Terpaling Havoc 2023 julung kali diadakan, himpun lebih 5,000 kenderaan
TERPALING Havoc Mega Gathering 2023 telah berlangsung pada 28 Oktober lepas dan menjadi acara sulung buat penganjur, Castcall Asia Sdn Bhd.
Acara yang diadakan di Litar Drag Gong Badak, Terengganu itu juga diadakan dengan kerjasama beberapa pihak seperti Mustang Club Malaysia, Cpurt Event Managment, Fullthrottle Official, RD Terengganu, Ducati Official Club Malaysia, dan DREC 469 Truecore. Ia juga mendapat sokongan penuh dari Kementerian Belia & Sukan dan Rakan Muda.
Pelbagai aktiviti disusun untuk peserta dan pengunjung seperti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama Honda Ferio EG dengan enjin B18, Yamaha RX-Z, dan lain-lain hadiah sumbangan penaja dengan jumlah keseluruhan RM200,000.
Bagi segmen Audioshow dan Autoshow, penganjur mempertaruhkan beberapa kategori seperti Best Audio, Best Exhaust, Best Wrap, Best Standard, Best Interior, dan kategori utama Best of The Best Terpaling Havoc.
Penganjuran julung kali ini juga berjaya meghimpunkan hampir 5,000 kenderaan dari wakil kelab kereta dan motosikal, serta 400 penyertaan autoshow dan audioshow. Dilaporkan juga lebih 15,000 pengunjung membanjiri acara itu.
Peserta dan pengunjung juga disajikan dengan persembahan artis jemputan seperti Hafiz Suip, Black Hanifah, Aepul Roza, Aril Pilus, Jaa Suzuran, dan Abey Nikk Pantun.
Acara turut diserikan dengan kehadiran beberapa tetamu khas seperti Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi Bahagian Pembangunan KBS, Norazli Mohd Daud dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan.
Jemput jamu mata dengan galeri di bawah!
Foto dan laporan oleh: Raziman Sipico
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.