HKS R35 NEO GT1000+ Concept bakal curi tumpuan di Tokyo Auto Salon KL
Walaupun dalam versi standard, Nissan GT-R NISMO sebenarnya sudah cukup menggerunkan tetapi HKS seperti biasa telah memberikan suntikan steroid kepada “Godzilla” itu, membolehkan ia menghamburkan lebih 1,000 PS!
Dipertontonkan buat pertama kali di Tokyo Auto Salon Japan pada Januari lalu, jentera yang dikenali sebagai HKS R35 NEO GT1000+ Concept itu bakal menggegarkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dari 8 hingga 10 November ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut HKS, kereta ini adalah berdasarkan HKS R35 GT1000+ yang dibangunkan untuk time attack. Ia dikuasakan oleh enjin VR38 3.8-liter twin-turbo V6 yang telah dipertingkatkan dengan pelbagai komponen HKS.
Ini termasuk turbin ball bearing HKS GT5565 yang baru, sistem ekzos HKS dan transmisi HKS GR6. Untuk suspensi, ia menggunakan sistem HKS Hipermax (Proto), rim Advan Racing GT Beyond berukuran 2o inci dan tayar Advan A052 bersaiz 285/30R20.
TAS KL ialah satu-satunya acara permotoran jenama itu yang dibuat di luar Jepun. Harga tiket ialah RM60 pada hari acara, dan RM120 untuk pas tiga hari.
Tiket untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun pula ialah RM25 untuk early bird, RM30 pada harga acara, dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak bawah enam tahun masuk percuma.
Untuk lebih eksklusif, anda boleh mendapatkan Black Tag pada harga RM1,500. Dengan pas ini, anda mampunyai keistimewaan seperti:
- Akses ke semua tiga hari acara
- Parkir valet percuma
- Akses ke lounge Black Tag
- Makanan dan minuman percuma
- Akses ke Japan Pavillion Cars
- Barangan eksklusif TAS KL 2024
- Meet and greet dengan pelbagai individu
- Keutamaan untuk bidaan
- Lounge khas tanpa media dan jurugambar
Untuk maklumat lanjut, layari www.tokyoautosalonkl.com atau platform sosial media Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram dan TikTok.
Tiket boleh dibeli di https://tickets.tokyoautosalonkl.com.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.