fbpx

Aston Martin Vantage dilancarkan di Malaysia – RM2.37 juta

01 Aston Martin New Vantage

HANYA beberapa bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global, Aston Martin Vantage 2024 kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula dari RM2.37 juta tidak termasuk aksesori tambahan dan personalisasi.

Seperti model terdahulu, Vantage baharu dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG namun dengan pelbagai naik taraf, kuasa meningkat kepada 665 PS dan 800 Nm.

Peningkatan sebanyak 155 PS dan 115 Nm itu dicapai menerusi penggunaan cam profile yang dimodifikasi, nisbah mampatan optimum, pengecas turbo lebih besar dan sistem penyejukan yang lebih baik.

Transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF membantu jentera sport ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat, sebelum ia mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Casis aluminium Vantage kini lebih keras menerusi pemasangan komponen tambahan pada bahagian bawah badan, serta penambahbaikan pada bahagian depan dan belakang struktur.

Vantage dilengkapi dengan peredam adaptif pintar yang dikatakan boleh memberi kawalan dengan tindak balas yang lebih baik.

 

Rim pula bersaiz 21 inci di hadapan dan belakang tetapi dengan tayar berlainan saiz iaitu 275/35 di depan dan 325/30 di belakang.

Tersembunyi di sebalik rim adalah brek cakera besi tuang (cast iron) berukuran 400 mm di depan dan 360 mm di belakang. Pelanggan boleh menaik taraf kepada cakera karbon seramik (CCB) yang lebih ringan sebanyak 27 kg.

Di dalam, ruang kabin telah direka semula sepenuhnya. Antara kelengkapan yang disertakan termasuk kluster instrumen digital, skrin sentuh 10.25 inci dengan Apple CarPlay wayarles, serta sistem audio standard 390W dengan 11 pembesar suara.

Mereka yang gemar mendengar muzik boleh mendapatkan sistem audio Bowers & Wilkins berkuasa 1,170W yang mempunyai 15 pembesar suara termasuk pembesar suara 3D dan subwoofer.

Menurut Aston Martin Kuala Lumpur, harga runcit termasuk waranti pengeluar untuk tiga tahun yang boleh dinaik taraf sehingga 20 tahun.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved