapatkan BYD Atto 3 Ultra yang dijual pada harga RM123,800, yang bersamaan dengan pengurangan sebanyak RM26,000 berbanding model tahun 2024. Ini tidak termasuk rebat tunai RM5,000 untuk 1,000 pembeli pertama.

Kedua-dua model ini akan ‘berlawan’ dengan EV terlaris di Malaysia bagi bulan Februari iaitu Proton eMAS 7. Ia dimiliki pada harga RM105,800 untuk varian Prime dan RM119,800 untuk varian Premium, setelah ditolak dengan rebat tunai bernilai RM4,000 yang ditawarkan kepada 6,000 pembeli pertama.

Proton e.MAS7 berkonvoi 9,000 km rentas 9 negara ASEAN sempena Malaysia Autoshow 2025

Konvoi Proton e.MAS7 berserta empat buah kenderaan Siri X yang dibawakan oleh Proton dan Pro-Net memulakan perjalanan sejauh 9,000 km pada Khamis lalu (20 Mac).

ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) merupakan satu inisiatif yang menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu mobiliti hijau, kerjasama rentas sempadan dan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.

Proton e.MAS7 dipilih sebagai kenderaan rasmi AUD 2025 yang melambangkan komitmen Malaysia kepada mobiliti elektrik, menyokong agenda EV negara dan matlamat kelestarian ASEAN secara lebih meluas.

Dua laluan utama dirancang, iaitu:
• Laluan Utara: bermula di Hanoi, Vietnam melalui Laos, Kemboja, Thailand sebelum tiba di Malaysia.
• Laluan Selatan: Bermula di Manila, Filipina, melalui Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia, Singapura sebelum tiba di Malaysia.

Konvoi AUD 2025 ini akan bertemu di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 9-15 Mei ini.

Majlis pelepasan telah diadakan di Menara MITI dan dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“ASEAN Unity Drive 2025 melambangkan kekuatan kolektif rantau ini dalam memajukan mobiliti lestari seiring memperkukuhkan integrasi ekonomi dan pengurusan alam sekitar.

“Malaysia, melalui inisiatif seperti ASEAN Automotive Institute Alliance, komited kepada membentuk ekosistem mobiliti bersatu yang mempercepatkan inovasi, menyelaraskan piawaian, dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi baharu.

“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah industri automotif yang bersedia untuk masa depan dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini,” ujarnya lagi.

Selain daripada pelancaran model baharu serta pameran teknologi EV & ICE, MAS 2025 pada tahun ini akan menampilkan segmen Wanita dalam Automotif, pameran Hari Kerjaya serta Debat Automotif ASEAN.

Sebanyak 55 buah jenama terkemuka akan menyertai acara Malaysia Autoshow 2025 yang dijangka menarik kehadiran pengunjung yang lebih besar berbanding edisi sebelumnya.

 

Proton eMAS 7 tembus pasaran antarabangsa, Nepal destinasi pertama

Proton telah membuat debut dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) antarabangsa menerusi pelancaran Proton eMAS 7 di Nepal.

Menurut syarikat itu, pelancaran ini adalah susulan prestasi kukuh model tersebut di Malaysia sejak kemunculannya pada 16 Disember dan membantu membuka jalan kepada strategi antarabangsa yang lebih luas.

Untuk pasaran Nepal, eMAS 7 diedarkan oleh rakan pengedar rasmi Proton sedia ada iaitu Jagdamba Motors. Sama seperti di Malaysia, ia boleh didapati varian Prime dan Premium, masing-masing dijual pada harga NPR5,699,000 (RM183k) dan NPR6,799,000 (RM218k).

Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quarts Rose, Moyu Black, dan Lithium White. Untuk pengetahuan anda, warna Moyu Black tidak ditawarkan di Malaysia.

Selain penambahan warna hitam, spesifikasi eMAS 7 untuk pasaran Nepal sama dengan pasaran Malaysia. Varian Prime didatangkan dengan bateri Aegis Short Blade berkapasiti 49.52 kWj yang menjanjikan jarak gerak WLTP sejauh 345 km, manakala varian Premium yang dilengkapi dengan bateri 60.22 kWj menawarkan jarak 410 km.

Menurut Proton, eMAS 7 telah membuat kemunculannya di Nepal lebih awal daripada pelancaran menerusi siri jelajah yang berlangsung dari 21 Februari hingga 14 Mac, melintasi semua tujuh wilayah dengan 18 lokasi berhenti termasuk Janakpur, Birtamod dan Itahari.

Tambah syarikat itu lagi, kemasukannya ke negara itu adalah tepat pada masanya dan selaras dengan Visi Mobiliti Hijau Nepal. Sepanjang empat tahun lalu, kadar penembusan EV di Nepal meningkat dari 6% jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2021 kepada 73% pada 2024, iaitu peningkatan sembilan kali ganda dari 1,138 unit ke 10,794 unit.

Jagdamba Motors buat masa ini mempunyai tiga pengedar, dengan rancangan untuk memuktamadkan perjanjian dengan 12 pengedar di seluruh negara menjelang akhir 2025. Ia juga merancang untuk membangunkan infrastruktur pengecasan dan membina jaringan pusat servis yang mantap di seluruh negara.

“Nepal hanyalah permulaan. Rancangan sedang berjalan untuk memperkenalkan Proton e.MAS 7 ke pasaran antarabangsa lain bagi menyokong cita-cita pertumbuhan global jenama tersebut,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Pada masa akan datang, kami akan memperkenalkan model EV kami ke Trinidad & Tobago, Mauritius dan juga Singapura,” tambahnya.