fbpx

Lamborghini Revuelto masuk pasaran Malaysia – RM2.5 juta tidak termasuk cukai

Lamborghini Revuelto launch 01

SELEPAS kira-kira enam bulan diperkenalkan di peringkat global, supercar V12 terbaru dari Sant’Agata Bolognese iaitu Lamborghini Revuelto kini dilancarkan ke pasaran Malaysia.

Seperti yang anda mungkin sedia maklum, Revuelto adalah pengganti kepada Aventador. Ia juga merupakan model High Performance Eleftrified Vehicle (HPEV) pertama dari jenama itu.

Seperti Aventador, jentera ini masih menggunakan enjin 6.5-liter V12 NA namun ia kini dibantu oleh tiga motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,015 PS.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) lapan kelajuan, Revuelto boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.5 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam kurang tujuh saat. Kelajuan maksimum pula dikatakan melebihi 350 km/j.

Sistem hibrid Revuelto mendapat kuasanya daripada sebuah pek bateri litium ion berkapasiti 3.8 kW yang terletak di dalam terowong tengah (centre tunnel).

Bateri berkenaan boleh dicas sepenuhnya dalam masa 30 minit menggunakan pengecas 7 kW. Sebagai alternatif, ia juga boleh dicas menerusi brek janaan semula dari brek hadapan atau terus dari enjin dalam masa enam minit.

Dengan sistem hibrid, Revuelto membawakan tiga mod pemanduan baharu iaitu Recharge, Hybird dan Performance, di samping mod Citta (City), Strada, Sport dan Corsa.

Untuk tayar, Lamborghini memilih tayar Bridgestone Potenza Sport yang dibangunkan khusus untuk model ini. Ia boleh didapati dalam saiz 265/35 ZRF20 di hadapan dan 345/30 ZRF21 di belakang, atau 265/30 ZRF21 di hadapan dan 355/25 ZRF22 di belakang.

Sementara itu, sistem brek pula terdiri daripada Carbon Ceramic Brakes Plus (CCB Plus) yang merangkumi cakera 410 mm dengan angkup 10 piston di hadapan dan cakera 390 mm dengan angkup empat piston di belakang.

Dari segi rekaan, Revuelto menampilkan elemen berbentuk Y pada banyak komponen badan seperti lampu depan, lampu belakang, papan pemuka, dan ruang kemasukan udara di sisi.

Ruang dalaman juga memperlihatkan elemen berbentuk Y, digabungkan dengan pelbagai teknologi terkini termasuk skrin sentuh menegak berukuran 8.4 inci dan kluster instrumen digital 12.3 inci.

Menariknya, penumpang juga mempunyai akses terhadap sistem infohibur menerusi paparan 9.1 inci yang dipasang pada papan pemuka. Sistem infohibur ini boleh berkembang dari masa ke masa menerusi kemas kini Over-the-Air.

Harga tidak dimaklumkan semasa majlis pelancaran namun menurut paultan.org, harga Revuelto di Malaysia bermula dari RM2.5 juta sebelum cukai atau dari RM6.5 juta termasuk cukai.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved