PETRONAS Sprinta kini merupakan rakan strategik kelab rasmi Ducati Malaysia (Ducati Official Club Malaysia atau DOCM) untuk tahun 2025.
Pengumuman tersebut dibuat bersempena dengan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang ke-8 yang kini mempunyai ahli seramai 1,600 orang.
Kerjasama yang terjalin antara kedua-dua belah pihak itu dilihat akan meningkatkan lagi taraf DOCM selain mengukuhkan kedudukannya sebagai komuniti Ducati yang terkemuka di Malaysia dan Asia.
Menurut Zameer Zahur Hussain selaku Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) berkata, “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan DOCM dan menjadi rakan utama mereka untuk tahun 2025.
“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kehadiran jenama kami dalam komuniti dua roda tempatan, dan menunjukkan kualiti unggul produk PETRONAS Sprinta.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk menyokong komuniti Ducati sambil memperkukuhkan penembusan produk buatan Malaysia kami di pasaran domestik.
Perhimpunan tahunan itu yang berlangsung di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA itu turut menyaksikan sebanyak 301 buah motosikal daripada pelbagai model Ducati berjaya dihimpunkan.
Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru sahaja melancarkan motosikal retro Kawasaki Z650RS untuk pasaran Malaysia, bersempena dengan pembukaan pusat pameran Kawasaki Puncak Alam siang tadi.
Kawasaki Z650RS dikuasakan oleh enjin parallel-twin 649 cc yang sama didapai pada model Ninja 650 dan Z650, menghasilkan kuasa 67 hp dan daya kilas 65.7 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam kelajuan, dibantu dengan klac assist & slipper.
Z650RS menggunakan kerangka jenis trellis keluli berkekuatan tinggi, diikuti dengan suspensi fork hadapan 41 mm dan suspensi belakang jenis horizontal back-link, dengan masing-masing membenarkan jarak pergerakan roda 100 mm dan 125 mm.
Sistem brek terdiri daripada cakera berkembar saiz 300 mm di depan berserta angkup dua omboh, dan rotor tunggal 220 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 12 liter, tinggi pelana 820 mm, lampu depan belakang jenis LED, tolok meter analog berserta skrin digital LCD, tidak ketinggalan ciri keselamatan ABS dua saluran dan kawalan cengkaman (KTRC).
Kawasaki Z650RS dijual pada harga bermula RM37,200 dan boleh didapati di semua pusat pameran Kawasaki All-Star di seluruh negara.
Pusat 4S Kawasaki Puncak Alam merupakan fasiliti ketujuh di Malaysia dan kedua di Selangor yang dikendalikan oleh Puncak Alam Motoworld Sdn Bhd.
Untuk tahun 2025, MODENAS merancang untuk mendirikan 13 pusat 4S Kawasaki di seluruh Malaysia.
Bosch Mobility Aftermarket (MA) hari ini memperkenalkan rangkaian produk baharu dengan teknologi terkini, dalam usaha memacu industri automotif ke tahap lebih tinggi.
Menurut syarikat itu, setiap produk direka khusus untuk meningkatkan prestasi kenderaan ke tahap optimum, memperkukuh aspek keselamatan, serta memaksimumkan kecekapan.
Berikut adalah produk baharu Bosch yang dilancarkan:
Clear Advantage TL Wiper
Direka untuk ketahanan yang lebih tinggi dan kebolehsuaian lebih baik bagi kenderaan baharu buatan Jepun.
Proses pengelapan yang lebih senyap dalam apa jua keadaan cuaca.
EFB Battery (M42R)
Dioptimumkan untuk kenderaan Mula-Henti dan diuji sehingga 36,000 kitaran.
Berkuasa tinggi dengan 400 Cold Cranking Amps (CCA) dan 40 Amp Hours (Ah) untuk jangka hayat yang lebih lama.
C70B Battery Charger
Pengecasan cekap dengan mod sokongan binaan dalaman untuk meningkatkan aspek penggunaan.
Pengecasan pintar dengan tetapan memori tersedia.
Ketahanan kalis air IP65 yang diperakui dan pengecasan automatik menerusi satu butang yang intuitif.
EVO Spark Plug
Jangka hayat lebih lama hasil penggunaan pin iridium dan plat platinum untuk menawarkan prestasi yang optimum.
Struktur mekanikal dan elektrik yang teguh untuk ketahanan lebih baik dan keupayaan dielektrik yang tinggi.
Reka bentuk penebat yang dipertingkatkan dan salutan nikel untuk perlindungan kakisan yang lebih baik.
Engine Oil
Direka untuk memberikan pelinciran berprestasi tinggi bagi kecekapan enjin yang optimum dalam semua keadaan.
Mengoptimumkan kecekapan untuk penjimatan bahan api yang lebih baik dan tahap penggunaan yang lebih rendah.
Melindungi sistem ekzos, mengurangkan emisi, dan mengekalkan pelinciran yang stabil.
Ceramic Brake Pad
Bahan plat sokongan berkekuatan tinggi untuk mengurangkan lenturan pad dan direka khas untuk kenderaan buatan Malaysia.
Reka bentuk pemipis penahan bunyi untuk saringan bunyi yang lebih baik.
Formulasi geseran yang sepadan dengan kenderaan untuk keberkesanan brek dalam semua keadaan.
Compound Brake Disc
Mengurangkan berat kenderaan dan jisim bebas suspensi untuk meningkatkan keselesaan dan kawalan pemanduan.
Kapasiti haba dan keraliran udara panas dipertingkatkan yang membolehkan aspek penyejukan lebih pantas.
Memenuhi dan menjangkaui piawaian ECER 90 serta dibangunkan untuk kenderaan Continental.
ENV6 Brake Fluid
Sesuai untuk DOT3, DOT4, DOT5.1 dan Class 6 dengan sifat anti-kakisan.
Jangka hayat servis yang lebih panjang dan memenuhi piawaian OE.
Dibangunkan untuk kenderaan Continental dan sesuai bagi kegunaan kenderaan buatan Jepun untuk prestasi brek yang lebih baik.
“Kami teruja memperkenalkan produk canggih ini kepada pihak berkepentingan, seiring dengan komitmen teguh kami untuk terus menawarkan hanya yang terbaik daripada jenama yang telah dipercayai sejak lebih 100 tahun,” Dillion Goh Kian Chiang, Pengarah Perniagaan Negara Bosch Mobility Aftermarket Malaysia.
Walaupun menghadapi persaingan sengit daripada jenama lain, Proton berkata barisan SUV-nya yang dikenali sebagai X-Series kekal teguh dalam pasaran.
X50
Menurut syarikat itu, X50 muncul sebagai SUV terlarisnya dengan jumlah jualan sebanyak 23,647 unit pada tahun lepas. Versi 2024 yang dilancarkan pada 4 Jun tahun lalu menerima sambutan memberangsangkan dengan lebih 8,000 unit tempahan diterima dalam bulan pertama. Sebanyak 13,780 unit X50 2024 terjual pada tahun lalu, iaitu 58.3% daripada jumlah keseluruhan jualan model ini.
Sementara itu, X50 Sport Edition pula menerima 941 tempahan dan 299 unit telah didaftarkan dalam masa kurang daripada sebulan selepas dilancarkan.
Kajian terbaru terhadap lebih 1,300 pelanggan mendedahkan bahawa pemilik Proton X50 tertarik kepada gabungan ciri-ciri, prestasi enjin, serta ruang kabin yang luas.
X70
SUV pertama Proton iaitu X70 pula mencatatkan jualan sebanyak 5,628 unit bagi versi 2025. Jumlah ini mewakili 62.6% daripada keseluruhan jualan sebanyak 8,992 unit pada tahun 2024.
Berdasarkan tinjauan terbaru yang sama, antara faktor penting yang mempengaruhi keputusan pembelian adalah kecekapan penggunaan bahan api, ciri-ciri yang ditawarkan, dan prestasi enjin.
Dilancarkan pada Ogos tahun lalu, X70 2025 menawarkan pelbagai peningkatan berbanding model sebelumnya, merangkumi gaya luaran yang diperbaharui, kelengkapan dalaman yang terkini, dan teknologi keselamatan ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf.
X90
SUV segmen D iaitu X90 terus mendominasi pasaran sejak dilancarkan dua tahun lalu, dengan 3,553 unit diserahkan pada tahun 2024.
Proton berkata, pembeli tertarik dengan kombinasi prestasi pemanduan yang baik, ruang penyimpanan yang luas, dan nilai yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan.
Sekitar 30% daripada pembeli memilih kereta ini kerana prestasi pemanduan yang menyakinkan, sementara 27% lagi tertarik dengan ruang penyimpanan yang luas, nilai yang berbaloi dengan wang, serta jumlah ciri yang ditawarkan berbanding pesaing. Pemilik X90 mempunyai keluarga dan anak-anak dengan profil pembelian yang serupa dengan X50.
“Respons positif pasaran terhadap barisan model kami adalah bukti jelas kepercayaan dan kesetiaan yang telah kami raih daripada pelanggan. Kami terus berdedikasi untuk menghasilkan kenderaan yang memberikan prestasi cemerlang, ciri-ciri menarik, dan nilai yang berbaloi, untuk masa yang akan datang,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Tidak cukup dengan sistem hibrid ringkas yang telah digunakan pada model-model produksi sedia ada, Yamaha kini memperlihatkan prototaip Series Parallel Hybrid Electric Vehicle (SPHEV) yang direka untuk skuter kelas pertengahan.
Sistem hibrid siri selari ini menggandingkan enjin dengan dua motor elektrik yang dipadankan pada skuter XMAX yang telah diubahsuai.
Salah satu daripada motor elektrik tersebut digunakan untuk menggerakkan roda, manakala sebuah lagi motor elektrik dihubungkan terus dengan enjin untuk menjana kuasa elektrik.
Sama seperti mana-mana unit rangkaian kuasa hibrid, sistem SPHEV ini menawarkan mod pemanduan elektrik tanpa menggunakan khidmat enjin, mod pemanduan hibrid bersiri untuk tunggangan yang lebih cekap, atau operasi enjin pada kelajuan yang lebih tinggi.
Menariknya, sistem SPHEV ini juga menawarkan mod tujahan (boost).
Mod dual boost akan menggunakan kuasa daripada enjin dan motor pacuan, manakala mod triple boost pula akan menggunakan kuasa daripada motor penjana
Selain daripada skuter, Yamaha juga sedang meneroka potensi unit rangkaian kuasa ini untuk dipadankan pada model lain seperti streetbike dan juga sportsbike.
Selepas Kia EV4 didedahkan, Kia memperlihatkan pula sebuah kenderaan binaan khusus (Purpose Built Vehicle) berkuasa elektrik, iaitu Kia PV5.
Dari segi rekaan, Kia PV5 tidak banyak membawakan perbezaan yang ketara jika dibandingkan dengan PV5 Concept yang diperlihatkan lebih setahun yang lalu.
Kia PV5 boleh didapati dalam versi van penumpang dan van kargo.
Beza ketara antara kedua-dua model ini ialah kewujudan tingkap sisi untuk van penumpang, sementara van kargo pula membawakan bukaan pintu gelangsar pada kedua-dua sisi kiri dan kanan kenderaan, diikuti dengan bukaan pintu tailgate berkembar di belakang.
Selain daripada itu, kedua-dua model berkongsi elemen rekaan yang serupa, seperti contoh lampu nyalaan siang (DRL) LED pada penghujung cermin hadapan, diikuti dengan port pengecasan dan unit lampu utama di bahagian tengah muka.
Ia juga menampilkan struktur pemegang pintu yang agak besar, diikuti dengan unit lampu belakang menegak.
Menurut Kia, selain daripada konfigurasi van penumpang dan van kargo, pembeli juga boleh memilih beberapa konfigurasi lain untuk PV5, atau menentukan sendiri spesifikasi mengikut keperluan.
Spesifikasi penuh Kia PV5 akan didedahkan secara rasmi pada 27 Februari ini.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 41,688 unit kenderaan.
Dalam siaran media yang diterbitkan, aktiviti ini bertujuan untuk memeriksa kenderaan yang terlibat disebabkan oleh kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada kenderaan tersebut, selain mengelakkan berlakunya kemalangan.
Menurut JPJ, setiap pemilik yang terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing untuk menentukan slot pemeriksaan.
Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dan kos penggantikan akan ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.
Pihak JPJ juga akan memantau pelaksanaan kempen panggil semula ini untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat disahkan selamat.
Senarai kenderaan yang terlibat boleh dirujuk pada galeri dibawah:
Selepas dipertontonkan di Malaysia buat pertama kali pada minggu lalu, MPV elektrik premium dari sub-jenama milik BYD iaitu Denza D9 akhirnya dilancarkan ke pasaran tempatan secara rasmi.
Dengan pelancaran ini, Denza turut mengumumkan harga jualan D9. Ia bermula dari RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.
Ia didatangkan dengan waranti sehingga lapan tahun/160,000 km untuk bateri (SOH melebihi 70%) serta waranti sehingga lapan tahun/150,000 km untuk motor pacuan dan pengawal motornya.
Selain itu, Denza juga menawarkan waranti kenderaan sehingga 6 tahun atau 150,000 km.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, D9 didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk. Ia mempunyai ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920, manakala tapak rodanya 3,110 mm panjang.
Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.
Dengan dua motor elektrik, Premium AWD pula mempunyai 369 hp dan 470 Nm yang menyaksikan masa pecutan 0-100 km/j dikurangkan kepada 6.9 saat sahaja.
Kedua-dua varian mendapat bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj yang sama. Bagaimanapun, jarak gerak (kitaran NEDC) antara kedua varian ini berbeza iaitu 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.
Bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Pengecasan selama 10 minit pula akan memberikan jarak gerak sejauh 150 km.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW.
Tarikan utama pada bahagian dalam ada kerusi kapten pada barisan kedua. Ia dilengkapi dengan pelarasan elektrik 10 hala, fungsi memori dan urut, yang boleh diakses dan dikawal menerusi skrin digital kecil pada perehat tangan.
Sistem infohibur merangkumi panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 15.6 inci, sistem Dynaudio dengan 14 pembesar suara dan tiga pengecas tanpa wayar 50W. Secara keseluruhannya, MPV ini mempunyai enam port pengecas USB.
Selain itu, ciri-ciri upholsteri kulit (Nappa untuk Premium AWD), bumbung kaca panoramik dan peti sejuk 7.5 liter yang juga mempunyai fungsi pemanas turut disertakan.
Di samping upholsteri kulit yang lebih mewah, varian Premium AWD juga mendapat pelapik bumbung suede, cermin anti-silau automatik, cermin pandang belakang digital dan head-up display 12 inci.
Satu lagi kelebihan varian tertinggi itu adalah turut dilengkapi dengan sistem peredam pintar Disus-C.
Untuk keselamatan, D9 diberikan enam beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Front Cross Traffic Alert, Lane Keeping Assist, Lane Departure Warning dan banyak lagi.
Bagaimanapun, ciri Forward Traffic Crossing Alert (FCTA) dan Forward Traffic Crossing Braking (FCTB) disertakan pada Premium AWD sahaja.
SUV premium saiz pertengahan Volvo XC60 generasi kedua telah pun wujud di pasaran sejak 2017 lagi.
Model Volvo yang paling laris terjual ini telah dikemas kini untuk model tahun 2026, membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik dengan elemen yang dipinjamkan daripada XC90.
Seperti contoh, struktur jeriji yang telah direka semula, diikuti dengan unit lampu belakang yang lebih gelap, serta pilihan rekaan rim baharu.
Selain daripada itu, Volvo XC60 juga kini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Forest lake dan Aurora Silver, serta warna Mulberry Red untuk pertama kalinya.
Masuk ke dalam ruang kabin, XC60 dilengkapi dengan skrin infohibur bersaiz lebih besar (11.2 inci), disokong dengan perisian terkini, kemas kini over-the-air (OTA), dan perkakasan yang telah dinaik taraf.
Terima kasih kepada penggunaan Snapdragon Cockpit Platform generasi baharu daripada Qualcomm, sistem infohibur ini jauh lebih pantas berbanding sistem sedia ada.
Tiada sebarang perubahan dibuat pada penawaran enjin, bermakna XC60 masih kekal dengan varian B5 hibrid ringan berkuasa 250 PS, T6 PHEV berkuasa 350 PS atau T8 PHEV berkuasa 461 PS – tertakluk kepada pasaran.
Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka ia sebuah motosikal futuristik daripada animasi Akira tahun 1988 yang direalisasikan dalam dunia nyata.
Yang sebetulnya, motosikal ini dihasilkan oleh firma rekaan daripada Jepun, Ichiban dengan mengambil inspirasi daripada motosikal fiksyen yang disebutkan tadi.
Tidak seperti motosikal fiksyen Akira, jentera dua roda Ichiban ini membawakan pendekatan yang lebih minimalis.
Selain panel badan dan penutup ruang ‘enjin’ yang bersegi, ia juga menampilkan bar hendal yang agak ringkas, lengkap dengan skrin paparan digital dengan animasi seakan permainan video era 80-an.
Ia juga turut dilengkapi dengan unit lampu utama LED berbentuk seakan pil, serta lampu belakang dengan grafik garisan melintang yang bertindih.
Akhir sekali, motosikal Ichiban ini dilayangkan dengan skema warna dua tona merah putih – sekali lagi mengingatkan kita pada motosikal daripada anime Akira.
Berdasarkan info di laman web rasmi, motosikal Ichiban ini dikuasakan oleh dua motor elektrik 6.7 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh masa 3.5 saat, dan jarak tunggangan sejauh 250 km.
Menariknya, terdapat mod “Godzilla” yang membenarkan anda mengekalkan kelajuan 100 km/j dalam tempoh 10 saat.
Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah sistem brek anti-kunci (ABS) dan juga kawalan cengkaman.
Harus diingatkan, jentera dua roda elektrik Ichiban ini masih lagi merupakan sebuah model konsep, namun besar kemungkinan ia akan memasuki fasa produksi prototaip sebelum dijual kepada umum.
Continental Tyre Malaysia berkata semua tayar keluarannya sesuai untuk kenderaan klektrik (EV), memastikan keselamatan, keselesaan, dan kecekapan.
Memanfaatkan teknologi Jerman dan R&D yang kukuh, Continental memenuhi keperluan khusus EV seperti kapasiti beban yang lebih tinggi, tahap bunyi yang rendah, dan prestasi yang lancar.
Di peringkat global, 10 pengeluar EV sepenuhnya dengan jumlah pengeluaran tertinggi termasuk BMW, BYD, Kia, Mercedes-Benz, Renault, Smart, dan Volvo, bergantung pada tayar Continental sebagai Original Equipment (OE) mereka.
Berdasarkan pengalamannya yang luas, Continental memastikan setiap tayarnya dalam pelbagai segmen direka khas untuk keserasian penuh dengan EV serta disesuaikan bagi memenuhi keperluan prestasi uniknya.
Antara tayar Continental yang ditawarkan di pasaran termasuk:
SportContact SC7 menawarkan keyakinan pemanduan dan prestasi yang luar biasa
MaxContact MC7 menekankan kawalan dan pengendalian yang tepat
UltraContact UC7 sesuai untuk pemandu yang mencari keselesaan serta cengkaman luar
biasa di permukaan basah
ComfortContact CC7 menonjol dengan keselesaan unggul dan pemanduan yang senyap
EcoContact EC6/EC6 Q direka bentuk untuk kecekapan tenaga maksimum, sekaligus memanjangkan jarak pemanduan dengan sekali cas
Untuk memastikan tayar sesuai digunakan pada kenderaan elektrik, pengguna perlu mempertimbangkan ciri-ciri seperti indeks beban dan kelajuan untuk menampung berat kenderaan yang lebih tinggi, daya cengkaman, serta reka bentuk yang memaksimumkan kecekapan tenaga.
Selain keserasian, Continental menawarkan teknologi noise breaker yang menjadikan tayar lebih senyap.
“Tayar kami bukan sahaja direka untuk meningkatkan prestasi tetapi juga memenuhi keperluan unik sistem pemanduan alternatif. Barisan produk kami merangkumi pelbagai jenis kenderaan, termasuk yang menggunakan bahan api, hibrid, dan elektrik sepenuhnya, dengan teknologi canggih yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus pasaran Malaysia,” kata Andrea Somorova, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia.
Shell Malaysia hari ini melancarkan Shell FuelSave Diesel baharu untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Bahan api yang dipertingkatkan itu diperkenalkan di Malaysia Timur pada Mei tahun lalu.
Menurut Shell Malaysia, formula terbaharu ini merupakan bahan api diesel yang paling efisien oleh Shell setakat ini, mampu memberikan sehingga 19 kilometer lebih jauh untuk setiap tangki.
Formula ini terhasil daripada penyelidikan dan ujian intensif yang dijalankan oleh 150 saintis selama lebih lima tahun.
Selain menawarkan jarak lebih jauh bagi setiap tangki, Shell FuelSave Diesel baharu turut membersihkan enjin secara mendalam, menghilangkan sehingga 65% deposit enjin berbahaya dan melindungi daripada pembentukan deposit baharu.
Penggunaan bahan aditif penyasaran deposit dwi-tindakan pula menanggalkan deposit berbahaya dan melindungi enjin.
Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobiliti Malaysia, berkata, “Shell komited untuk menyokong rakyat Malaysia dengan menambah baik penawaran kami bagi memberikan lebih nilai. Ketika rakyat Malaysia berdepan dengan perubahan seperti rasionalisasi subsidi bahan api, Shell FuelSave Diesel baharu menawarkan penyelesaian praktikal, membantu pemandu pergi lebih jauh dengan setiap tangki.”
“Sama ada anda memandu kereta diesel di jalan raya sibuk Kuala Lumpur, memandu trak pacuan empat roda dengan muatan berat di cerun berbukit Cameron Highlands, atau merentasi jalan kampung dan laluan berlumpur ke Terengganu, Shell FuelSave Diesel baharu direka untuk memberikan prestasi yang terbaik dalam pelbagai keadaan jalan raya,” tambah beliau.
Selepas pelancaran skuter maxi kembara Vanguard 250 awal tahun yang lalu, Aveta Malaysia kini melancarkan dua buah skuter daripada siri Nova yang lebih mampu milik – Nova 125 dan Nova 160.
Aveta Nova 125
Skuter berharga RM5,188 ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan termasuklah para pelajar yang mahu mencari kenderaan yang lebih mampu milik.
Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara 125 cc menghasilkan kuasa 9.0 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 8.6 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik, diikuti lengan ayun dengan penyerap hentak tunggal di belakang.
Selain itu, ia mendapat ciri Combined Brake System (CBS) yang terdiri daripada brek cakera hadapan dan gelendong di belakang, serta rim 14 inci dengan balutan tayar 80/90-14 depan dan 90/90-14 di belakang.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 6 liter, panel meter digital LCD, soket pengecas USB, serta tinggi pelana 765 mm.
Aveta Nova 125 tersedia dengan warna Peach Berry, Grey Lemon, dan Blue Lemon.
Aveta Nova 160
Peminat skuter yang lebih bergaya boleh mendapatkan Aveta Nova 160 dengan harga jualan bermula dari RM7,988.
Ia dikuasakan enjin silinder tunggal sejukan cecair 154.4 cc menghasilkan 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, diikuti penyerap hentak berkembar berserta sub-tangki di belakang.
Nova 160 didatangkan dengan sistem brek cakera depan dan belakang, sayang sekali ia tidak didatangkan dengan ciri keselamatan brek anti-kunci.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api 10 liter, sistem tanpa kunci, sistem idling stop system (ISS), panel meter digital, sistem lampu LED, soket pengecasan USB dan tinggi pelana 778 mm.
Skuter Nova 160 tersedia dengan warna Raven Red, Aveta Blue dan Copper Blaze.
Kedua-dua model Nova 125 dan Nova 160 berada di pasaran Malaysia bermula Mac 2025.
Setelah muncul buat kali pertama di Singapura pada bulan lepas, Tesla Model Y 2025 versi facelift ini akhirnya rasmi mendarat di pasaran Malaysia.
Berdasarkan spesifikasi yang dibekalkan oleh Tesla Malaysia, SUV elektrik ini boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu RWD berharga RM195,450 dan Long Range All Wheel Drive (AWD) berharga RM242,450.
Varian paling rendah RWD menawarkan jarak gerak sejauh 466 km (data WLTP), pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 5.9 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j.
Sementara varian Long Range AWD pula membenarkan jarak pandu sejauh 551 km untuk sekali cas penuh, serta pecutan 0-100 km/j sepantas 4.3 saat.
Pembeli boleh mendapatkan pilihan rim Crossflow bersaiz 19 inci, atau naik taraf kepada rim Helix 2.0 bersaiz 20 inci (RM10,000). Terdapat juga lima pilihan warna iaitu Stealth Gey, Pearl White Multi-Coat (+RM5,000), Glacier Blue (+RM7,500), Quicksilver dan Ultra Red (+RM11,000).
Terdapat beberapa perubahan yang terdapat pada Tesla Model Y facelift ini:
• bar lampu LED melintang depan dan belakang yang diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck
• kaca dwi-lapis untuk ruang kabin yang lebih senyap
• lapisan filem perak pada bumbung kaca panorama untuk mengurangkan kesan UV dan haba
• rekaan baharu rim dan diffuser belakang untuk mengurangkan rintangan udara, menjadikan pemanduan lebih stabil dan senyap
• ruang kabin dapat sistem pencahayaan ambien, tempat duduk berventilasi, dan skrin paparan baris kedua – sama macam Tesla Model 3
Untuk pasaran Malaysia, terdapat juga Tesla Model Y Launch Edition yang ditawarkan dalam unit terhad.
Ia menampilkan lencana unik pada bahagian belakang, lampu lopak berlogo, perkataan Launch Series pada plet ambang pintu, trim suede vegan serta kemasan khas pada konsol pengecasan dan alas lantai.
Ciri Autopilot asas dibekalkan secara standard, namun pembeli boleh mendapatkan kelengkapan Enhanced Autopilot (+RM16,000) yang menambah fungsi Navigate on Autopilot, Auto Lane Change, Autopark, Dumb Summon dan Actually Smart Summon.
Kelengkapan Full Self Driving (FSD) pula berharga RM32,000, merangkumi fungsi-fungsi yang terdapat pada Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot, serta penambahan fungsi Autosteer, Traffic Light & Stop Sign Control.
Ucapkan selamat datang kepada model elektrik terbaharu Kia EV4, model kelima di dalam siri “EV” Kia selepas model EV3, EV5, EV9 dan EV6.
Kia EV4 dibangun menggunakan pelantar E-GMP, dan membawakan pendekatan rekaan yang hampir serupa dengan adik-beradiknya yang lain.
Menariknya, Kia EV4 boleh didapati dalam versi hatchback dan juga sedan (fastback).
Kedua-dua model hatchback dan sedan ini berkongsi rekaan muka hadapan yang sama, termasuklah EV Tiger Face, unit lampu utama dan lampu nyalaan siang LED di penghujung bampar, serta padanan plastik pelindung pada gerbang roda.
Membezakan antara kedua-dua model sudah pasti rekaan pada bahagian belakang.
Untuk versi sedan, Kia EV4 membawakan konsep rekaan ‘long tail’ yang diinspirasikan daripada supercar ikonik, diikuti dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang dan unit lampu belakang menegak.
Sementara versi hatchback pula tampil dengan struktur lampu yang lebih konvensional dan dramatik, kaca belakang yang lebih kecil dan diakhiri dengan spoiler bumbung.
Pembeli juga berpeluang untuk mendapatkan Kia EV4 dalam varian GT-Line yang menawarkan rim 19 inci, diikuti dengan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporti.
Lebih banyak perincian termasuklah rekaan ruang kabin akan didedahkan menjelang pelancaran rasmi di peringkat global pada penghujung bulan ini.
Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd mengumumkan bahawa ia akan mula mengeksport kenderaan ke pasaran Asia Tenggara tahun ini, sekali gus menjadikannya jenama China pertama yang mengeksport keluar dari Malaysia.
Menurut syarikat itu, langkah ini juga selaras dengan visi Chery bagi menjadikan Malaysia sebagai hub produksi bagi rantau ini.
Fasa pertama eksport melibatkan model SUV enjin pembakaran dalaman (ICE) dan plug-in hybrid (PHEV) Jaecoo ke Vietnam, diikuti dengan lebih banyak model ke pasaran-pasaran lain seperti Thailand, Brunei, Filipina dan Singapura.
Leo Chen, naib presiden Chery Corporate Malaysia berkata syarikat itu sedang berkembang dengan baik ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D di Asia Tenggara.
“Langkah memperluaskan eksport ini akan memperkukuh kapasiti pengeluaran kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini.
“Selain itu, Chery teruja untuk memainkan peranan dalam merangsang ekonomi Malaysia, membangunkan bakat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan kami,” katanya.
Pengeluaran untuk pasaran eksport Asia Tenggara disokong oleh fasiliti pengeluaran Chery Corporate Malaysia di Shah Alam, Selangor. Sebagai persediaan meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi pertumbuhan masa depan, Chery turut menjalinkan kerjasama strategik dengan kilang pemasangan tempatan lain di Malaysia.
Untuk tahun 2024, Chery Group mencatat jualan melebihi 2.6 juta kenderaan, meningkat 38.4% berbanding tahun sebelum itu. Eksport pula mencecah 1.1 juta unit, naik 21.4% berbanding 2023.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ bermula hari ini (7 Februari).
Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli, pengenalan fungsi baharu tersebut bertujuan memudahkan borang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
Dengan adanya fungsi baharu ini, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar mereka.
Berikut adalah cara melakukan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ:
Muat turun atau kemas kini aplikasi MyJPJ ke versi terkini
Log masuk ke akaun MyJPJ anda
Pilih menu “Permohonan CDL”
Pilih “Tempoh Pembaharuan”
Pilih “Mod Bayaran” dan bayar fi permohonan secara dalam talian
Permohonan anda akan diproses dan anda akan menerima notifikasi status permohonan
“JPJ Malaysia berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama, seterusnya menjadi salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.
“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Penggunaan kenderaan elektrik dengan sistem sel bahan api hidrogen (FCEV) masih belum cukup meluas jika dibandingkan dengan kenderaan elektrik (EV).
Mengambil contoh Toyota Mirai, sedan berkuasa hidrogen ini telah dilancarkan sejak tahun 2014 lagi dengan lebih 28,000 unit telah terjual di lebih 30 buah negara.
Satu angka yang cukup kecil.
Namun, selain daripada pasaran kereta penumpang, Toyota juga sebenarnya telah membekalkan sistem sel bahan api ini untuk kegunaan lain seperti bas, kereta api dan sistem penjana kuasa pegun sejak tahun 2019.
