Mitsubishi DST Concept, SUV 7-tempat duduk untuk pasaran ASEAN
Bertempat di Philippine International Motor Show, Mitsubishi Motors memperlihatkan sebuah model konsep SUV tiga baris tempat duduk yang dinamakan sebagai DST.
Menurut Mitsubishi, DST Concept ini bakal direalisasikan sebagai model produksi sebenar yang akan dilancarkan pada tahun 2025.
Dengan kehadiran DST, Mitsubishi mahu mengembangkan lagi portfolio produk SUV (Pajero Sport, Xforce & Xpander Cross) di pasaran ASEAN, dan tidak direka untuk menggantikan produk sedia ada.
Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu tentang Mitsubishi DST Concept:
1. SUV casis monocoque
Mitsubishi DST dibangun berdasarkan platform unibodi dan tidak bergantung kepada platform ladder-frame.
Berkemungkinan besar ia berkongsi platform yang sama digunakan pada model SUV segmen B Xforce.
2. Tema Gravitas & Dynamism
Selain daripada elemen Dynamic Shield yang menjadi identiti kenderaan Mitsubishi, bahagian luaran DST Concept turut menekankan tema rekaan Gravitas & Dynamism.
Konsep rekaan ini dipersembahkan menerusi perkadaran reka bentuk badan berkotak yang menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa biarpun dengan kehadiran tempat duduk baris ketiga.
Penggunaan rekaan fender berlekuk, tayar berdiameter besar dan jarak kelegaan bumi yang tinggi menonjolkan lagi karakter gagah dan atletik SUV ini terutama di atas jalan raya.
3. Elemen yang mungkin tidak akan wujud pada model produksi sebenar
Tipikal untuk sebuah kereta konsep, DST didatangkan dengan beberapa ciri unik.
Antaranya ialah rekaan pintu tanpa kerangka tingkap, ketiadaan pemegang pintu, cermin sisi digital dengan skrin paparan khas pada papan pemuka, serta bumbung suria yang memanjang ke belakang.
Besar kemungkinan kesemua ciri tersebut akan diubah semula untuk disesuaikan dengan spesifikasi model produksi sebenar.
4. Ruang kabin premium
Untuk bahagian dalam, Mitsubishi menggunakan bahan sentuh lembut pada panel pintu dan papan pemuka.
Trend skrin digital dengan paparan melengkung tunggal turut digunakan dalam DST Concept, diikuti dengan konsol tengah yang agak futuristik dan roda stereng dua jejari rekaan baharu.
Tiada sebarang info berkenaan kapasiti ruang kargo yang tersedia, mungkin sekali ruang agak terhad berdasarkan gambar tempat duduk baris ketiga yang dibekalkan oleh Mitsubishi.
5. SUV pacuan roda depan, 5 mod pemanduan
Mitsubishi juga tidak mendedahkan nadi kuasa yang bakal digunakan pada DST Concept versi produksi sebenar.
Namun, apa yang pasti DST memiliki sistem pacuan roda depan (FWD) yang dibantu dengan lima mod pemanduan iaitu Normal, Tarmac, Gravel, Mud dan Wet.
Sebagai info, Mitsubishi Xforce yang telah dilancarkan sebelum ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter berkuasa 103 hp yang dipadankan dengan transmisi CVT memacu roda hadapan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.