fbpx

Chery KP11 bakal beri saingan kepada Ranger, Triton, Hilux, pelancaran tahun 2025

Chery KP11 5

Segmen trak pikap saiz pertengahan bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran pendatang baharu dari Tanah Besar China.

Bersempena dengan acara Chery International User Summit yang berlangsung di Wuhu, Chery memperlihatkan sebuah model prototaip trak pikap yang dikenali dengan kod nama KP11.

Sekali imbas, anda mungkin akan menyangka Chery KP11 merupakan sebuah model yang dirojakkan dengan pelbagai elemen rekaan trak pikap terkenal.

Seperti contoh, muka depan menampilkan rekaan lampu utama berlapis dengan grafik DRL berbentuk L yang mengingatkan kita pada trak pikap Mitsubishi Triton baharu.

Elemen trak pikap Ford pula boleh diperhatian menerusi struktur jeriji hadapan dengan perkataan CHERY yang agak besar, warna biru yang digunakan, lampu belakang diikuti dengan kehadiran tempat pemijak sisi pada bampar belakang.

Untuk menyerlahkan lagi karakter versatiliti trak pikap ini, Chery telah memadankan pelbagai jenis aksesori perkhemahan termasuklah rak pada bed belakang dan khemah bumbung.

Menurut laporan media tempatan, Chery KP11 dijangka akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol 2.4 liter turbo dengan tetapan plug-in hybrid (PHEV) atau versi penambah jarak (range extender).

Chery KP11 akan dilancarkan di pasaran Asia-Pasifik, Amerika Selatan dan Eropah pada tahun hadapan, menyertai segmen trak pikap yang sudah sedia tepu dengan model seperti Ford Ranger, GWM Cannon, Mazda BT-50, Mitsubishi Triton, Nissan Navara, dan Toyota Hilux.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved