VW Tiguan bakal ada versi EV pada 2027, guna nama ID. Tiguan!

Gambar depan Volkswagen ID. Tiguan

Volkswagen bakal memperkenalkan ID. Tiguan pada awal Oktober sebelum SUV elektrik baharu itu memasuki pasaran pada awal 2027.

ID. Tiguan model ketiga Volkswagen yang menggunakan nama sedia ada selepas ID. Polo dan ID. Cross.

Model ini akan menggantikan ID.4 dan ID.5, selain ditawarkan bersama Tiguan yang dipacu rangkaian kuasa enjin pembakaran (ICE) dan hibrid.

Tiguan merupakan model terlaris Volkswagen dan Volkswagen Group dengan lebih 8.3 juta unit Tiguan telah dihasilkan setakat ini.

Dalam tempoh setahun lalu, penghantaran Tiguan dan Tayron melebihi 1 juta unit.

Reka Bentuk Baharu

Gambar depan Volkswagen ID. Tiguan

Meskipun berkongsi nama, ID. Tiguan bukan salinan versi ICE sebaliknya tampil dengan rekaan baharu.

AutoCar berpeluang memandu prototaip ID. Tiguan dan menurut mereka, model ini 44 mm lebih panjang berbanding ID.4.

Selain itu boleh dilihat rekaan keseluruhan yang kemas dan bergaya. Model ini juga lebih cenderung ke arah crossover berbanding SUV seperti Tiguan.

Dua Pilihan Bateri

Gambar depan Volkswagen ID. Tiguan

Menurut AutoCar, ID. Tiguan dijangka mengekalkan dua pilihan bateri, iaitu bateri 58 kWj litium-besi-fosfat (LFP) untuk varian asas dan bateri 77 kWj nikel-mangan-kobalt (NMC).

Kapasiti bateri tidak meningkat berbanding ID.4, tetapi kemas kini pada platform dan sistem pemacu elektrik memberikan peningkatan dari segi kecekapan dan jarak.

Tiga output kuasa dijangka ditawarkan, iaitu:

  • 188 hp
  • 282 hp
  • 295 hp untuk versi dwi-motor 4Motion

Jarak perjalanan pula dianggarkan antara 280 hingga 373 batu (450 hingga 600 km), bergantung kepada varian.

AutoCar menyatakan jarak tersebut membolehkan ID. Tiguan mengatasi Hyundai Ioniq 5, selain merapatkan jurang dengan Tesla Model Y dan Renault Scenic E-Tech.

Pelancaran rasmi Volkswagen ID. Tiguan dijadualkan pada awal Oktober 2026, sebelum model berkenaan memasuki pasaran Eropah pada awal 2027.

Bakal Masuk Malaysia?

Gambar belakang Volkswagen ID. Tiguan

Berbanding pengeluar lain, Volkswagen dilihat ketinggalan dalam penawaran kenderaan elektrik di pasaran Malaysia dan Asean.

Di sebalik pergerakan yang perlahan, Volkswagen sentiasa hadir dengan kejutan seperti Golf GTI, Touareg yang dipasang di Pekan, Pahang.

Volkswagen juga memasarkan Tayron yang masih baharu di pasaran antarabangsa.

Berbekalkan penerimaan pasaran yang positif terhadap EV, ID. Tiguan dilihat mempunyai potensi bagi mengisi ruang yang masih kosong dari Volkswagen.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved