Batik Air, Kia jalin kerjasama sedia khidmat pemindahan terminal dengan EV9, Carnival
BATIK Air memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan syarikat penerbangan itu.
Menerusi kerjasama dengan pengedar rasmi jenama Kia iaitu Dinamik Jaya Motors Sdn Bhd, Batik Air akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi dengan menawarkan pemindahan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA.
Penumpang akan dibawa menggunakan SUV elektrik Kia EV9 dan MPV Kia Carnival antara lokasi pengambilan yang terletak di Gate G1 di Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit.
Menurut Batik Air, perkhidmatan ini adalah sebagai tambahan kepada perkhidmatan pemindahan menggunakan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotren.
Datuk Chandran Rama Muthy, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air berkata pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil memastikan pelanggan mereka dapat menikmati keselesaan dan kemewahan yang tiada tandingan.
“Inisiatif ini selaras dengan dengan visi jangka panjang kami untuk mencapai masa depan yang lebih mampan dalam penerbangan,” katanya.
Sementara itu, Kevin Ahn, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik berkata perkongsian dengan Batik Air itu sejajar dengan visi korporat Pelan S Kia dan komitmen mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.