Bergerak ke hadapan, Toyota masih lagi percaya sistem hidrogen ini mampu menjadi alternatif yang lebih baik kepada kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) dan EV.
Generasi ketiga sistem sel bahan api diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini dengan menjanjikan unit yang lebih kompak serta menjanjikan jarak pemanduan 20 peratus lebih jauh (boleh cecah 772 km).
Selain itu, Toyota mendakwa sistem generasi ketiga ini mampu mencapai ketahanan yang setanding dengan enjin diesel selain manfaat reka bentuk bebas penyelenggaraan.
Menerusi inovasi terhadap rekaan sel dan proses pembuatan, sistem ini juga lebih murah untuk dihasilkan, menyumbang kepada harga jualan yang lebih mampu milik.
Sistem sel bahan api generasi ketiga ini bukan sahaja akan digunakan untuk segmen kenderaan penumpang, bahkan ia bakal diperluaskan kepada segmen kenderaan komersial tugas berat untuk pasaran Jepun, Eropah, Amerika Utara dan China menjelang tahun 2026.
Dilancarkan pada Disember tahun lalu, EV nasional pertama iaitu Proton eMAS 7 mendapat sambutan hangat dengan 421 unit diserahkan kepada pelanggan dalam bulan pertama operasinya.
Menurut Proton, pencapaian ini meletakkan model tersebut sebagai EV paling laris di Malaysia dengan penguasaan 25% pasaran EV keseluruhan bagi bulan Januari.
“Dalam masa sebulan sahaja, Proton eMAS 7 telah memimpin jualan EV, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia beralih kepada kenderaan elektrik sekiranya produk dan harga yang ditawarkan menarik,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Tempahan semasa eMAS 7 telah melebihi 4,000 unit, menyebabkan Proton menambah lagi 3,000 unit pakej Power Pack yang ditawarkan semasa pelancaran.
Menurut syarikat itu lagi, lebih 80% daripada tempahan yang diterima adalah bagi model Premium dan angka ini dijangkakan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring dengan ketibaan lebih banyak unit dan pembukaan cawangan-cawangan baru.
Dalam pada itu, Proton turut mengumumkan prestasi jualannya bagi Januari 2025, di mana syarikat itu menjual 9,914 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport, termasuk EV jenama eMAS dan smart.
Ini berbanding dengan 12,882 unit (kereta ICE sahaja) yang dicatatkan pada Januari 2024. Berdasarkan anggaran TIV, bahagian pasaran diramalkan 19.7%, meningkat daripada 18.7% pada tahun lepas.
Hujung minggu lalu, Sentinel Automotive Sdn Bhd secara rasmi membuka pusat pameran Zeekr Space yang pertama terletak di Petaling Jaya.
Dengan keluasan sekitar 660 meter persegi, Zeekr Space menjemput pelanggannya untuk meneroka visi mobiliti yang lebih bersih dan pintar.
Selain menempatkan ruang pameran model terbaharu, pelanggan juga dijemput untuk memandu uji sendiri barisan model Zeekr sedia ada seperti Zeekr X dan juga minivan Zeekr 009.
Menurut Alex Bao selaku Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, “Zeekr komited untuk menawarkan produk premium berteknologi tinggi dengan kualiti yang diperhalusi, direka untuk meningkatkan pengalaman pemanduan kepada pelanggan di seluruh dunia.
“Fokus kami kekal untuk menawarkan kenderaan dengan prestasi yang tiada tandingan, rekaan sofistikated serta teknologi termaju.
Sejak pelancaran rasmi yang dibuat pada Disember tahun lepas, pihak Zeekr Malaysia telah mengedarkan kira-kira 200 unit model Zeekr X dan Zeekr 009.
Dalam ucapan perasmian, Alex Bao turut mendedahkan pihaknya akan melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV Zeekr 7X menjelang suku ketiga tahun ini.
Zeekr 7X merupakan SUV elektrik saiz pertengahan dengan saiz yang hampir sama dengan EQE SUV dan menawarkan jarak gerak hampir 780 km untuk sekali cas penuh.
Pembeli boleh mendapatkan versi motor elektrik tunggal pacuan belakang (RWD) berkuasa 421 PS dan 440 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik berkuasa 646 PS dan 710 Nm.
Buat masa ini, pihak Zeekr Malaysia belum menentukan versi mana yang bakal ditawarkan untuk pasaran tempatan.
Zeekr Space Petaling Jaya terletak di alamat 58, Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz, PJS 12, 46200 Petaling Jaya, Selangor.