fbpx

5 teknologi kereta yang berasal dari dunia penerbangan

hud

KITA harus bersyukur kerana kereta yang kita boleh beli hari ini didatangkan dengan pelbagai teknologi canggih. Kebanyakan teknologi ini direka untuk memudahkan pemanduan dan meningkatkan keselamatan.

Tetapi tahukah anda terdapat banyak teknologi yang ada pada kereta hari ini sebenarnya datang dari dunia penerbangan dan aeroangkasa? Kami akan kongsikan lima teknologi utama.

1. Brek anti-kunci

Brek anti-kunci atau nama lazimnya ABS (anti-lock braking system) mula digunakan dalam dunia penerbangan sejak 1950an. Pesawat-pesawat pada masa itu dilengkapi brek anti-kunci yang dinamakan Decelostat bagi meningkatkan kestabilan semasa mendarat di permukaan licin dan berais.

Antara pesawat-pesawat awal yang dilengkapi dengan brek anti-kunci adalah Avro Vulcan, di Havilland Comet 2c, Hawker Siddeley Trident, dan Dutch Fokker F27.

ABS mula hadir pada kereta-kereta mewah pada 1980an. Kini, brek ABS menjadi kelengkapan wajib dan paling asas untuk kereta-kereta moden.

2. Head-Up Display (HUD)

Head-Up Display (HUD) ialah paparan jernih di kokpit pesawat yang diposisikan pada tahap pandangan juruterbang di cermin depan.

Ia memaparkan maklumat-maklumat penting penerbangan seperti kelajuan udara, altitud, garisan ufuk, dan petunjuk-petunjuk lain. Juruterbang dapat mengetahui bacaan-bacaan ini tanpa mengalihkan pandangan dari cermin depan, lantas meningkatkan keselamatan penerbangan.

Hari ini, HUD telah muncul dalam dunia automotif yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, had laju, muzik, malah arah navigasi. Matlamatnya sama, untuk mengelakkan pemandu mengalihkan perhatian dari depan.

Tetapi HUD masih dikira sebagai ciri premium untuk kereta.

3. Autopilot

Seperti pada namanya, autopilot ialah ciri dimana pesawat boleh diterbangkan sendiri dengan stabil. Tetapi tidaklah sepanjang penerbangan.

Autopilot biasanya diaktifkan apabila pesawat sudah berada di altitud tetap, kelajuan malar, dan arah hala tuju yang tetap. Ini dapat mengurangkan beban juruterbang untuk penerbangan jarak jauh yang akan memenatkan juruterbang sekiranya perlu memegang alat kawalan sepanjang masa.

Pesawat pertama dilengkapi dengan autopilot ialah Sperry Corporation pada 1912. Autopilot dihubungkan secara mekanikal dengan bahagian kawalan pesawat. Kini dalam dunia penerbangan, ciri autopilot sangat canggih dengan pelbagai kawalan automatik dan elektronik.

Untuk dunia automotif, autopilot menggunakan radar dan kamera khas untuk membaca jalan raya, papan tanda dan garisan jalan untuk membolehkan kereta dipandu secara automatik dengan mengekalkan kelajuan dan jarak dengan kenderaan di depan.

4. Gentian karbon

Gentian karbon mula dicipta sejak 150 tahun dahulu untuk mencapai nisbah kekuatan-kepada-berat yang tinggi. Ia menghasilkan bahan yang sangat keras tetapi ringan, menjadikannya sangat sesuai untuk dunia penerbangan.

Badan pesawat yang ringan bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan bahan api, tetapi menambahkan prestasi penerbangan.

Proses penghasilan gentian karbon hari ini sedikit berbeza berbanding 100 tahun dahulu. Tetapi matlamatnya sama, malah sifat bahan itu juga sama.

Untuk pesawat, gentian karbon mula digunakan pada badan dan komponen enjin jet. Untuk dunia automotif pula, gentian karbon pertama kali digunakan pada kereta lumba memandangkan sifatnya yang sesuai dengan keperluan perlumbaan – ringan dan kuat.

Kini, gentian karbon semakin banyak didapati pada kereta harian biasa. Komponen paling lazim dibuat dari gentian karbon ialah spoiler, skirting, dan panel dalaman kereta.

5. Pengecas turbo

Pengecas turbo dipacu oleh turbin yang memasukkan lebih banyak udara dalam enjin pembakaran untuk membolehkannya menghasilkan lebih banyak kuasa.

Ia sangat sesuai untuk dunia penerbangan kerana saiz enjin pesawat dapat dibina dengan kompak atau kecil tetapi menghasilkan kuasa mencukupi untuk prestasi penerbangan.

Sudah tentu, seperti dijangka, pengecas turbo kemudiannya memasuki dunia automotif tetapi di perlumbaan terlebih dahulu.

Perodua Ativa antara produk kualiti bertaraf dunia keluaran syarikat Perodua. - Foto ihsan Perodua

Hari ini, enjin turbo menjadi sangat lazim bukan sahaja pada kereta berprestasi tinggi, tetapi juga kereta harian untuk anda menghantar anak ke sekolah.

Turbo pada kereta bukan lagi untuk prestasi semata-mata, tetapi juga untuk penjimatan bahan api dan meningkatkan kecekapan enjin.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved