fbpx

Belanjawan 2023 bukti Kerajaan Madani komited perkasa belia

PM belanjawan 2023 02
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen

Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim komited terhadap pemerkasaan belia memandangkan golongan ini adalah penentu masa depan negara.

Oleh itu, Kerajaan sentiasa mengambil berat akan kebajikan golongan belia dan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pelbagai inisiatif dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu golongan belia menghadapi cabaran kos sara hidup, malah membantu mereka menyedari potensi diri.

Peminjam PTPTN boleh menikmati diskaun sehingga 20 peratus bagi bayaran balik (Foto: Ihsan Adityawarman)

Antara inisiatif yang telah diperkenalkan ialah kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 bagi belia berumur 18-20 tahun atau penuntut IPT sepenuh masa. Inisiatif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta dan akan memberi manfaat kepada dua juta penerima.

Bagi meringankan beban peminjam PTPTN, Kerajaan bersetuju untuk menawarkan diskaun sehingga 20 peratus bagi bayaran balik pinjaman selama tiga (3) bulan bermula dari 1 Mac 2023. Selain itu, terdapat pemberian penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam (6) bulan.

Bukan itu sahaja, Kerajaan juga akan membiayai yuran ujian memandu untuk belia daripada kumpulan isi rumah B40 yang ingin mendapatkan lesen motosikal kelas B2, teksi, bas dan lesen e-hailing.

Kerajaan bersetuju membiayai yuran ujian memandu untuk belia yang ingin mendapatkan lesen e-hailing (Foto: MalayMail)

Mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil bagi meraih pendapatan, boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan menerusi agensi-agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), BSN, dan TEKUN. Bagi inisiatif ini, Kerajaan menyediakan dana berjumlah RM1.7 bilion.

Selain itu, Kerajaan juga akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat. Namun begitu, sementara menunggu pindaan tersebut, belia yang diisytihar muflis melibatkan hutang kurang RM50,000 dan memenuhi syarat tidak perlu risau kerana mereka sudah mendapat pelepasan serta-merta mulai 1 Mac lalu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Menurut Kerajaan, setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis telah direkodkan. Majoriti kes ini membabitkan anak-anak muda Melayu yang berpotensi untuk menyumbang semula kepada ekonomi negara.

(Foto: Porsche)

Inisiatif-inisiatif lain yang turut diumumkan dalam Belanjawan 2023 termasuk program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), program peningkatan kemahiran mikro dan peluang pekerjaan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat.

Inisiatif-inisiatif ini dijangka dapat memanfaatkan setiap belia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi dan lokasi. Malah, ada beberapa inisiatif yang telah terbukti berjaya membantu golongan sasar.

Mereka yang layak untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif ini, tapi masih belum berbuat demikian, harus segera merebut peluang ini bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Proses permohonan mudah dan mesra pengguna dan bantuan segera akan diberikan kepada mereka yang layak.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif belia dan pelbagai lagi tawaran Kerajaan kepada rakyat, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved