Neta X dilancar: Tiga varian, sehingga 410km jarak pemanduan, dari RM120k
PASARAN kenderaan elektrik (EV) bawah RM150,000 semakin hangat, kini Neta X pula memasuki persaingan. Dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini, Neta X kini dilancarkan secara rasmi dengan varian dan harga seperti berikut:
Neta X 400 Comfort: RM119,888
Neta X 400 Luxury: RM127,888
Neta X 500 Luxury: RM135,888
Semua varian dipacu oleh satu motor elektrik di depan, menjadikannya SUV FWD. Output adalah 120kW (163hp) dan 210Nm, cukup untuk pecutan 0-100 dalam masa 9.5 saat.
Untuk dua varian 400, baterinya berkapasiti 52kWh manakala varian 500 dilengkapi bateri 62kWh. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 323km untuk varian 400, dan 410km untuk varian 500.
Dari segi pengecasan pula, Neta X boleh diisi baterinya pada kadar 6.6kW untuk AC, sembilan jam diperlukan untuk penuh. Dengan pengecasan pantas DC pada kadar 65kW, pengecasan dari 30 hingga 80 peratus memerlukan 30 minit. Terdapat juga fungsi V2L untuk mengecas perkakas luaran.
Neta X mempunyai ukuran 4,619mm panjang, 1,860mm lebar, dan 1,628mm tinggi. Jarak roda pula ialah 2,770mm.
Kelengkapan standard pada Neta X termasuklah lampu LED, bumbung panoramik, rak bumbung, cermin sisi berkuasa, dan rim 18-inci.
Di dalam pula, EV ini mendapat skrin sesentuh 15.6-inci untuk infotainmen, fungsi kemaskini perisian over-the-air (OTA), arahan suara, sambungan Bluetooth, dan sistem audio lapan pembesar suara. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, dan Sport, serta fungsi pemanduan satu-pedal.
Ciri keselamatan merangkumi Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Change Assist dengan Blind Spot Detection. Terdapat juga Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, dan High Beam Assist.
Neta X boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue, dan Amber Brown. Anda juga boleh memilih dua warna untuk kabin iaitu hitam atau coklat.
Apa pendapat anda mengenai Neta X setakat ini? Boleh mencabar BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5?
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.