Inilah dia model kenderaan yang paling besar dihasilkan oleh smart, iaitu sedan #6 EHD.
Dari segi ukuran, smart #6 EHD mempunyai dimensi badan sepanjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm, tinggi 1,508 mm.
Ia juga menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,926 mm – yang paling panjang berbanding model-model smart sedia ada.
Sedan ini dikuasakan oleh sistem plug-in hybrid EHD NordThor Hybrid 2.0, terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo 161 hp, motor elektrik, transmisi DHT tiga-kelajuan dan bateri lithium iron phosphate.
Secara keseluruhan, sistem ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 429 hp dengan jarak pandu keseluruhan sejauh 1,810 km dan kadar penggunaan bahan api serendah 3.9 liter/100 km.
Ia juga mampu bergerak dalam mod EV sejauh 285 km.
Unit lampu utama depan dan belakang tampil ringkas tanpa garis dan bentuk yang berserabut.
Terdapat perumah penderia Lidar pada bahagian bumbung, diikuti dengan kehadiran kamera sisi pada bahagian dapra depan.
smart turut menawarkan opsyen rekaan rim yang berbeza, angkup brek berwarna kuning diikuti dengan sayap belakang adaptif untuk varian yang lebih sporti.
Sejak bertahun-tahun, golongan petrolhead dan para pencinta deruman nadi V10 disuap berita tentang kemunculan model pengganti LFA.
Berita baik untuk anda: Lexus LFA kini muncul semula sebagai sebuah konsep supercar dengan penampilan yang cukup cantik untuk dipandu atas jalan raya.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang Lexus LFA Concept:
1. Kongsi casis dengan GR GT
Lexus LFA Concept menggunakan kerangka badan aluminium yang ringan dan kuat, di mana ia merupakan casis yang sama digunakan pada model GR GT dan GR GT3.
Ia menawarkan kelebihan dari segi titik graviti yang rendah, jisim yang ringan dengan kadar ketegaran yang tinggi serta prestasi aerodinamik.
2. Tiada enjin V10
Sayang sekali, Lexus LFA Concept ini tidak mewarisi enjin bentangan V10 yang dibawakan pada model terdahulu, dan tidak langsung menggunakan enjin bentangan V8 berkuasa lebih 640 hp dan 850 Nm itu.
Ia merupakan sebuah supercar dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuh masa.
Pihak Lexus (dan Toyota) juga masih belum mendedahkan perincian seperti bilangan motor, sistem pacuan, output serta kapasiti bateri yang bakal dipasang pada LFA Concept ini.
3. Dimensi
LFA Concept membawakan ukuran sepanjang 4,690 mm, lebar 2,040 mm, tinggi 1,195 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,725 mm.
Berbanding LFA V10, LFA Concept ini mempunyai dimensi 185 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar, 25 mm lebih rendah dengan jarak antara roda 120 mm lebih panjang.
4. Luaran ada elemen LFA V10
Tidak dinafikan, bentuk badan Lexus LFA Concept ini tampak lebih seimbang dan lebih tegap bila meluncur atas jalan.
Ia juga mempunyai beberapa rujukan elemen rekaan daripada LFA V10 seperti bonet hadapan berliang, serta skup udara di bahagian sisi.
Ketika di Japan Mobility Show, Lexus turut memperlihatkan fungsi spoiler belakang aktif pada model ini.
5. Kabin fokus kepada pemandu
LFA Concept menjanjikan posisi pemanduan ideal yang sama ditawarkan pada model GR GT dan GR GT3.
Namun, tidak seperti dua model supercar V8 itu tadi, LFA Concept menampilkan stereng jenis yoke, diikuti susun atur skrin paparan hadapan pemandu yang agak unik.
Tuil penukaran gear diposisikan pada kolum stereng, dan terdapat juga butang F-Mode dan Custom bersaiz besar, diikuti keupayaan untuk menetapkan tahap tujahan dan brek yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.
Menurut Lexus, tiga huruf “LFA” pada LFA Concept ini tidak terikat kepada supercar berenjin pembakaran dalaman seperti model terdahulu.
Ia kini melambangkan sebuah kenderaan dilengkapi pelbagai teknologi kejuruteraan termaju yang harus dipelihara dan diturunkan oleh jurutera pada zamannya kepada generasi akan datang.
Kalau dulu, Lexus LFA membawa maksud berikut: L – Lexus F – F-Sports (cabang prestasi tinggi Lexus), juga melambangkan Fuji Speedway A – Apex
Apa pendapat anda tentang Lexus LFA Concept? Haruskah ia ditawarkan sebagai supercar EV atau patut dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman?
Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan sedan ultra-mewah Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series untuk pasaran tempatan dengan harga jualan dari RM2,404,888 (atas jalan tanpa insurans).
Tidak seperti S-Class Maybach yang pernah ditawarkan sebelum ini, edisi Night Series menampilkan motif gelap eksklusif yang membawakan kemewahan dan sporti yang diperhalusi ke satu aras baharu.
Terdapat beberapa warna luaran yang tersedia termasuklah kelabu, hitam dan putih, serta kombinasi warna dua tona seperti onyx black/Mojave silver dan Manufaktur opalite white bright/obsidian black.
Ia turut diserikan dengan beberapa kemasan terperinci seperti elemen rose gold dan krom metalik gelap pada unit lampu utama, serta kemasan dark shadow gloss pada jeriji hadapan dan bampar, bintang Mercedes, pemegang pintu serta emblem Maybach.
Selain itu, terdapat kemasan hitam berkilat pada struktur keliling tingkap, tiang B, serta perumah cermin sisi, diikuti ambang pintu bercahaya dengan skrip “MAYBACH Night Series”.
Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim aloi ringan Maybach tujuh jejari bersaiz 20 inci.
Ruang kabin S580 Night Series ini dilengkapi dengan balutan kulit nappa dengan kombinasi warna Black/Black Pearl, kemasan golden-grey berkilat, sistem pencahayaan ambien aktif dengan skema warna Garnet Glow, trim kayu Manufaktur serta kemasan gaya kristal hitam dengan corak Maybach pada konsol tengah.
Bahagian corong pendingin hawa pula diberikan kemasan dark shadow gloss pada bahagian depan dan belakang.
Bersesuaian dengan tema hitam, sedan ini turut dilengkapi dengan animasi permulaan bertemakan mistik pada skrin paparan.
Mercedes-Maybach S580 4MATIC Night Series ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 496 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 700 Nm @ 2,000-4,500 rpm.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 9-kelajuan, sistem pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid EQ-Boost (tambahan kuasa 23 hp/205 Nm).
The Waterfront @ Desa ParkCity akan dimeriahkan dengan Festival Light the Change yang dianjurkan oleh BYD dan Denza.
Jenama mobiliti elektrik itu akan berkampung selama sebulan bermula 28 November hingga 4 Januari dengan bermacam aktiviti dan persembahan telah diatur setiap minggu.
Festival ini bertujuan untuk memperkukuh komitmen BYD dan Denza terhadap tanggungjawab alam sekitar selain mencetuskan kesedaran terhadap kelestarian, iklim dan masa depan mobiliti.
Selain itu, BYD turut melaksanakan inisiatif global “One Degree. One Future” untuk menurunkan suhu Bumi sebanyak satu darjah menerusi penyelesaian mobiliti elektrik.
Antara aktiviti menarik termasuklah:
Ikrar tanaman di Zon Greenfield
Penerokaan Mobiliti Elektrik
Sesi Pandu Uji (jam 10 pagi hingga 6 petang)
Persembahan Golden Hour (Jumaat-Ahad, 8-9 malam)
Minggu
Tarikh
Persembahan Golden Hour
Minggu 1
28 – 30 November
Bubble Show
Minggu 2
5 – 7 December
Minggu 3
12 – 14 December
LED Butterfly Dance Performance
Minggu 4
19 – 20 December
Bamboo Music Performance by Alena Murang
Minggu 5
22 – 28 December
Xmas Snowfall
Minggu 6
2 – 4 January
New Year Light Show
Sejak memasuki sektor kenderaan tenaga baharu, BYD telah berjaya mengurangkan lebih daripada 9.3 juta tan pelepasan CO2 di seluruh dunia.
Di peringkat tempatan, BYD dan Denza berjaya menjual sebanyak 12,872 unit setakat November 2025, atau peningkatan sebanyak 76 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sejak hari pertama, jualan keseluruhan di Malaysia telah melepasi 25,233 unit bersamaan dengan pengurangkan 62,191 tan CO2 setiap tahun atau penanaman hampir 2.5 juta pokok.
Sime Motors turut memainkan peranan penting dalam mempercepatkan mobiliti elektrik di Malaysia.
Dalam tempoh tiga tahun, Sime Motors dan BYD telah memperkenalkan tujuh model EV, menubuhkan 39 cawangan jualan dan pemasaran, 24 cawangan selepas jualan dan 12 pusat badan dan cat yang sah.
Disokong oleh Pusat Latihan BYD khusus dan gudang berpusat, Sime Motors memastikan perkhidmatan serta sokongan premium untuk pelanggan BYD di seluruh negara.
Meskipun Toyota sudah mengembangkan Century kepada kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kemudian menunjukkan versi coupé, model O.G tetap sebuah sedan dengan bentuk tiga kotak tradisional.
Century generasi ketiga dikeluarkan sejak 2018 dan terbaru Toyota memperkenalkan model 2026 yang mula dijual di Jepun pada 1 Disember 2025.
Pembaharuan terbaru menumpukan pada integrasi teknologi keselamatan aktif dan sistem multimedia terkini, di samping mengekalkan ciri-ciri kemewahan dan keselesaan yang menjadi lambang model ini.
Sistem Keselamatan dan Bantuan Pemandu
Century yang dipertingkat dilengkapi teknologi Toyota Safety Sense terkini yang dapat mengelakkan lebih banyak jenis kemalangan.
Pre-collision Safety (PCS)
Sistem terbaru memperluas julat pengesanan untuk kenderaan, pejalan kaki, penunggang basikal dan tambahan baharu iaitu motosikal pada waktu siang.
Sistem ini membantu dalam mengelakkan perlanggaran atau mengurangkan kerosakan, dengan penambahbaikan khusus di persimpangan jalan yang tinggi risiko kemalangan.
Proactive Driving Assist (PDA)
PDA membantu pemandu mengendalikan stereng dan brek.
Ia berfungsi dengan menjangka risiko berdasarkan situasi pemanduan (seperti lintasan pejalan kaki atau potensi kenderaan meluru keluar) untuk memastikan jarak yang selamat dari pejalan kaki, basikal atau kenderaan yang diletakkan.
Sistem juga membantu memperlahankan kereta untuk kenderaan di hadapan atau selekoh dan pemandu tidak perlu kerap menekan pedal.
Ciri keselamatan dan bantuan lain:
Sistem Amaran Keluar Laluan (LDA).
Bantuan Pengesanan Laluan (LTA).
Kawalan Jelajah Radar Adaptif dengan Fungsi Ikutan Kelajuan Penuh.
Sistem Aliran Tinggi Adaptif (AHS).
Bantuan Isyarat Jalan (RSA).
Fungsi Pemberitahuan Kelewatan Permulaan (TMN).
Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) ditambah Bantuan Keluar Selamat (SEA).
Amaran Kenderaan Belakang Menghampiri.
Sistem Respons Pemandu Kecemasan.
VDIM (Sistem Pengurusan Dinamik Kenderaan).
Bantuan Sokongan Plus (untuk pecutan mengejut).
Brek Sokongan Tempat Letak Kereta (untuk objek pegun hadapan/belakang + pendekatan belakang).
Monitor Panduan Belakang.
Rangkaian Kuasa Hibrid V8 5.0L
Century dikuasakan sistem hibrid yang menggabungkan enjin V8 dengan motor elektrik berkuasa.
Enjin 4,968 liter V8 (2UR-FSE) menghasilkan 381 ps dan tork 510Nm. Motor elektrik memberikan output maksimum 165 kW (224 ps) dan tork maksimum 300 Nm.
Sumber kuasa disimpan dalam bateri Nikel-metal Hidrida berkapasiti 6.5 Ah. Sistem ini menggunakan transmisi ECVT dan digerakkan roda belakang.
Ciri-ciri Dalaman dan Hiburan
Century kini dilengkapi Paparan Audio (Connected Navigation Compatible) Plus sebagai ciri standard.
Paparan Audio: 8 inci Paparan HD.
Sistem Bunyi: Toyota Premium Sound System dengan 20 pembesar suara dan penguat audio 8 saluran.
Hiburan Tempat Duduk Belakang:
Sistem hiburan tempat duduk belakang 11.6 inci.
Blu-ray, DVD, CD, SD dan dilengkapi terminal input HDMI (audio/video).
Pemain cakera Blu-ray dan soket fon kepala dua sisi.
Ciri Keselesaan Kabin:
Sistem kawalan suhu auto penuh empat zon bebas.
Nanoe X.
Kerusi kuasa belakang kiri dan kanan dengan fungsi memori.
Selepas diselubungi pelekat samaran dan dibawa ke Goodwood, Toyota Gazoo Racing (TGR) akhirnya memperkenalkan dua model andalan serba baharu GR GT dan GR GT3.
Kedua-duanya dipamerkan sebagai prototaip dan masih dalam pembangunan dan dibangunkan berasaskan falsafah TGR untuk menghasilkan kereta berjiwa perlumbaan yang sentiasa menjadi lebih baik.
Pembangunan model ini bermula daripada peringkat formulasi konsep dan berpusat kepada Pengerusi TMC Akio Toyoda (Master Driver Morizo).
Pemandu profesional Hiroaki Ishiura, Tatsuya Kataoka, Naoya Gamou, pemandu bukan profesional (gentleman driver) Daisuke Toyoda serta pemandu penilai dalaman bekerjasama rapat dengan jurutera.
GR GT dibangunkan mengikut prinsip driver first iaitu memahami dan memenuhi keperluan pemandu sepenuhnya.
Kaedah sama diterapkan pada GR GT3 yang merupakan kereta perlumbaan berasaskan GR GT.
Kedua dua model ini diletakkan sebagai model andalan baharu yang meneruskan legasi Toyota 2000GT dan Lexus LFA dengan membawa misi meneruskan ramuan rahsia pembuatan kereta Toyota kepada generasi baharu.
Penamaan ini bermakna, Supra tiada pengganti secara langsung.
GR GT – 4.0L V8 hibrid
GR GT dibangunkan sebagai kereta perlumbaan yang sah untuk jalan raya.
Fokus pembangunan bukan sekadar menambah prestasi dinamik tetapi juga mencapai tahap kesatuan kereta dan pemandu supaya interaksi dengan kereta berlaku pada setiap masa.
Model ini dilengkapi sistem hibrid yang menggabungkan enjin baharu 4.0 liter V8 pengecas berkembar bersama motor elektrik tunggal.
Output sistem maksimum disasarkan sekurang-kurangnya 641 bhp dengan tork sistem 850Nm atau lebih.
Pembangunan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu pusat graviti rendah, berat ringan dengan ketegaran tinggi dan aerodinamik yang optimum.
Pusat graviti serendah mungkin
Pembangunan GR GT bermula dengan matlamat mendapatkan pusat graviti sangat rendah dengan menurunkan ketinggian keseluruhan kereta dan kedudukan pemandu.
Model ini menggunakan konfigurasi enjin depan dan pacuan roda belakang untuk pengendalian lebih mudah pada had yang ekstrem.
Kedudukan enjin, transaxle belakang dan komponen berat lain dioptimumkan untuk merendahkan titik graviti kereta.
Tinggi pusat graviti pemandu juga dijadikan hampir sama dengan kereta untuk meningkatkan rasa kesatuan dan kawalan.
Rangka aluminium sepenuhnya pertama Toyota
GR GT menggunakan rangka badan aluminium sepenuhnya buat pertama kali dalam sejarah Toyota.
Panel badan pula menggunakan CFRP dan bahan lain untuk menghasilkan struktur yang kuat tetapi ringan.
Reka bentuk terbalik, bermula dari aerodinamik
Bagi GR GT, proses pembangunan adalah terbalik berbanding kereta produksi biasa.
Bentuk aerodinamik ideal ditetapkan terlebih dahulu sebelum pereka bentuk menghasilkan lakaran luaran.
Jurutera aerodinamik dan pereka bekerjasama untuk mendapatkan penyejukan serta kecekapan aliran udara terbaik.
Bahagian dalaman pula direka berdasarkan ergonomik bagi mendapatkan kedudukan pemanduan profesional dan tahap lihat keluar optimum.
Walaupun berorientasikan litar, aspek kesesuaian untuk kegunaan harian tetap diambil kira.
GR GT3 sebagai jentera lumba
GR GT3 berkongsi tiga elemen utama GR GT iaitu pusat graviti rendah, berat ringan dengan ketegaran tinggi dan aerodinamik.
Ia memenuhi spesifikasi FIA GT3 dan disasarkan sebagai kereta yang dipilih mereka yang mahu menang tetapi masih mudah dipandu oleh sesiapa sahaja.
Sebagai jentera GT3, model ini menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan pengecas turbo berkembar.
Ukurannya juga berbeza, GR GT memiliki panjang 4,820mm, lebar 2,000mm dan tinggi 1,195mm.
GR GT3 pula lebih pendek dengan panjang 4,785mm, sedikit lebar iaitu 2,050mm dan lebih rendah dengan tinggi 1,090mm.
Selain meningkatkan daya saing GR GT3, TGR juga merancang menyediakan sokongan pelanggan yang berlumba untuk memastikan pengalaman perlumbaan yang lebih mendalam.
Pembangunan berdasarkan dunia perlumbaan
GR GT dan GR GT3 dibangunkan dengan kaedah pembangunan baharu yang memanfaatkan data perlumbaan.
Penggunaan simulator pemanduan digunakan sejak awal bagi memperhalusi karakter asas kenderaan.
Ujian dunia sebenar dilakukan di Shimoyama, Fuji Speedway, Nürburgring dan juga jalan awam.
Seperti model GR lain, kedua duanya diuji berulang kali sehingga gagal kemudian diperbaiki demi mencapai tahap prestasi dan ketahanan yang diperlukan.
Kepada yang sudah berkenan, TGR menyasarkan pelancaran sekitar 2027!
Honda Malaysia mengumumkan dua orang pemenang bertuah pertama bagi kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun yang ke-25.
Untuk pusingan pertama, Honda Malaysia menyampaikan dua hadiah berupa sebuah City Hatchback RS dan WR-V RS.
Pemenang bertuah City Hatchback RS, Chin Boon Hao dari Perak menyertai peraduan tersebut setelah membeli sebuah Civic RS.
Jelasnya, memiliki sebuah Civic telah menjadi impiannya sekian lama disebabkan penampilan dan prestasi yang sejajar dengan DNA Civic.
“Saya teruja menerima kereta baharu saya, namun memenangi sebuah City Hatchback RS menjadikannya lebih istimewa.
“Saya tidak sabar untuk memandu kedua-dua Honda atas jalan dan menikmati pengalaman pemanduan yang berbeza,” ujarnya lagi.
Pemenang Honda WR-V RS, Avis Ou Xiao Qian dari Sarawak pula diwakili oleh suaminya, Liew Jeng Siong untuk menerima hadiah tersebut.
Beliau yang membeli sebuah CR-V sebagai kereta keluarga menjelaskan, “saya mahu sebuah SUV yang menawarkan pakej lengkap, seperti keselesaan, luas dan rekaan elegan.
“Saat saya melihat CR-V, saya tahu ia adalah kereta untuk saya dan keluarga saya.
City Hatchback RS dan WR-V RS merupakan antara enam hadiah utama yang ditawarkan sepanjang kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun Honda Malaysia yang ke-25.
Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model MPV baharu yang bakal dilancarkan pada tahun depan, iaitu Nissan Serena e-Power.
Generasi keenam Nissan Serena e-Power (C28) itu dikuasakan oleh sistem pacuan e-Power yang terdiri daripada enjin 1.4 liter, motor elektrik 163 PS dan 315 Nm dan pek bateri lithium-ion 1.769 kWh.
Tidak seperti kenderaan hibrid di pasaran, sistem e-Power ini bergantung sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak.
Enjin 1.4 liter itu tadi hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa, namun tetap didatangkan dengan teknologi sistem pancitan terus dan Mirror Bore Coating yang mampu mengurangkan geseran, gegaran dan bunyi.
Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dan MPV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km untuk setangki minyak penuh.
Daripada segi penampilan, Serena e-Power C28 ini membawakan imej yang lebih moden, dimulakan dengan jeriji V-motion dan bampar yang lebih kemas, lampu belakang dengan grafik boomerang, serta logo Nissan baharu.
Rim pula bersaiz 16 inci.
Menurut ETCM lagi, Nissan Serena e-Power merupakan model e-Power yang pertama akan dipasang di kilang Serendah.
Harga jualan serta spesifikasi penuh Nissan Serena e-Power akan diumumkan pada pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama 2026 (Q1 2026).
Jenama motosikal dan skuter tertua di dunia, Peugeot Motocycles akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi di bawah edaran Aveta International Sdn Bhd.
Aveta dipilih sebagai pengedar rasmi disebabkan oleh beberapa faktor seperti rangkaian pengedar dan servis meluas, kepakaran teknikal dan program perkhidmatan pelanggan seperti ‘Aveta Care on Wheels’.
Kemasukan jenama Peugeot Motocycles ke pasaran Malaysia dijangka memperkenalkan pelbagai pilihan premium dan mampu milik bercirikan Eropah kepada pengguna.
Model pertama Peugeot Motocycles bakal dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun 2026.
Untuk info, Peugeot Motocycles ditubuhkan pada tahun 1898 dan kini dipasarkan di lebih 3,000 lokasi di seluruh dunia.
Jenama ini menawarkan rangkaian model yang komprehensif digerakkan oleh tiga hab pengeluaran global yang terletak di Perancis, China dan juga Vietnam.
Antara model yang ditawarkan termasuklah Peugeot Metropolis, XP400, Pulsion, Django Classic dan juga Speedfight.
Pininfarina dan JAS Motorsport mendedahkan imej rasmi projek restomod Honda NSX generasi pertama yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Ia juga turut mendapat nama rasmi, iaitu “Tensei” yang membawa maksud kelahiran semula (rebirth) dalam bahasa Jepun.
Daripada imej yang dibekalkan, rupa asal NSX NA1 masih lagi dikekalkan dengan berhati-hati, seperti lampu hadapan jenis pop-up, spoiler belakang kekal dan bumbung kanopi hitam.
Namun, terdapat beberapa perubahan seperti penambahan lampu nyalaan siang (DRL) LED, liang pada hud hadapan serta liang pengudaraan yang lebih besar pada dapra belakang.
Penampilan Tensei juga telah ditambah baik dengan jarak runut belakang yang lebih lebar, serta jarak overhang belakang yang telah dipendekkan.
Buat masa ini, spesifikasi sebenar Tensei masih lagi belum didedahkan.
Namun dalam siaran terdahulu, pihak JAS Motorsport akan menala kembali enjin asal bentangan V6 3.0 liter, sudah pasti kuasanya akan melebihi angka atas kertas 270 hp/285 Nm semasa dilancarkan tahun 90-an.
Pihak JAS Motorsport turut mengesahkan Tensei ini bakal menampilkan binaan badan yang diperbuat daripada gentian karbon.
Sana-sini model baharu dan canggih dilancarkan namun Toyota Corolla tetap unggul ditawarkan di serata dunia dan terbaru diperkemaskan untuk pasaran Eropah.
Corolla tidak boleh dipandang remeh dengan lebih 50 juta unit terjual merentasi 12 generasi, menjadikannya model paling popular dunia.
Untuk 2026, Corolla menerima kemaskini yang menekankan rekaan, kelestarian dan pengalaman digital.
Warna Onyx Grey Matt & Storm Grey
Toyota Corolla Touring Sports Onyx Grey
Kemas kini terbaharu menumpukan kepada penampilan dan kelestarian.
Onyx Grey kusam diperkenalkan secara eksklusif untuk model GR SPORT hatchback dan Touring Sports.
Warna kusam ini juga kali pertama diperkenalkan untuk siri Corolla. Selain itu, Toyota turut menawarkan warna Storm Grey metallic.
Pengenalan Onyx Grey kusam pencapaian penting bagi pembuatan Toyota di Eropah.
Toyota Corolla Hatchback Onyx Grey
Kilang Toyota Manufacturing UK di Burnaston menjadi fasiliti pertama menghasilkan warna radikal ini untuk produksi besar.
Kemasan kusam yang menarik menyerlahkan lengkung badan Corolla dengan jelas secara visual.
Warna baharu ini dijangka diperkenalkan di United Kingdom sebelum akhir 2025 dan akan diperluaskan ke pasaran Eropah lain pada 2026.
Storm Grey pula ialah warna metalik digilap dalam dengan identiti moden dan timeless yang memberikan penampilan berteknologi tinggi secara bersahaja.
Kabin Lebih Lestari
Corolla meningkatkan kelestarian melalui fabrik Samara, bahan kitar semula yang tahan lasak dan lembut sentuhan.
Pada varian Mid hatchback dan Touring Sports, Samara digunakan lebih meluas pada bahagian belakang dan kusyen tempat duduk, serta digunakan pada tempat duduk Sedan Mid+ buat kali pertama.
Kulit alternatif juga digunakan pada stereng dan tombol gear.
Hibrid 1.8L & 2.0L
Semua Corolla 2026 mengekalkan teknologi hibrid Toyota generasi terkini dengan pilihan enjin 1.8 liter atau 2.0 liter yang menghasilkan 178 hp.
Digital & Multimedia
Setiap varian dilengkapi paparan digital 12.3 inci dan sistem Toyota Smart Connect+ dengan skrin 10.5 inci, termasuk navigasi berasaskan awan dengan maklumat trafik semasa.
Keselamatan Standard
Corolla dilengkapi pakej keselamatan Toyota T-Mate dan Toyota Safety Sense secara standard, membantu pemandu mengenal pasti bahaya, memberikan amaran serta bantuan pemanduan, brek dan stereng jika perlu.
Sistem ini juga mempunyai kemaskini dalam talian (over-the-air).
Pengeluaran & Jualan
Toyota Corolla GR Sport Storm Grey
Corolla Hatchback dan Touring Sports dihasilkan di Toyota Manufacturing UK, manakala sedan di Toyota Motor Manufacturing Turkey.
Jualan Corolla 2026 untuk pasaran Eropah dijadual bermula Mac 2026, bergantung kepada pasaran.
Mahukan sebuah kereta berprestasi tinggi buatan Jepun dengan pecutan mengalahkan Rimac Nevera? Anda boleh pertimbangkan Aspark Owl Roadster.
Syarikat kejuruteraan Jepun ini mendakwa EV Owl Roadster boleh memecut sepantas 1.72 saat dari 0-100 km/j!
Dengan kelebihan sebanyak 0.02 saat, Owl Roadster ini merupakan kereta produksi paling pantas di dunia.
Terdapat sebuah lagi kereta paling pantas, iaitu McMurty Speirling yang mampu memecut 0-100 km/j sepantas 1.40 saat, namun harus diingat ia bukanlah sebuah kereta untuk kegunaan jalanan.
Apa yang membuatkan Aspark Owl Roadster ini begitu pantas?
Pertama sekali, ia mempunyai casis monocoque karbon dan badan gentian karbon penuh yang mempunyai berat keseluruhan 2,050 kg dan digandingkan dengan empat motor elektrik berkuasa 1,953 hp/1,920 Nm.
Ia mampu mencapai kelajuan tertinggi 413 km/j, namun dihadkan secara elektronik kepada 350 km/j untuk kegunaan di jalan raya.
Bateri 69 kWh pula menawarkan jarak pandu melebihi 250 km untuk sekali cas penuh.
Owl Roadster ini mempunyai empat mod pemanduan iaitu Rain-Snow, City-Comfort, Sport-Dynamic dan High Boost.
Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi double wishbone dengan ketinggian boleh laras, sayap belakang aktif, sistem brek seramik karbon (angkup 10-omboh depan/4-omboh belakang), serta rim 20 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R.
Sejak tahun 2019, Aspark memindahkan operasi pengeluaran ke Itali, dan untuk model Owl Roadster ini produksi dihadkan kepada 20 unit sahaja untuk satu dunia.
Setiap satu dianggarkan bernilai US$3.5 juta (RM14.45 juta).
Bila kita berbicara tentang enjin bentangan rata atau boxer, dua nama pengeluar ini akan mula bermain di fikiran, iaitu Porsche dan Subaru.
Konfigurasi enjin yang unik ini menawarkan manfaat dari segi pengendalian kenderaan yang lebih baik disebabkan titik graviti yang rendah berbanding enjin konvensional.
Anda mungkin tidak menyangka satu nama yang cukup popular di China akan turut terjebak dalam menghasilkan enjin boxer.
Tidak lain dan tidak bukan, BYD!
Berita ini ternyata mengejutkan kerana BYD itu sendiri sudah mempunyai keluarga enjin yang tersendiri untuk barisan model plug-in hybrid (PHEV).
Enjin boxer 2.0 liter turbo serba baharu ini akan digandingkan dengan empat motor elektrik untuk menggerakkan sedan mewah Yangwang U7.
Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 1,287 hp dan 1,680 Nm.
Pecutan 0-100 km/j pula boleh diselesaikan dalam tempoh 2.9 saat sahaja, satu angka yang cukup impresif untuk sedan seberat 3 tan!
Menariknya, enjin tersebut hanya berkhidmat sebagai unit penjana (Range Extender) untuk mengecas bateri yang kemudiannya menyalurkan kuasa kepada motor elektrik.
Namun dalam keadaan tertentu, enjin tersebut boleh menyalurkan kuasa 272 hp/380 Nm terus kepada gandar belakang.
Dengan bantuan enjin boxer itu tadi, BYD mampu menghasilkan Yangwang U7 dengan rekaan hud enjin yang lebih rendah, menjadikan penampilan sedan yang lebih sporti.
Selain itu, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) sedan ini juga jauh lebih baik disebabkan oleh kurang gegaran yang dihasilkan oleh enjin boxer.
Dengan pakej unit penambah jarak boxer itu tadi, Yangwang U7 boleh bergerak sejauh 966 km untuk satu tangki penuh dan bateri cas penuh, manakala jarak sifar emisi pula boleh mencapai sehingga 193 km.
Di China, BYD Yangwang U7 dijual pada harga bermula dari RMB628,000 hingga RMB708,000 (RM367 ribu-RM414 ribu).
Model legenda Mercedes-Benz G-Class yang terkenal dengan reka bentuk dan peminat tersendiri bakal menerima ahli keluarga baharu!
Dari segi sejarah, bukanlah ahli keluarga baharu tetapi ibarat sireh pulang ke gagang.
Selepas menerima maklum balas menggalakkan terhadap butiran acah (teaser) awal, Mercedes-Benz kini memulakan program ujian model prototaip G-Class Cabriolet di jalan raya terbuka.
Model G-Class Cabriolet baharu mewarisi tradisi yang telah wujud sejak beberapa dekad lalu lebih lagi apabila G-Wagen merupakan kenderaan ketenteraan.
G-Class Cabriolet juga hadir dalam versi mewah seperti Mercedes-Maybach G 650 Landaulet.
Ujian Dinamik di Austria dan Musim Sejuk
Prototaip G-Class Cabriolet sedang menjalani ujian jalan raya dinamik dan ujian litar di Austria.
Para jurutera sedang giat mengumpulkan data menyeluruh untuk memberikan pengalaman pemanduan terbuka yang dapat menawarkan ‘feel’ G-Class yang tersendiri.
Program ujian akan diteruskan ke Sweden untuk menghadapi ujian musim sejuk yang mencabar.
Dalam persekitaran bersuhu sejuk melampau dan bersalji, kekukuhan, dinamik pemanduan dan ketahanan model baharu ini akan diuji sepenuhnya.
Rangkaian Kuasa
Mercedes-Benz belum berkongsi mengenai rangkaian kuasa dan untuk makluman, G-Class di pasaran sekarang digerakkan enjin petrol, diesel dan motor elektrik.
Sebagai rujukan, berikut rangkaian kuasa yang ditawarkan di United Kingdom.
G 450 d:
Enjin: Diesel, 2,989 cc
Konfigurasi: Sebaris 6 silinder 24 injap
Kuasa: 367 hp @ 4,000 rpm
Tork: 750Nm @ 1,350–2,800 rpm
G 500:
Enjin: Petrol, 2,999 cc
Konfigurasi: Sebaris 6 silinder 24 injap
Kuasa: 449 hp @ 5,800–6,100 rpm
Tork: 560Nm @ 2,200–5,000 rpm
Mercedes-AMG G 63:
Enjin: Petrol, 3,982 cc
Konfigurasi: V8 32 injap
Kuasa: 585 hp @ 6,000 rpm
Tork: 850 Nm @ 2,500–3,500 rpm
G 580 dengan EQ Technology (BEV):
Motor Elektrik: 432 kW (587 hp)
Tork Motor Elektrik: 1,164Nm
Bateri: Litium-ion 116 kWj
Jarak (EAER): Sekitar 450–455 km (berdasarkan 280–283 batu)
Shell Malaysia baru-baru ini mengumumkan penyepaduan BUDI95 ke dalam aplikasi dalam taliannya, Shell App.
Pelanggan boleh membuat pembelian bahan api bersubsidi dengan melengkapkan pengesahan eKYC TNG eWallet sekali sahaja.
Setelah pengesahan dibuat, mereka boleh menekan butang BUDI95 dan membuat bayaran dengan lebih selamat untuk menikmati kadar subsidi serta-merta.
Menurut Seow Lee Ming selaku Pengurus Besar Shell Mobility and Convenience Malaysia berkata, “Kami percaya Shell App yang telah dipertingkatkan ini dapat membantu rakyat Malaysia untuk memaksimumkan setiap wang Ringgit yang dibelanjakan.
“Selain bahan api Shell FuelSave95 yang dapat membantu pemandu pergi lebih jauh untuk setiap tangki penuh, Shell App menawarkan kemudahan dan peluang untuk menikmati ganjaran setiap kali berkunjung ke stesen minyak.
Shell Malaysia turut mengumumkan dua kempen eksklusif untuk pengguna Shell App, berupa baucar Shell sehingga RM2 juta dan peraduan minyak percuma untuk tiga tahun!
Pelanggan yang berjaya membuat pengesahan eKYC TnG eWallet dan membuat transaksi BUDI95 minimum RM10 akan layak menerima baucar RM5 secara automatik dalam aplikasi.
Pengguna baharu Shell App pula akan menerima baucar tambahan RM5.
Untuk layak menyertai Free Fuels Contest, pelanggan hanya perlu membeli produk Shell Helix atau Shell Advance terpilih di mana-mana stesen Shell untuk menerima baucar istimewa.
Baucar ini boleh ditebus menerusi Shell App, sekaligus melayakkan mereka untuk menyertai Free Fuels Contest.
Syarikat Mdua Motor Sdn Bhd hari ini melancarkan model skuter terbaharu Moda Aero-E untuk pasaran tempatan.
Skuter ini dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan udara bersesaran 118.8 cc dengan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.5 Nm @ 6,000 rpm dipadankan dengan transmisi CVT.
Aero-E menggunakan tetapan suspensi jenis teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.
Sistem brek pula menggunakan tetapan cakera untuk roda depan dibantu dengan brek gelendong di belakang.
Moda Aero-E didatangkan dengan ciri seperti unit lampu projektor LED berkembar, lampu belakang LED, skrin paparan LCD, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta rim bersaiz 14 inci.
Skuter ini turut dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 5.5 liter, ruang simpanan bawah pelana 6.5 liter dan tinggi pelana sekitar 780 mm.
Terdapat dua warna menarik ditawarkan iaitu Cobalt Blue dan Carmine Red. Harga jualan pula bermula dari RM5,189 tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Pelancaran Perodua QV-E dan Proton e.Mas 5 menandakan detik bersejarah di mana kedua-dua pengeluar kereta nasional memasuki arena Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) secara serius.
Meskipun PROTON terlebih dahulu melangkah dengan e.MAS 7 namun segmennya berbeza.
QV-E dan e.MAS juga berbeza terutama sekali gayaannya dengan masing-masing membawa konsep crossover dan hatchback. Sebagai contoh QV-E mempunyai jarak kelegaan tanah 158 milimeter (mm) manakala e.MAS 5 130 mm.
Kehadiran QV-E merupakan lonjakan besar buat Perodua kerana ini kali pertama mereka hadir dengan model buatan sendiri tanpa menyalin semula atau menggunakan teknologi Daihatsu.
QV-E atau singkatan kepada Quest for Visionary Electric Vehicle dengan pelantar dihasilkan bersama Magna-Steyr dan secara keseluruhannya menelan belanja RM800 juta untuk dibangunkan.
Ia disiapkan dalam tempoh 28 bulan dengan sokongan Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Harga & Pemilikan
Ciri
Perodua QV-E (Base)
Proton e.MAS 5 Prime
Proton e.MAS 5 Premium
Harga Jualan Rasmi (OTR tanpa takaful)
RM80,000 (Badan Kereta Sahaja)
RM59,800
RM72,800
Harga Promosi (sah sehingga 31 Dis 2025)
–
RM56,800
RM69,800
Konsep Pemilikan
BaaS (Pajakan Bateri) RM297/bulan
Beli Penuh
Beli Penuh
Tempoh BaaS
9 tahun (108 bulan)
–
–
Strategi Pemilikan (BaaS) Perodua:
Perodua memperkenalkan konsep Battery as a Service (BaaS) untuk mengurangkan kebimbangan pelanggan terhadap kos penggantian bateri yang tinggi dan nilai jualan semula EV yang rendah.
Jaminan: Jaminan prestasi bateri sepanjang hayat (>70% SOH) oleh Perodua.
Pemilikan: Bateri kekal di bawah pemilikan Perodua sepanjang kontrak 9 tahun (108 bulan). Pemilik kedua atau seterusnya perlu menandatangani kontrak baharu dengan Perodua.
Pengurusan EOL: Bateri EOL (End-of-Life) diuruskan dan dilupuskan secara betul oleh Perodua.
Penjejak Bateri: Peranti penjejak bateri dipasang (mempunyai kuasa sendiri) untuk mengesan pergerakan dan meminimumkan risiko alam sekitar.
Spesifikasi Teknikal, Prestasi & Pengecasan
Dari segi prestasi, QV-E adalah pemenang kuasa mutlak (150kW / 285Nm) dan model Perodua terpantas pernah dihasilkan. e.MAS 5 (kedua-dua varian) jelas memenangi kelajuan pengecasan pantas DC (21 minit untuk 30-80%).
Perbezaan tersebut disumbang oleh kuasa motor dan kapasiti bateri yang berbeza dan pastinya julat harga kedua-dua model.
Spesifikasi
Perodua QV-E
Proton e.MAS 5 Premium
Proton e.MAS 5 Prime
Kuasa Motor (kW)
150kW
85kW
58kW
Tork (Nm)
285Nm
150Nm
130Nm
Bateri Kapasiti (kWj)
52.5 (CATL, LFP)
40.16 (CATL, LFP)
30.12 (LFP)
Sistem Bateri
Sejukan Cecair, IP68 (Air), IP69 (Habuk)
–
–
Jarak (NEDC)
445 km
406 km
281 km
Jarak (WLTP)
–
325 km
250 km
Pecutan 0-50 km/j
–
3.9 saat
4.4 saat
Pecutan 0-100 km/j
7.5 saat
–
–
Kelajuan Maksimum (km/j)
165
–
125
Pengecasan DC (kW)
60 kW
71 kW
53 kW
Pengecasan DC 30-80%
30 minit
21 minit
21 minit
Pengecasan AC (kW)
6.6 kW
6.6 kW
6.6 kW
Pengecasan AC (jam)
8 jam (0-100%)
5.9 jam (10-100%)
4.3 jam (10-100%)
Rekabentuk & Dimensi
Perodua QV-E diposisikan sebagai SUV/crossover coupé yang menawarkan jarak roda 30 mm lebih panjang berbanding e.MAS 5.
Walaupun begitu, Proton e.MAS 5 adalah lebih lebar (1,805 mm) dan lebih tinggi (1,580 mm).
QV-E pula mempunyai jarak kelegaan tanah lebih tinggi (158 mm) berbanding e.MAS 5 (130 mm).
Dari segi praktikaliti, e.MAS 5 mempunyai kelebihan ruang kargo belakang 375 liter (boleh mencapai 1,320 liter) dan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 70 liter.
QV-E pula lebih besar dengan 450 liter (sehingga 1,238 liter) dan ruang tambahan 40 liter.
Dimensi
Perodua QV-E
Proton e.Mas 5 Premium/Prime
Gaya Reka Bentuk
SUV/Crossover Coupé
Hatchback
Panjang (mm)
4,170
4,135
Lebar (mm)
1,800
1,805
Tinggi (mm)
1,502
1,580
Jarak Roda (mm)
2,680
2,650
Kelegaan Tanah (mm)
158
130
Berat Curb (kg)
1,600
Prime: 1,230 / Premium: 1,305
Ruang Kargo Belakang (L)
450 L (hingga 1,238L)
375 L (hingga 1,320 L)
Ruang Simpanan Tambahan
40L
70L
Skrin dan Maklumat Hibur
Ciri
Perodua QV-E
Proton e.MAS 5 Premium/Prime
Skrin Maklumat Hibur
10.25 inci
14.6-inci FHD
Skrin Kluster Pemandu
10.25 inci TFT Digital
8.8 inci Digital
Sistem Operasi
–
ATLAS OS
Ketersambungan (Tanpa Wayar)
Apple CarPlay/Android Auto
Apple CarPlay/Android Auto
ADAS dan Keselamatan
Perodua QV-E
Teknologi
Sistem
Keselamatan Pasif
6 beg udara
Pemanduan L2 (Semi-Autonomi)
TJA, HWA
Sistem Pencegahan Pelanggaran
AEB, FCW
Sistem Kawalan Lorong
ACC, LDW, LKA
Sistem Pengawasan Titik Buta
BSD, RCTA
Bantuan Parkir
SVM (360 darjah)
Keselamatan Unik
CPD (Child Presence Detection)
Bantuan Kecemasan
SOS Call
Cermin Pandang Belakang
Kamera Pandang Belakang Digital
Sistem Dinamik
ABS, EBD, BA, ECS, TCS, AHB
Proton e.MAS 5
Teknologi
Sistem
Prime
Premium
Keselamatan Pasif
6 beg udara
Ya
Ya
Sistem Dinamik
ABS, EBD, BA, ESC, TC, AH, HHA, HDC, TPMS
Ya
Ya
Pengawasan Sisi/Belakang
BSD, LCA, RCTA, RCW, DOW
Ya
Ya
Sistem Pencegahan Kemalangan
AEB, FCW, EBA
—
Ya
Sistem Pemanduan Automatik
ACC
—
Ya
Sistem Kawalan Lorong
LDW
—
Ya
Pengecaman Isyarat Jalan Raya
TSR
—
Ya
Peringatan Pergerakan Kenderaan
Depan
FDA
—
Ya
Kamera Bantuan Parkir
360 darjah
—
Ya
Kamera Belakang
Ya
Ya
Pilihan Anda?
Secara keseluruhannya, QV-E dan e.MAS 5 bukan pesaing secara langsung kecuali anda mahukan sebuah EV yang berharga di bawah RM100 ribu.
Perbezaan utama terletak pada harga, gayaan dan kuasa elektrik serta jarak pemanduan.
Persaingan utama di antara kedua-dua model ini ialah kenderaan pembakaran dalaman (ICE).
Dengan pelancaran QV-E dan e.MAS 5, harga EV untuk rakyat terbanyak sudah menjadi setara kereta ICE kebanyakan.
ASEAN NCAP mengumumkan SUV elektrik pertama keluaran Perodua, iaitu QV-E memperoleh skor lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.
Berdasarkan ujian tersebut, Perodua QV-E memperoleh skor keseluruhan setinggi 88.36 mata berdasarkan empat kategori berikut:
Perodua QV-E merupakan SUV elektrik segmen B yang tersedia dalam varian tunggal, menawarkan ciri standard seperti enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang depan dan belakang, sistem pengesan penumpang belakang, cagak ISOFIX dan sistem pengesan kehadiran kanak-kanak (CPD).
EV itu juga turut dilengkapi ciri keselamatan termaju seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Pengesan Titik Buta (BSD) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).
Perodua QV-E ditawarkan pada harga bermula RM80,000 tidak termasuk insurans, sementara pakej pajakan bateri pula bermula dari RM275/bulan untuk tempoh 9 tahun.
Perodua akhirnya secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, dikenali dengan nama QV-E.
Dengan harga jualan bermula dari RM80,000 (tidak termasuk insurans dan bateri), Perodua QV-E merupakan kereta penumpang pertama di Malaysia yang hadir dengan skim pajakan bateri.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Projek kerjasama dengan Magna Steyr
Untuk makluman, QV-E merupakan projek usahasama antara Perodua dan Magna Steyr!
Untuk itu, sebuah platform serba baharu dibangunkan supaya ia dapat disesuaikan dengan pelbagai jenis bentuk badan kenderaan di dalam segmen A dan B.
Bukan sekadar EV, platform ini juga boleh disesuaikan dengan unit pacuan hibrid, serta EV yang dilengkapi dengan unit penambah jarak (REEV).
