Bilik pameran flagship Neta dibuka di Ampang


Neta Auto dan KCM Group baru-baru ini merasmikan pelancaran bilik pameran flagship pertama Neta di Malaysia yang terletak di Ampang.
Bilik pameran ini merupakan sebahagian daripada misi Neta untuk menjadikan EV pintar lebih mudah diakses, sambil meningkatkan pengalaman pembelian kereta secara keseluruhan.
Terletak di tengah-tengah kawasan kedutaan Kuala Lumpur, bilik pameran berkeluasan 2,322 meter persegi ini menampilkan rekaan minimalis dengan dinding kaca dan kemasan dalam warna kelabu dan tona kayu Nordic.
Selain ruang pameran kenderaan yang menempatkan model-model terkini Neta, ia juga mempunyai pelbagai kemudahan lain termasuk bahagian ruangan, lounge, serta perkhidmatan selepas jualan yang serba lengkap.
Menurut Neta Auto, pembukaan bilik pameran flagship Ampang ini menandakan satu kejayaan dalam strategi pengembangannya untuk pasaran Malaysia.
Syarikat itu merancang untuk membuka 20 cawangan pengedar menjelang akhir tahun ini, merangkumi kawasan-kawasan penting seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Malaysia Timur.
Di samping itu, Neta juga sedang menaik taraf cawangan pengedar sedia ada kepada kemudahan 3S bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dalam saluran jualan dan servis mereka.
“Setiap lokasi baharu mewakili langkah penting dalam mencapai matlamat kami: untuk menjadikan mobiliti pintar boleh diakses oleh semua orang,” kata Zhou Jiang, Naib Presiden Neta Auto.
Bersempena dengan pelancaran bilik pameran ini, Neta Auto turut mengadakan majlis penyerahan 50 unit pertama Neta X kepada pelanggan di Malaysia.
Dilancarkan pada Julai lalu, Neta X boleh didapati dalam tiga varian iaitu 400 Comfort (RM119,888), 400 Luxury (RM127,888) dan 500 Luxury (RM135,888).
Varian-varian 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 52 kWj yang memberikan jarak pandu sehingga 323 km, manakala varian 500 dengan bateri 62 kWj boleh dipandu sejauh 410 km dengan satu cas penuh.
Pelanggan yang memilih Neta X mendapat pengecas Neta Wallbox secara percuma atau kredit pengecasan percuma selama setahun oleh chargeEV.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan pakej servis percuma selama dua tahun atau 40,000 km. Promosi istimewa ini sah sehingga 31 Oktober 2024.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.