fbpx

Institut memandu terlibat sindiket ‘lesen terbang’ berdepan pembatalan lesen

sekolah institut memandu
Gambar hiasan

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran kepada Institut Memandu (IM) supaya tidak terlibat dengan sindiket lesen terbang atau lesen ‘kopi O’.

Loke berkata, IM yang didapati bersalah bakal berdepan pembatalan lesen pengoperasian serta-merta.

Tambah beliau lagi, kegiatan rasuah dalam industri pengujian pemanduan perlu dihapuskan kerana tindakan itu akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutama golongan muda.

“Institut memandu jangan terlibat rasuah, jika ia tidak dibanteras, anak muda menjadi mangsa, kita mahu menyelamatkan nyawa manusia.

“Rakyat juga dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan tawaran lesen terbang ini menerusi iklan di media sosial,” katanya pada Ahad.

Susulan itu, beliau menjelaskan, pelaksanaan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) menjadi langkah proaktif dan berintegriti yang diperkenalkan bagi menghapuskan gejala rasuah dalam industri pengujian memandu.

Beliau menyeru institut memandu untuk membiasakan penggunaan sistem itu sebelum penggunaannya diwajibkan pada 2030.

“Kementerian bersungguh-sungguh melaksanakan eTesting supaya dapat memastikan satu sistem lebih berintegriti.

“Gejala lesen terbang sudah lama kita dengar, tapi saya lihat ada perkembangan positif walaupun tidak dinafikan mungkin ada lagi sindiket cuba mengambil kesempatan, kita akan teruskan usaha membanteras rasuah,” katanya.

Loke berkata, pihaknya menerima banyak permohonan institut memandu bagi pelaksanaan eTesting sejak diperkenalkan pada April lepas.

Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sedang memproses permohonan itu dan kumpulan pertama bakal menerima surat dalam masa terdekat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved