AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memutuskan untuk memperolehi empat buah helikopter AW189 yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters.
Majlis penyerahan Surat Setuju Terima bagi perolehan empat buah helikopter AW189 milik APMM itu telah disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi pada Selasa lepas.
Kontrak perolehan helikopter bersaiz sederhana itu telah dianugerahkan kepada Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, namun kenyataan di dalam akuan FB Kementerian Dalam Negeri itu tidak menyatakan kos perolehannya.
Pada ketika ini, APMM mengoperasikan tiga unit AW139 yang merupakan model lebih kecil berbanding AW189, serta tiga unit AS365 Dauphin. Sementara itu, dua buah helikopter AW189 digunakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Helikopter AW189 Leonardo Helicopters itu dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan untuk melaksanakan misi-misi yang mencabar.
Dengan berat 8,300kg hingga 8,600kg serta dilengkapi dengan dua enjin Safran atau General Electric, helikopter medium-lift itu berkeupayaan terbang selaju 294km/j.
Dengan dua krew, helikopter AW189 itu boleh membawa sehingga 19 orang penumpang. AW189 juga boleh dilengkapi dengan keupayaan untuk melaksanakan misi-misi perubatan dan menyelamat yang mencabar.
Jarak operasi dan ketahanan helikopter AW189 memberikan ia kelebihan besar dalam melaksanakan misi-misi yang penting dalam menyelamatkan nyawa.
Helikopter AW189 memastikan juruterbangnya dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini dalam aspek penerbangan helikopter dan juga ciri-ciri keselamatan.
Avionik moden milik helikopter itu dengan digital glass cockpit bersepadu memberikan ia kesedaran tentang situasi tertinggi dengan set sensor yang komprehensif.
Kabin helikopter AW189 adalah paling besar di dalam kelasnya, dengan kemampuan untuk menempatkan sembilan penumpang bersama-sama tiga buah stretcher dan kelengkapan-kelengkapan penting untuk misi menyelamatkan nyawa.