fbpx

Mercedes-Benz C350e dilancarkan di Malaysia – CKD, harga dari RM355k

Mercedes-Benz C350e 01

BARISAN Mercedes-Benz C-Class W206 untuk pasaran Malaysia kini diperluaskan lagi dengan penambahan varian plug-in hybrid baharu iaitu C350e.

Menurut paultan.org, ia menggantikan C300 AMG Line yang dilancarkan bersama dengan C200 Avantgarde pada 2022. Seperti kedua-dua varian tersebut, C350e dipasang di Pekan, Pahang.

C350e dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 204 hp pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.

Enjin itu dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 95 kW dan 440 Nm, memberikan sedan ini kuasa keseluruhan sebanyak 313 hp dan 550 Nm.

Dengan transmisi 9G-Tronic yang memacu roda belakang, C350e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.

Model ini menggunakan bateri berkapasiti 25.4 kWj yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz, membolehkan ia dipandu sejauh 117 km dengan kuasa elektrik. Kelajuan maksimum dalam mod ini adalah 140 km/j.

Bateri berkenaan mengambil masa dua jam untuk penuh menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW.

Dari segi kelengkapan, C350e didatangkan dengan pakej penggayaan AMG Line, rim aloi AMG berukuran 18 inci dan Night Package yang mengandungi elemen-elemen hitam berkilat seperti apron hadapan, bingkai tingkap dan cermin sisi.

Varian ini didatangkan standard dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan sistem pencahayaan ambien.

Ruang dalaman juga dihiasi trim AMG Line, bermakna ia mempunyai stereng sport yang dibalut kulit nappa, karpet kaki AMG, dan tempat duduk sport yang dibalut upholsteri kulit Artico dalam warna hitam.

Sistem infohibur MBUX terdiri daripada panel instrumen digital berukuran 12.3 inci, skrin sentuh 11.9 inci yang dihalakan 6 darjah ke arah pemandu dan pengecas wayarles.

Untuk sistem keselamatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menyertakan kamera 360 darjah, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, Guard 360° dan Pedestrian Protection.

Menurut MBM, harga jualan C350e dianggarkan sekitar RM355,000 on-the-road tidak termasuk insurans.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved