Arkib Kategori: MALAYSIA

Perodua Traz 10 terlaris pada Feb, Ativa terkeluar sejak Jan 2026!

Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar dengan Perodua Traz membuktikannya kalis kecaman manakala Proton Saga dan Perodua Bezza terus bersaing sengit.

Segmen SUV kompak kini menjadi tumpuan Traz terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 terlaris, meninggalkan Ativa yang terkeluar dari radar kelompok elit sejak Januari 2026.

Dalam masa yang sama, persaingan dua model sedan paling ikonik negara, Saga dan Bezza terus menjadi drama kejar-mengejar sengit setakat tahun ini.

Drama Saga vs Bezza: Siapa Sebenarnya Raja?

Permulaan tahun ini memihak kepada Proton apabila Saga 2026 berjaya mengejutkan pasaran dengan kemenangan besar pada bulan Januari.

Namun, Perodua tidak menunggu lama untuk melakukan serangan balas pada bulan berikutnya.

  • Januari (Kemenangan Proton): Saga mendominasi dengan 10,285 unit, manakala Bezza tertinggal di belakang dengan 8,431 unit.
  • Februari (Kebangkitan Perodua): Bezza merampas kembali takhta bulanan dengan 7,031 unit, memintas Saga yang mencatatkan 6,007 unit.
  • Keputusan Keseluruhan (YTD): Walaupun Bezza menang di Februari, Proton Saga masih memegang gelaran Raja 2026 setakat ini dengan jumlah terkumpul 16,292 unit berbanding Bezza 15,462 unit.

Proton e.MAS 5: Dominasi Mutlak Pasaran EV

Satu lagi pencapaian yang wajib diberi perhatian adalah prestasi Proton e.MAS 5.

Model ini secara konsisten menjadi pilihan utama pengguna yang mahu beralih kepada teknologi elektrik daripada model petrol tradisional.

Setakat Februari 2026, e.MAS 5 telah merekodkan pendaftaran sebanyak 4,630 unit (YTD).

Kedudukannya yang kukuh di tangga ke-6 keseluruhan pasaran membuktikan bahawa Proton kini adalah peneraju sebenar pasaran EV massa di Malaysia, jauh meninggalkan pencabar EV dari jenama asing.

Satu-Satunya Wakil Luar: Toyota Hilux

Dalam keghairahan jenama nasional menguasai carta, satu fakta yang mengejutkan adalah bagaimana jenama asing tradisional semakin terhimpit.

Daripada 10 kedudukan teratas model paling laris, sembilan daripadanya didominasi sepenuhnya oleh Proton dan Perodua.

Toyota Hilux muncul sebagai pejuang tunggal jenama luar yang berjaya menyelit di kedudukan ke-10 dengan 3,015 unit pendaftaran (YTD).

Jenama Jepun lain yang dahulunya gah kini terpaksa akur berada di luar kelompok elit model individu bagi tahun 2026.

Fenomena Jenama China: Pintas Gergasi Jepun

Bukan sekadar model individu, landskap pengeluar  juga berubah drastik. Jenama dari China kini mula mencabar dominasi tradisi jenama Jepun yang sudah lama bertapak di Malaysia:

  • Chery: Kini melonjak ke kedudukan ke-5 jenama paling laris dengan 5,101 unit, menghampiri Honda yang berada di tangga ke-4 (6,556 unit).
  • BYD: Berjaya menduduki tangga ke-7 dengan 1,382 unit, secara rasminya memintas jenama Jepun seperti Mazda (1,285 unit).

Perodua Traz vs Ativa: Jurang Semakin Rapat!

Di segmen SUV kompak, Perodua Traz terus membuktikan dirinya sebagai model yang kalis kecaman.

Walaupun dihujani kritikan netizen berkaitan spesifikasinya di media sosial, angka jualan menunjukkan realiti yang berbeza apabila Traz kekal utuh dalam kelompok Top 10 pasaran Malaysia bagi dua bulan berturut-turut.

Prestasi Perodua Traz (Kekal No. 8):

  • Januari: Mencatatkan 1,901 unit (Kedudukan No. 8).
  • Februari: Kekal kukuh dengan 1,710 unit (Kedudukan No. 8).
  • Jumlah Terkumpul (YTD): Sebanyak 3,611 unit, mengukuhkan statusnya sebagai antara SUV paling diminati rakyat Malaysia ketika ini.

Prestasi Perodua Ativa (Daripada 11 ke 15):

  • Januari: Bermula perlahan dengan 1,012 unit, menyebabkannya tercampak ke kedudukan ke-15.
  • Februari: Menunjukkan sinar kebangkitan dengan 1,352 unit.
  • Pertumbuhan: Pendaftaran melonjak drastik sebanyak 33.6% dalam tempoh sebulan.
  • Status Semasa: Melonjak naik ke tangga ke-11 dan berada di pintu Top 10.

Fakta Menarik (Jan – Feb 2026)

  • Saga Kekal Takhta Nombor 1: Walaupun tewas pada Februari, Proton Saga masih mendahului carta keseluruhan tahun 2026 dengan 16,292 unit.
  • Bezza Comeback: Perodua Bezza membuktikan taring terus berbisa dengan merampas kedudukan No. 1 Februari melalui 7,031 unit pendaftaran.
  • Lonjakan Ativa: Ativa mencatatkan pertumbuhan pendaftaran bulanan tertinggi dalam kem Perodua iaitu sebanyak 33.6% pada Februari.
  • Fenomena e.MAS 5: Satu-satunya model EV dalam Top 10 Malaysia dengan 4,630 unit atau separuh daripada pendaftaran Myvi.
  • Hilux Bertahan: Toyota Hilux menjadi satu-satunya model bukan kebangsaan dalam kelompok Top 10 dengan 3,015 unit.
  • Chery Himpit Honda: Jenama Chery kini hanya dibezakan sekitar 1,400 unit sahaja untuk merampas kedudukan ke-4 keseluruhan daripada Honda.
  • Dominasi Tempatan: 9 daripada 10 kereta paling laris di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini dari jenama kebangsaan.

Sumber: data.gov.my

Jetour T2 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM156,800

Jetour Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV terbaharu Jetour T2 2026.

Ia merupakan SUV saiz pertengahan yang dibina berdasarkan senibina unibodi Kunlun, dan direka untuk aktiviti off-road yang ringan.

Jetour T2 2026 dijual pada harga bermula dari RM156,800.

Bersempena dengan pelancaran, Jetour Malaysia turut menawarkan pakej berikut:

  • Jaminan 7-tahun atau had perbatuan 150,000 km
  • Jaminan enjin 10-tahun atau had perbatuan 1 juta km
  • Pakej servis percuma (5 kali)
  • Pakej early bird berupa rebat tunari RM2,000 (untuk 3,000 pelanggan pertama)

Spesifikasi Jetour T2 2026

SUV ini dikuasakan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Kuasa sekitar 241 hp @ 5,500 rpm serta daya kilas 375 Nm @ 1,750-4,500 rpm itu kemudian disalur kepada sistem pacuan semua roda Intelligent XWD.

Jetour T2 menyediakan 7 mod pemanduan serta mod adaptif X.

Luaran

SUV ini membawakan ukuran sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1,870 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm.

Ia menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang.

Jetour T2 menawarkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 30 darjah, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan mampu meredah air sedalam 700 mm.

Ciri lain termasuklah:

  • jeriji hadapan dengan perkataan JETOUR bercahaya
  • rim aloi 19 inci
  • sistem lampu LED
  • pintu tailgate dengan fungsi sedutan elektrik
  • ruang simpanan tayar pada pintu tailgate

Kelengkapan kabin dan keselamatan

Ruang kabin Jetour T2 menampilkan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • tempat duduk baris depan balutan leatherette dengan larasan kuasa, pengudaraan dan fungsi memori
  • bumbung kaca panorama
  • sistem pencahayaan ambien
  • sistem audio Sony Premium dengan 12 pembesar suara
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W

SUV ini menawarkan ruang kargo sebesar 580 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,494 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Secara standard, Jetour T2 dilengkapi dengan enam beg udara serta 14 ciri ADAS Tahap 2 termasuklah:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan jelajah bersepadu (ICA)
  • sistem pengesanan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHBC)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • sistem pengelakan pintar (IAS)
  • kawalan  jelajah adaptif (ACC)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan kesesakan trafik (TJA)

Tidak ketinggalan, ciri yang memudahkan pemandu seperti sistem pemantauan keliling (PVM) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Warna

Terdapat tiga warna yang ditawarkan untuk Jetour T2 2026:

  • Khaki White
  • Aviation Silver
  • Carbon Black

Ferrari Amalfi 2026 debut di Malaysia – GT 640 PS pengganti Roma

Ital Auto Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kereta berprestasi tinggi jenama Ferrari melancarkan model baharu Amalfi 2026 untuk pasaran tempatan.

Ferrari Amalfi merupakan sebuah Grand Tourer (GT) yang diposisikan sebagai pengganti kepada Ferrari Roma.

Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan.

GT aras mula tapi kuasa 640 PS!

Amalfi dikuasakan oleh enjin bentangan V8 3.9 liter turbo berkembar dengan output 640 PS @ 7,500 rpm dan daya kilas 760 Nm @ 3,000-5,750 rpm.

Nadi V8 itu dipadankan dengan kotak gear DCT 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.

Dengan tangki bahan api 80 liter, kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 11.2 liter untuk setiap 100 km

Casis & Dimensi

Ferrari Amalfi membawakan konfigurasi enjin depan pacuan roda belakang (FR), dengan nisbah agihan berat badan 50:50.

Dimensi pula sepanjang 4,660 mm, lebar 1,974 mm, tinggi 1,301 mm dan jarak antara roda pula 2,670 mm.

GT ini turut menawarkan ruang kargo sebesar 273 liter.

Secara standard, Amalfi dibekalkan dengan rim bersaiz 20 inci dengan balutan tayar 245/35 di depan dan 285/35 untuk gandar belakang (jenama Bridgestone Potenza Sport atau Pirelli P Zero).

Bantuan elektronik

Ferrari Amalfi dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik (EPS), diikuti bantuan elektronik seperti ABS Evo, Side Slip Control (SSC) 6.1, E-Diff3, serta kawalan cengkaman (TCS).

Selain itu, GT ini hadir dengan kelengkapan ADAS termasuklah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Brek Kecemasan Automatik (AEB)
  • Sistem Pengesan Titik Buta (BSD)
  • Amaran keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu

Terdapat juga opsyen sistem pemantauan keliling serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA).

Ruang kabin

Susun atur kabin Amalfi telah direka semula, menampilkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 15.6 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • skrin penumpang 8.8 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • roda stereng lengkap dengan butang fizikal dan dial rotari

Terdapat juga slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar yang diintegrasikan pada terowong tengah.

Amalfi turut menyokong sambungan MyFerrari Connect yang membolehkan pemilik memantau status semasa kenderaan menerusi aplikasi khusus.

Antara ciri opsyen yang boleh ditambah termasuklah:

  • tempat duduk selesa dengan fungsi urut dan pengudaraan
  • Burmester Premium Audio System 1,200W dengan 14 pembesar suara

Kemas kini OTA baharu untuk Leapmotor B10 tambah ciri pintar

Stellantis Malaysia mengumumkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk SUV Leapmotor B10.

Antara ciri utama yang ditambah termasuklah:

  • keupayaan pemanduan pedal tunggal
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (berwayar dan tanpa wayar)
  • fungsi arahan suara yang lebih meluas

Terima kasih kepada naik taraf ini, operasi sistem infohibur menjadi lebih pantas diikuti format split screen untuk memudahkan pemandu.

Ciri keselamatan turut ditambah baik dengan sistem pengesan kehadiran dalam kabin yang dioptimumkan, diikuti fungsi ACC & LCC yang diperhalusi untuk mengurangkan nyahpecutan mendadak ketika di selekoh.

Pengedaran OTA bermula Februari 2026

Kemas kini OTA ini telah mula diedarkan kepada para pemilik seawal Februari.

Pemilik Leapmotor B10 hanya perlu menunggu notifikasi dalam kenderaan dan boleh mengemas kini secara terus melalui sistem kenderaan.

 

Proton tawar rebat raya RM500 untuk e.MAS 5

Pro-Net mengumumkan promosi istimewa untuk kereta elektrik e.MAS sempena musim perayaan yang bakal menjelang.

Promosi berupa rebat bernilai RM500 itu sah untuk semua tempahan yang dibuat antara 31 Oktober 2025 hingga 23 Mac 2026.

Pelanggan perlu melengkapkan pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya 30 September 2026.

Prestasi jualan cemerlang

Sehingga Februari 2026, Proton mencatatkan pendaftaran e.MAS 5 melepasi 5,000 unit di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,068 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada bulan Januari, dan lagi 1,562 unit pada bulan Februari.

Ini mencerminkan permintaan yang berterusan serta keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap model ini.

Proton e.MAS 5 dilancarkan secara rasmi tahun lepas dengan tanda harga bermula dari RM59,800 untuk varian Prime, dan dari RM72,800 untuk varian Premium.

Proton X90 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga dari RM99,800

Baru bulan Mac, tapi Proton sudah pun melancarkan model keempat untuk tahun ini, iaitu Proton X90 2026.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan (selepas rebat) seperti berikut:

  • Proton X90 Lite – RM99,800
  • Proton X90 Prime – RM109,800
  • Proton X90 Prime X – RM115,800

Proton X90 kini dapat enjin baru

Perubahan yang besar sudah pasti nadi kuasa yang digunakan bagi menggantikan trenkuasa hibrid ringan pada model terdahulu.

Proton X90 kini dipacu enjin empat silinder sebaris 1.5TD i-GT dengan kuasa 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Menurut Proton, kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.9 liter untuk setiap 100 km.

Luaran tidak banyak beza

Tidak banyak perubahan bersifat kosmetik dibuat pada Proton X90 2026 ini.

Bahagian luaran SUV tiga baris ini mendapat ciri seperti:

  • lampu LED penuh berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED
  • rim aloi 18 inci
  • rel bumbung (had muatan 75 kg)

Varian Prime dan Prime X pula mendapat tambahan ciri lampu automatik, fungsi Follow Me Home serta penyeka kaca dengan penderia hujan.

Ruang kabin

Kelengkapan standard untuk ruang kabin X90 2026 termasuklah:

  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • kombinasi paparan meter 3.5 inci
  • roda stereng balutan leatherette
  • tempat duduk balutan leatherette
  • kawalan iklim dua zon automatik
  • sistem audio 6-pembesar suara

Varian Prime pula mendapat tambahan ciri:

  • skrin kluster digital 10.3 inci
  • tempat duduk pemandu berkuasa elektrik larasan 6-tahap

Sementara Prime X (6-tempat duduk) pula mendapat kelengkapan berikut:

  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • tempat duduk pemandu larasan 8-tahap & sokongan tulang belakang
  • tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa elektrik 4-tahap
  • Boss Switch
  • tempat duduk kapten baris kedua
  • fungsi pengudaraan tempat duduk (baris pertama & kedua)
  • perehat kepala ergonomik (baris pertama & kedua)

Ruang kargo adalah sebesar 257 liter, dan boleh mencapai sehingga 2,050 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.

Ciri keselamatan

Proton X90 2026 dilengkapi dengan ciri berikut:

  • 6 beg udara
  • 4 penderia parkir belakang
  • kamera undur
  • Walk Away Auto Lock

Varian Prime pula mendapat tambahan ciri:

  • kamera 360 darjah HD dengan fungsi pandangan telus 180 darjah
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • 2 penderia parkir hadapan

Sementara varian Prime X pula mendapat kamera perakam pemanduan (DVR) sebagai ciri eksklusif.

 

UMW Toyota catat jualan sebanyak 4,856 unit sepanjang Februari 2026

UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jualan sebanyak 4,856 unit sepanjang bulan Februari 2026.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan setakat tahun ini sebanyak 9,556 unit.

Prestasi stabil ini didorong permintaan berterusan terhadap model teras Toyota, diperkukuh dengan barisan produk yang dipertingkat pada awal tahun serta rangkaian pengedar dan selepas jualan Toyota di seluruh negara.

Fokus elektrifikasi merentas segmen

UMWT memasuki tahun 2026 dengan memperkenalkan beberapa model yang diperbaharui dan elektrifikasi merentas segmen utama, memberi pelanggan lebih banyak pilihan yang disokong ekosistem pemilikan yang mantap.

Antara model baharu yang memainkan peranan penting:

  • Vios Hybrid & Vios HEV GR Sport
  • Corolla Cross HEV GR Sport (facelift)
  • Vellfire HEV
  • Harrier HEV

Keempat-empat model ini mencerminkan pelaksanaan strategi Multi-Pathway Toyota, yang memperkenalkan elektrifikasi secara progresif merentas sedan, SUV dan MPV dan tidak tertumpu pada satu segmen sahaja.

Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor, “Dalam pasaran yang berubah pantas, pertumbuhan mesti berpaksikan hala tuju yang jelas dan pendekatan Multi-Pathway memastikan pelanggan tidak terikat pada satu penyelesaian.

“Dengan memperluas pilihan hibrid sambil memperkukuh rangkaian kami, kami menyediakan pilihan elektrifikasi praktikal yang disokong ekosistem pemilikan yang boleh dipercayai.”

Pembukaan Pusat 4S Prima Pearl

Pada 9 Februari 2026, UMWT merasmikan Pusat 4S Prima Pearl di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Kemudahan bersepadu ini menyatukan perkhidmatan Jualan, Servis serta Badan & Cat di bawah satu bumbung, meningkatkan kemudahan dan kapasiti servis untuk pelanggan di wilayah utara.

Antara kemudahan lain termasuklah:

  • 4 ruang pameran
  • 2 ruang serahan
  • 10 ruang servis am
  • 10 ruang Badan & Cat

Sokongan Pemilikan & Promosi Menjelang Raya

UMWT terus memberi keutamaan kepada sokongan pemilikan yang tersusun:

  • Toyota Service Savers — penyelenggaraan berkala serendah RM31 sebulan.
  • Toyota Extend — perlindungan waranti lanjutan untuk model terpilih.

Sempena bulan Mac, UMWT menawarkan promosi berikut:

  • Pakej pembiayaan dengan nilai sehingga RM7,500
  • Ansuran bulanan bermula RM658 untuk model terpilih

 

BYD Sime Motors perluas rangkaian bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara

BYD Sime Motors terus memperluaskan lagi rangkaian jualan dan servis EV di seluruh negara bagi menjadikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses.

Sehingga kini, BYD sudah mempunyai lebih 40 buah bilik pameran di seluruh negara.

BYD turut menyasarkan 34 buah pusat servis beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 selepas sembilan lagi fasiliti siap dibangunkan.

BYD tembus beberapa lokasi strategik

Jenama EV itu turut meluaskan kehadirannya di beberapa lokasi strategik termasuklah di Muar, Kluang, Kuala Terengganu, Sungai Petani dan Juru.

Pusat 3S BYD Ipoh turut menyediakan hab pengecasan EV yang pertama di bandar tersebut dengan kemudahan pengecas DC 180 kW dan 240 kW.

Sementara Pusat 3S BYD Sri Hartamas pula terletak di dalam pusat membeli belah yang menggabungkan aspek jualan, servis dan juga alat ganti.

Selain itu, terdapat 12 pusat badan & cat (B&P) yang telah beroperasi di seluruh negara.

Aspek selepas jualan turut disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah daripada BYD Academy serta gudang alat ganti berpusat untuk memastikan stok mencukupi dan tempoh menunggu lebih singkat.

Pembukaan BYD Mansion di Pulau Pinang

BYD Sime Motors turut mengumumkan BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang akan mula beroperasi tahun ini.

Fasiliti baharu itu menggandingkan elemen kebudayaan tempatan ke dalam falsafah rekaan bagi mencipta ruang yang unik dan premium.

Rekaan baharu itu akan dijadikan sebagai satu standard untuk diterapkan pada bilik pameran BYD yang lain.

Prestasi cemerlang BYD tahun 2025

Berikut merupakan pencapaian BYD sepanjang tahun 2025:

  • Penyerahan kenderaan sebanyak 14,407 unit atau peningkatan 68 peratus berbanding 2024
  • 10,000 pelanggan pertama dicapai dalam 20 bulan, 10,000 seterusnya dalam masa 13 bulan
  • Jenama ke-6 paling laris dan jenama bukan nasional no.4 di Malaysia

Melihatkan perkembangan semasa, BYD optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pelanggan di Malaysia pada April 2026.

 

Porsche Carrera Cup Asia 2026: Pelumba simulator Naquib Azlan dipilih wakili Team Porsche Malaysia

Team Porsche Malaysia bakal menampilkan bakat tempatan Naquib Azlan untuk perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia 2026 dalam kategori PRO.

Juara Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 kategori Driven Dreamers itu akan memandu jentera Porsche 911 Cup (992.2) #17.

Penyertaan Naquib Azlan turut mendapat kerjasama daripada Earl Bamber Motorsport (EBM) dan Axle Motorsports.

Daripada sim racing ke litar sebenar

Pelumba berusia 26 tahun itu memulakan karier menerusi perlumbaan simulasi pada tahun 2020.

Beliau kemudian beralih ke perlumbaan kereta sebenar menerusi program anjuran Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Setelah dinobatkan sebagai juara kategori Driven Dreamers tahun lepas, Naquib terpilih untuk menyertai program Porsche Carrera Cup Asia Talent Pool.

Lebih membanggakan apabila Naquib berjaya mencatatkan rekod pusingan terpantas (1:35.391) di Litar Antarabangsa Zhuhai semasa sesi ujian rasmi PCCA 2026 (28 Februari-1 Mac).

“Pengenalan pertama terhadap sukan permotoran adalah menerusi perlumbaan simulasi, dan saya terus tertarik dari mula.

“Berlumba di dalam Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia membuka peluang yang saya tidak pernah bayangkan.

“Kini berlumba dengan Porsche Malaysia yang mempunyai warisan perlumbaan yang kuat merupakan satu penghormatan mutlak.

“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan daripada Porsche Malaysia serta bimbingan Axle Motorsports sepanjang perjalanan ini, dan berharap agar dapat mewakili Malaysia dan Porsche di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Liveri baharu Team Porsche Malaysia

Jentera 911 GT3 Cup (992.2) yang bakal dipandu Naquib tahun ini menampilkan layangan liveri baharu yang melambangkan jenama Sime Motors.

Bumbung kereta ini turut dihiasi layout rasmi Porsche Experience Centre Singapura yang bakal dibuka tahun 2027.

Fasiliti yang pertama di Asia Tenggara itu menjanjikan pengalaman dalam litar yang menyeluruh untuk pelanggan dan peminat.

Ia dilihat dapat mengukuhkan lagi kehadiran jenama Porsche serta budaya sukan pemotoran di rantau ini.

Pusingan pembukaan PCCA di Shanghai

Pusingan pertama Porsche Carrera Cup Asia 2026 akan berlangsung di Shanghai, China pada 14-15 Mac ini.

Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-9, 10 dan 11 yang menampilkan dua perlumbaan sprint dan satu perlumbaan format endurans.

Tiket Autobacs Super GT 2026 sudah mula dijual – harga serendah RM80

Tiket kemasukan bagi acara Autobacs Super GT 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (19–21 Jun) kini sudah mula dijual.

Promosi awal menawarkan tiket grandstand K1 pada RM80 (harga biasa RM100) dan grandstand utama pada RM200 (harga biasa RM250).

Pas masuk Super GT 2026 yang lebih premium

Pilihan lebih premium turut disediakan seperti berikut:

  • GT Club Suite: RM450 seorang hingga RM30,000 (suite eksklusif 70 pax)
  • GT Paddock Club: RM2,000
  • Experience Package: RM5,000
  • Dream Package (2 pax): RM15,000
  • VVIP Package (2 pax): RM50,000

Pemegang pas GT Club Suite & GT Suite akan mendapat akses pitlane walk, manakala GT Paddock Club turut menikmati grid walk.

Experience Package menambah pengalaman Circuit Safari bersama kereta GT. Dream & VVIP Package pula merangkumi semua keistimewaan termasuk taxi ride dan pit tour eksklusif.

Selain perlumbaan rasmi, peminat akan turut disajikan dengan aksi Vios Challenge Toyota Gazoo Racing serta edisi sulung ASEAN GR86 Cup.

Tidak ketinggalan, festival Nihon Matsuri yang menyajikan pesta makanan serta kebudayaan Jepun serta acara larian ALEPS Ekiden Night Run pada 20 Jun.

Tiket kemasukan boleh dibeli menerusi:

Super GT 2025 tarik kunjungan 75,977 peminat

Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Kongsi Pengurusan HARO Sports & Entertainment, Autobacs Super GT 2025 berjaya menarik kunjungan 75,977 peminat dan juga penonton perlumbaan sepanjang hujung minggu tersebut.

“Matlamat kami adalah untuk menjadikan acara ini lebih menarik pada tahun ini dan untuk tahun-tahun seterusnya.”

 

Mforce lancar platform komuniti digital Mforce Experience Club (MEC)

Mforce Bike Holdings mengumumkan pelancaran rasmi platform komuniti digital baharu Mforce Experience Club (MEC).

MEC direka untuk menghimpunkan pengguna serta kelab-kelab motosikal di bawah rangkaian jenama Mforce di seluruh Malaysia.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pemilikan motosikal menerusi pelbagai program eksklusif, aktiviti bertaraf nasional serta jaringan komuniti yang lebih luas.

 

Manfaat sertai Mforce Experience Club

 

Antara kelebihan menyertai Mforce Experience Club termasuklah:

  • Komuniti rasmi & diiktiraf oleh Mforce Bike Holdings
  • Pengalaman eksklusif untuk sertai acara dan program terpilih Mforce
  • Komuniti bersepadu yang menghubungkan kelab dan pemilik motosikal Mforce dari seluruh Malaysia
  • Penyertaan pelbagai aktiviti berskala besar dan bertaraf nasional

Ahli MEC turut menikmati faedah keahlian seperti sesi pratonton model motosikal terpilih, akses kepada promosi terhad serta peluang sertai sesi dialog komuniti bersama wakil pihak Mforce.

Beberapa program utama turut dirancang di bawah inisiatif MEC, antaranya:

  • Malaysia Bike Week
  • Track Day Experience
  • Konvoi bersiri mengikut zon di seluruh negara
  • Bengkel latihan keselamatan dan teknik tunggangan
  • Konvoi amal serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR)

Platform ini boleh diakses menerusi pautan https://mforceclub.my/

Gentari lancar stesen pengecasan EV 200 kW di PETRONAS Penchala Link

Gentari dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pembukaan stesen pengecasan pantas EV di PETRONAS Penchala Link (arah Damansara).

Stesen pengecas antara bandar ini menyediakan pengecas DC 200 kW yang dilengkapi tiga muncung pengecas.

Berbanding pengecas 24 kW sedia ada, masa pengecasan dapat dikurangkan kira-kira 20 minit.

Ini membolehkan pengguna mengecas kapasiti bateri lebih 60 peratus dan tempoh berhenti yang lebih singkat.

Stesen pengecas Gentari ini mampu meningkatkan akses kepada pengecasan berkelajuan tinggi memandangkan ia merupakan satu-satunya pengecas 200 kW dalam radius lima kilometer.

Inisiatif ini mencerminkan perancangan koridor strategik LLM serta komitmennya memperkukuh infrastruktur lebuh raya Malaysia untuk era EV.

Kerjasama Gentari dan LLM mengubah fungsi lebuh raya daripada sekadar penghubung antara negeri kepada infrastruktur yang dapat menyokong pergerakan EV antara bandar disumbangkan oleh lokasi strategik dan selaras dengan keperluan perjalanan sebenar.

 

Siti Nurhaliza merupakan pemilik pertama dan duta jenama GWM Wey G9 di Malaysia

GWM Malaysia secara rasmi menyerahkan MPV plug-in hybrid GWM Wey G9 Hi4 kepada pemilik pertama, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Dalam majlis serahan di GWM USJ, penyanyi popular tanah air itu turut diumumkan sebagai duta rasmi jenama Wey G9.

Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, “Kami amat berbesar hati untuk menyerahkan Wey G9 Hi4 PHEV kepada Siti Nurhaliza.

“Dengan ciri keselamatan, keselesaan, rekaan dan teknologi pintar, Wey G9 dicipta untuk pemandu yang pakar dalam menilai prestasi, menitikberatkan kecanggihan reka bentuk dan keyakinan dalam setiap perjalanan.

GWM Wey G9 pelengkap hidup Dato’ Siti

Siti Nurhaliza turut berkongsi kegembiraan beliau semasa menerima WEY G9 yang disifatkan sebagai detik yang begitu bermakna dan bernilai dalam kehidupannya.

“WEY G9 Hi4 PHEV terasa begitu sempurna dalam melengkapkan kehidupan harian saya.

“Keselesaan, ruangnya yang luas, dan reka bentuk dalamannya menjadikan setiap perjalanan lebih tenang dan menyeronokkan.

“Sama ada untuk keluar bekerja, menghadiri mesyuarat, atau meluangkan masa bersama keluarga tersayang, setiap perjalanan dirasakan lancar, damai, dan meyakinkan.

“Inilah maksud sebenar keseimbangan dan kemudahan yang amat saya hargai.”

800 tempahan diterima sejak pelancaran

Sejak dilancarkan, WEY G9 Hi4 PHEV telah menerima lebih 800 tempahan dalam minggu pertama.

Ini disumbangkan dengan harga jualan yang cukup kompetitif, iaitu sekitar RM269,800.

Moto Morini Alltrhike 450 2026 rasmi di Malaysia – harga RM28,888

Seperti yang dijanjikan tahun lepas, jentera adventure kelas pertengahan Moto Morini Alltrhike 450 2026 kini rasmi di Malaysia.

Model baharu ini dijual pada harga RM28,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

 

Spesifikasi Alltrhike 450

Ia dikuasakan oleh enjin parallel-twin 449 cc menghasilkan kuasa 44.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear 6-kelajuan dan klac F.C.C. slipper.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik KYB boleh laras sepenuhnya, diikuti penyerap hentak tunggal KYB dengan larasan pra-beban dan redaman lantunan.

Brek pula menggunakan rotor terapung tunggal J.Juan depan dan belakang.

Alltrhike 450 turut dilengkapi sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan cengkaman (TCS), serta mod khas ALLTRHIKE yang dikhususkan untuk laluan off-road.

Ciri lain termasuklah:

  • sistem lampu LED penuh berserta DRL
  • rim jejari 21 inci depan/18 inci belakang
  • tangki bahan api 18.5 liter
  • tinggi pelana 850 mm
  • skrin paparan TFT 6-inci
  • port pengecasan USB Type-A dan Type-C
  • cermin penghadang angin boleh laras

Tiga warna menarik disediakan iaitu Earth Grey, Stone Black dan Brave White.

Turut didatangkan standard ialah dua kotak storan sisi (34 liter kiri, 30 liter kanan), kotak atas 39 liter, pelindung tangan serta palang pelindung enjin.

Mitsubishi Triton Championship Edition 2026 bakal lancar 11 Mac ini, harga dari RM155,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal melancarkan trak pikap Triton Championship Edition 2026 pada 11 Mac ini.

 

Edisi khas sempena kejayaan AXCR

Mitsubishi Triton Championship Edition 2026 merupakan edisi khas yang diinspirasikan daripada kemenangan jenama itu dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun 2025. 

Berbeza dengan Triton standard, Triton edisi khas ini ditawarkan dengan spesifikasi yang dipertingkat, gaya lebih garang, elemen inspirasi sukan permotoran, serta unit produksi terhad.

 

Dua varian eksklusif

Terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu Triton Athlete dan Triton AT Premium.

Triton Athlete ditawarkan dalam warna eksklusif Jet Black Mica, dan hanya 150 unit sahaja dihasilkan.

Antara naik taraf termasuklah:

  • decal badan eksklusif
  • padanan tayar all-terrain
  • sistem infohibur 9-inci
  • sistem pemantauan keliling (ARM)
  • sarung perehat kepala bertemakan AXCR

Sementara Triton AT Premium pula ditawarkan dalam 120 unit terhad, dan hadir dalam warna eksklusif White Diamond.

Ciri eksklusif varian ini termasuklah:

  • rim sports 18 inci warna hitam
  • styling bar
  • kemasan bawah bampar hadapan
  • decal badan khas
  • sarung perehat kepala bertemakan AXCR

Harga

Berikut merupakan harga jualan bagi kedua-dua varian Triton Championship Edition (atas jalan tanpa insurans):

  • Triton Athlete Championship Edition: RM169,980
  • Triton AT Premium Championship Edition: RM155,980

Sempena pelancaran, pelanggan yang membuat tempahan akan menerima sarung key fob eksklusif dan pek pelekat bertemakan sukan permotoran.

 

Spesifikasi Triton 2026

Triton dikuasakan oleh enjin diesel 2.4 liter turbo (4N16) yang didatangkan dengan dua talaan kuasa berbeza.

Pada model Triton AT Premium, enjin ini berupaya menghasilkan kuasa 184 PS dan daya kilas maksimum 430 Nm, dipadankan dengan sistem Easy Select 4WD.

Untuk Triton Athlete pula, ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 204 PS dan daya kilas 470 Nm dipadankan dengan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II dan sistem Active Yaw Control (AYC).

Triton Athlete turut hadir dengan kelengkapan keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS) termasuklah fungsi berikut:

  • Sistem Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCM)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

 

Mitsubishi Triton AT Premium 2026

 

Mitsubishi Triton Athlete 2026

Zontes Malaysia lancar 4 skuter 368 Series 2026, harga dari RM23,800

Zontes Malaysia secara rasmi melancarkan empat buah model di bawah siri 368 untuk tahun 2026, dengan harga jualan seperti berikut:

  • Zontes 368D – RM23,800
  • Zontes 368E – RM25,800
  • Zontes 368K – RM27,800
  • Zontes 368G – RM28,800

Spesifikasi Zontes 368 Series

Keempat-empat skuter ini dikuasakan enjin silinder tunggal 368 cc menghasilkan kuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm.

Kesemua skuter ini dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti:

  • Kawalan Pendikit Elektronik (ETC) Bosch
  • Kawalan Jelajah
  • Kawalan Cengkaman (TCS)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Selain itu, terdapat juga sokongan aplikasi Zontes Smart App 3.0 membolehkan penunggang mengakses informasi masa nyata, sejarah tunggangan dan diagnostik sistem menerusi peranti pintar.

 

Inisiatif Geng4Ride

Dalam masa yang sama, Zontes Malaysia turut mengumumkan inisiatif ‘Geng4Ride’ yang terbahagi kepada empat kumpulan berbeza yang unik dan tersendiri.

 

Zontes 368D untuk Geng Stylo

Zontes 368D direka untuk tunggangan yang lebih meyakinkan di dalam kawasan urban.

Dengan berat sekitar 175 kg, 368D lebih ringan 25 kg berbanding model 350D, menyumbang kepada pengendalian yang lebih lincah.

Aspek praktikaliti disumbangkan oleh ruang storan sebesar 20 liter.

Terdapat tiga warna iaitu kelabu, hitam dan hijau.

 

Zontes 368E untuk Geng Convoy

Sebagai sebuah skuter maxi touring, Zontes 368E sememangnya sesuai untuk mereka yang gemar membuat tunggangan berkonvoi jarak jauh.

Sama seperti 368D, 368E juga lebih ringan berbanding model terdahulu, dan lengkap dengan ciri seperti:

  • pemanas grip bar hendal
  • pemanas tempat duduk
  • ruang pemijak kaki yang lebih lebar
  • ruang storan sebesar 50 liter boleh muat dua helmet

Terdapat dua warna disediakan iaitu kelabu dan hitam.

 

Zontes 368K untuk Geng Healing

Berbeza dengan penawaran model lain, 368K tampil dengan ciri yang lebih premium.

Antaranya ialah:

  • pelana gaya sofa dengan sokongan tulang belakang
  • storan sebesar 50 liter
  • skrin paparan Luxury UI 6.75 inci
  • cermin penghadang angin larasan elektrik
  • lampu LED projektor automatik
  • rak barang aloi magnesium

Zontes 368K ini hanya ditawarkan dalam warna tunggal kelabu.

 

Zontes 368G untuk Geng Explorer

Akhir sekali, skuter kembara Zontes 368 yang direka untuk penunggang yang mahu menikmati pengalaman outdoor dan off-road ringan.

Ia menampilkan ciri seperti:

  • tangki bahan api 17.5 liter
  • mod tunggangan Sport dan Touring
  • storan sebesar 52 liter

Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna perang atau kelabu, dan dua varian berbeza:

  • Varian Standard dengan pelana 770 mm dan jarak kelegaan tanah 155 mm
  • Varian High dengan pelana 795 mm dan jarak kelegaan tanah 180 mm

Sejak dilancarkan Januari 2025, Zontes 368G telah terjual sebanyak lebih 5,000 unit menunjukkan popularitinya di kalangan penunggang di Malaysia.

 

Zontes 368D 2026

 

Zontes 368E 2026

 

Zontes 368K 2026

 

Zontes 368G 2026

Mforce labur RM10 juta bangunkan konsep ‘skuchai’ 200 cc, lancar awal 2027

Mforce Bike Holdings mengumumkan pembangunan model baharu bersesaran 200 cc yang dikenali sebagai “Skuchai”.

Sebanyak RM10 juta telah dilaburkan oleh Mforce merangkumi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kejuruteraan reka bentuk.

Selain itu, ia turut meliputi ujian ketahanan, pembangunan prototaip serta penyesuaian teknikal untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia dan antarabangsa.

 

Skuchai – konsep tiga-dalam-satu

Konsep yang pertama di dunia ini menggabungkan tiga elemen berbeza, iaitu:

  • reka bentuk skuter
  • enjin kapcai
  • sistem CVT automatik

Antara kelebihan model “Skuchai” ini termasuklah:

  • aspek ergonomik dan keselesaan ala skuter
  • struktur yang ringan macam kapcai
  • transmisi CVT untuk tunggangan lebih praktikal dalam bandar
  • sesuai untuk perjalanan jarak sederhana dan tunggangan santai

Jurutera Malaysia sumbang idea konsep awal

Pembangunan model ini merupakan hasil kerjasama Mforce bersama rakan teknologi di China.

Ia merupakan langkah awal dalam memperkukuh rangkaian pembangunan global kumpulan Mforce, khususnya dalam aspek kejuruteraan platform dan integrasi teknologi.

Jurutera tempatan turut sama memainkan peranan penting dalam melahirkan idea konsep awal, lakaran reka bentuk, serta pembangunan model tanah liat sebelum memasuki fasa pengeluaran.

Gabungan kreativiti tempatan dan kepakaran antarabangsa memastikan model yang dihasil bukan sahaja berdaya saing dari sudut teknologi, malah menepati citarasa pengguna tempatan dan serantau.

 

Unit prototaip sudah siap, bakal lancar 2027

Menurut Asri Ahmad selaku Ketua Pengawai Operasi Mforce, model prototaip “skuchai” ini telah siap sepenuhnya dan kini dalam fasa penghasilan unit pra-pengeluaran untuk ujian ketahanan dan penilaian prestasi menyeluruh.

Beliau menambah, “skuchai” ini akan dipamerkan kepada umum buat kali pertama di Malaysia Bike Show 2026 pada Mei akan datang.

Pelancaran rasmi dijangka dibuat pada suku pertama tahun 2027.

Maklumat lanjut berkenaan spesifikasi penuh serta harga rasmi akan diumumkan menjelang tarikh pelancaran kelak.

Jaecoo J5 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM108,000

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi melancarkan model SUV baharu Jaecoo J5 2026 untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM102,000.

Harga yang disebutkan itu tadi sah bermula 5-15 Mac 2026, dan selepas itu akan dijual pada harga RM108,000.

Sebagai sebuah SUV segmen B, Jaecoo J5 bakal diposisikan sebagai alternatif yang lebih kecil kepada SUV Jaecoo J7 sedia ada.

 

Spesifikasi Jaecoo J5

Model ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana 147 PS dan 210 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT. Kadar bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 6.4 liter/100 km.

Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan menawarkan jarak antara roda 2,620 mm.

Antara pesaing di dalam kategori SUV segmen B, J5 memiliki panjang yang sama dengan Proton X50, dan pendek sedikit berbanding Chery Omoda 5, Chery Tiggo Cross dan Honda HR-V.

Namun, J5 memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada kabin yang lebih lapang.

Selain itu, ruang kargo J5 adalah sebesar 480 liter, dan mampu mencapai kapasiti 1,284 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 60:40.

Unik di dalam segmennya, Jaecoo J5 menawarkan tetapan suspensi topang MacPherson untuk gandar depan, dan tetapan multi-link di belakang.

Sebagai perbandingan, rata-rata model pesaing SUV segmen B dilengkapi dengan tetapan torsion beam yang lebih ringkas.

 

Kelengkapan luaran dan kabin

Sama seperti model Jaecoo yang lain, J5 membawakan penampilan luar premium yang diilhamkan daripada jenama SUV Britain.

Keempat-empat sudut dilengkapi dengan rim 18 inci serta balutan tayar 235/55 R18 untuk imej yang lebih bergaya.

Ciri lain termasuklah lampu utama berserta lampu nyalaan siang dalam perumah tunggal, struktur jeriji yang agak besar, pemegang pintu konvensional, pintu tailgate berkuasa serta spoiler di bahagian belakang.

Bahagian kabin J5 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin kluster LCD 8 inci, skrin tengah 13.2 inci resolusi 2K dengan sokongan WiFi, Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio 8-pembesar suara.

Selain itu, J5 dilengkapi bumbung kaca panorama 1.45 meter persegi, serta slot pengecasan peranti tanpa wayar dengan pengudaraan aktif.

J5 juga menggunakan bahan kemasan mesra haiwan peliharaan yang mendapat pensijilan TUV.

 

Ciri keselamatan

Jaecoo J5 dilengkapi dengan ciri ADAS Tahap 2.5 yang turut merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Kawalan Jelajah Terintegrasi (ICC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif Kelajuan Penuh (ACC)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (DAI)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Brek Trafik Silang Belakang (RCTB)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Pengehad Kelajuan Aktif (ASL)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Sistem Brek Berbilang Pelanggaran (MCB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
  • Bantuan Elak Kemudi (ESA)

 

Pakej ‘Early Bird’

Omoda | Jaecoo Malaysia turut menawarkan pakej ‘Early Bird’ bernilai RM8,000 sah dari 5-15 Mac 2026 merangkumi perkara berikut:

  • insurans tahun pertama (RM3,000)
  • rebat Duit Raya (bernilai RM3,000)
  • aksesori subwoofer, mikrofon tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi (bernilai RM2,000)

Aveta Bellagio 125 & Viper 180 2026 rasmi dilancarkan – harga dari RM6,998

Aveta Motor Malaysia rasmi melancarkan dua model skuter baharu, iaitu Bellagio 125 2026 dan Viper 180 2026.

Berikut merupakan harga jualan bagi model skuter yang dilancarkan:

  • Bellagio 125 – RM6,998
  • Viper 180 – RM8,998

Spesifikasi Aveta Bellagio 125

Aveta Bellagio 125 menampilkan rekaan retro-moden dan direka untuk tunggangan yang selesa dalam kawasan bandar.

Ia dikuasakan oleh enjin 124 cc sejukan udara menghasilkan 8.7 hp dan daya kilas 9.5 Nm.

Antara kelengkapan yang dibawakan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem brek cakera depan
  • skrin penghadang angin gaya klasik
  • paparan digital LCD berwarna penuh
  • tangki bahan api sebesar 6 liter

Terdapat tiga warna menarik iaitu Diamond White, Pistachio Green dan Carbon Black.

Spesifikasi Aveta Viper 180

Tidak seperti Bellagio 125, Viper 180 direka untuk penunggang yang mahukan rupa dan prestasi yang lebih bertenaga.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal 174 cc menghasilkan 18.2 hp dan 17.2 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem lampu LED penuh
  • bar hendal boleh laras
  • kamera perakam tunggangan hadapan
  • paparan TFT 7 inci dengan fungsi skrin sentuh
  • sistem ABS dua-saluran & kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktif

Tiga warna ditawarkan, iaitu Arctic White, Midnight Black dan Storm Gray.

Mercedes-Benz GLA 2026 Nightfall Edition kini di Malaysia – harga dari RM258,888

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu Mercedes-Benz GLA edisi Nightfall untuk tahun 2026.

Terdapat dua varian ditawarkan, iaitu:

  • GLA 200 Nightfall Edition – RM258,888
  • GLA 250 4MATIC Nightfall Edition – RM295,888

Ciri unik GLA 2026 edisi Nightfall

Mercedes-Benz membawakan beberapa ciri luaran unik khas untuk model ini, antaranya:

  • kemasan AMG Line & Night Package
  • sistem brek sports
  • tetapan suspensi lebih rendah
  • rim aloi AMG 19 inci

Sementara GLA 250 pula mendapat kelengkapan seperti:

  • rim aloi AMG 20 inci
  • sistem lampu Multibeam LED (mod lampu pintar, lampu aktif, suluhan tinggi Ultra Range, dan bantuan suluhan tinggi)

Untuk ruang kabin pula, GLA Nightfall Edition mendapat perincian berikut:

  • kemasan AMG Line
  • roof liner fabrik hitam
  • roda stereng sports balutan kulit nappa
  • tempat duduk sports
  • upholsteri Artico/Microcut
  • tali pinggang keledar kelabu

Dari segi kuasa, GLA 200 hadir dengan enjin 1,332 cc menghasilkan kuasa 163 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 270 Nm @ 2,000-3,500 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.9 saat dan kelajuan maksimum 210 km/j.

Sementara GLA 250 4MATIC pula mendapat tetapan enjin 2.0 liter 224 hp @ 5,500 rpm-6,100 rpm dan daya kilas 350 Nm @ 2,000-4,000 rpm dipadankan dengan sistem hibrid ringan (13 hp/150 Nm).

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 240 km/j.