2. Dimensi
QV-E membawakan ukuran sepanjang 4,170 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,502 mm dengan jarak antara roda speanjang 2,680 mm.
Ia juga turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 158 mm.
Jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, QV-E memiliki kelebihan dimensi yang lebih panjang (+35 mm) dan jarak antara roda 30 mm lebih panjang.
QV-E juga jauh lebih panjang, lebih lebar namun sedikit rendah berbanding model Myvi.
3. Prestasi
Perodua QV-E dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 201 hp dan daya kilas 285 Nm, membolehkan pecutan sepantas 7.5 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 165 km/j.
Ini menjadikan QV-E sebagai model Perodua yang paling pantas pernah dihasilkan.
Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
4. Bateri
Pek bateri 52.5 kWh daripada CATL membolehkan EV ini bergerak sejauh 445 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).
QV-E menyokong pengecasan AC 6.6 kW di mana bateri boleh dicas penuh 0-100 peratus SoC dalam masa 8 jam.
Untuk memudahkan urusan, pengguna boleh memanfaatkan pengecasan pantas DC 60 kW di mana bateri boleh dicas sepantas 30 minit dari 30-80 peratus SoC.
Bateri ini turut mempunyai sistem sejukan cecair serta penarafan IP68 (air) dan IP69 (habuk).
5. Luaran
Reka bentuk SUV coupe pada QV-E membawakan satu kelainan yang tidak didapati pada mana-mana model Perodua sedia ada.
Secara standard, QV-E mendapat ciri seperti rim aloi 18 inci, lampu utama LED berserta lampu nyalaan siang DRL, pemegang pintu terbenam, plastik pelindung pada bahagian sisi, serta spoiler bumbung.
Port pengecasan pula tersedia pada bahagian dapra hadapan sebelah kiri.
6. Kabin
Untuk ruang kabin pula, terdapat roda stereng jenis bawah rata, skrin kluster digital 10.25 inci TFT, skrin tengah sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta cermin pandang belakang digital.
QV-E masih lagi mengekalkan butang-butang fizikal untuk fungsi kawalan pendingin hawa di bahagian bawah corong udara, serta tuil pemilihan mod pemanduan dan tombol rotari PRND pada konsol tengah.
Ciri lain termasuklah tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam tahap, sistem pendingin hawa automatik, sistem pencahayaan suasana, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, dan tempat duduk balutan kulit separa.
7. Keselamatan
QV-E dibekalkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), kamera perakam pemanduan, cagak ISOFIX dan sistem kamera pemantauan keliling (SVM).
Aspek keselamatan aktif pula terdiri daripada brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), bantuan lebuh raya (HWA), amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem pengesanan titik buta (BSD), amaran keluar lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Terdapat juga ciri pengesan kehadiran kanak-kanak (CPD) untuk tempat duduk baris kedua, serta sistem panggilan kecemasan (SOS).
8. Battery as a Service
Perodua menawarkan khidmat pajakan bateri bagi memastikan prestasi yang terjamin sepanjang tempoh kontrak 9-tahun (108 bulan).
Yuran langganan bateri serendah RM275/bulan itu akan dimasukkan sekali ke dalam pembiayaan kenderaan.
Di bawah program ini, bateri tersebut akan berada di bawah pemilikan Perodua, namun boleh dimiliki sepenuhnya oleh pelanggan selepas 9 tahun.
Selepas bateri tersebut mencapai akhir kitaran hayat (End of Life), ia perlu diserahkan kepada Perodua untuk dilupuskan dengan cara yang betul.
Perodua juga turut memasang peranti penjejak bateri (battery tracker) untuk meminimumkan risiko terhadap alam sekitar sekiranya ia dicabut keluar daripada kenderaan atau tersadai untuk satu tempoh masa yang lama.
Program pajakan bateri ini bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan pelanggan terhadap nilai jualan semula EV yang rendah, serta kos penggantian bateri EV yang agak tinggi pada ketika ini.
Dengan kemajuan teknologi hari ini, topi keledar bukan lagi sekadar pelindung kepala tetapi ia boleh juga menjadi alat pintar yang boleh menyampaikan maklumat penting untuk meningkatkan pengalaman menunggang.
Terbaru, Shoei membuktikan perkara ini dengan memperkenalkan GT-Air 3 Smart, hasil kerjasama dengan pakar teknologi Perancis, EyeLights. Ia digelar sebagai topi keledar motosikal pertama di dunia dengan sistem realiti terimbuh (AR) yang benar-benar terbina terus di dalam struktur topi keledar.
Ciri utama model ini ialah head-up display (HUD) generasi ketiga daripada EyeLights. Tidak perlu lagi peranti yang besar kerana seluruh sistem AR telah disepadukan terus ke dalam cangkerang topi keledar.
Sebuah projektor nano OLED kecil bertindak memaparkan maklumat seperti kelajuan, navigasi GPS, panggilan dan amaran radar di dalam pandangan penunggang, seolah-olah terapung kira-kira tiga meter di hadapan.
Dengan ini, penunggang boleh kekal fokus pada jalan tanpa perlu melihat ke bawah ke meter atau telefon di bar hendal.
Masalah terbesar HUD sebelum ini ialah paparan sukar dibaca di bawah cahaya matahari terik. Namun EyeLights menjanjikan paparan HD penuh melalui projektor nano OLED yang kekal jelas walaupun matahari tepat mengenai visor.
Mereka juga mendakwa teknologi ini boleh mengurangkan masa tindak balas penunggang lebih 32%, sekali gus meningkatkan ciri keselamatan.
Selain AR, GT-Air 3 Smart turut dilengkapi sistem komunikasi terbina sepenuhnya yang merangkumi pembesar suara, mikrofon pembatalan hingar aktif, sokongan untuk Siri dan Google, serta sistem interkom universal yang boleh berfungsi dalam mod online dan offline.
Hayat bateri pula dikatakan melebihi 10 jam dan semua komponen elektronik disembunyikan kemas di dalam cengkerang tanpa modul luar yang mengganggu rupa topi keledar.
Dari segi keselamatan, topi keledar ini mempunyai pensijilan DOT dan ECE 22.06 melalui penggunaan cengkerang AIM. Ia juga dilengkapi visor matahari QSV-2, visor luar CNS-1C dengan Pinlock dan sistem pengudaraan Defogger yang dipertingkat.
Ditawarkan dalam lima warna dan saiz dari S hingga XXL, GT-Air 3 Smart dijual pada harga US$1,199 (RM4,955). Harganya hampir dua kali ganda model biasa tetapi anda membayar untuk teknologi terkini dan integrasi yang benar-benar kemas.