fbpx

‘Pulun’ pengeluaran dan jualan, angka jualan Januari Perodua melonjak 23 peratus

kilang perodua

JUALAN Perodua pada bulan Januari 2023 melonjak 23 peratus kepada 21,449 unit yang didaftarkan berbanding 17,444 unit pada bulan pertama 2022. Ini disebabkan oleh syarikat kereta kompak itu meneruskan tumpuannya kepada pengeluaran dan penghantaran maksimum.

Dari segi pengeluaran, Perodua menghasilkan 24,590 unit pada Januari tahun ini, peningkatan sebanyak 40.2 peratus daripada 17,538 unit yang dikeluarkan pada Januari 2022.

“Penting untuk dinyatakan  bahawa pada Januari tahun lepas (2022) telah berlakunya banjir, kekurangan bekalan cip semikonduktor, isu tenaga kerja dan kekurangan alat ganti lain – yang telah menghalang pengeluaran dan jualan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Namun demikian, peningkatan dalam jumlah bagi kedua-dua pengeluaran dan jualan telah menunjukkan bahawa ekosistem sedang berjalan seperti yang dirancang.”

Beliau berkata bahawa Perodua kekal komited kepada matlamat penghantaran kenderaan kepada para pelanggannya secepat mungkin tanpa menjejaskan kualiti atau keselamatan.

Dalam acara berasingan yang berlangsung pada 31 Januari 2023, Dato’ Sri Zainal telah berkongsi bahawa Perodua mensasarkan untuk mendaftar 314,000 unit dan mengeluarkan 330,000 unit untuk keseluruhan tahun 2023.

“Selain memberi tumpuan untuk menyelesaikan pesanan tertunggak, kami juga akan melancarkan Perodua Axia serba baharu tidak lama lagi untuk terus mengujakan pasaran. Kami percaya cadangan nilai kami akan diterima baik oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai Perodua Axia 2023 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Dato’ Sri Zainal berkata syarikat itu telah menukar hampir semua tempahan terdahulu model Axia semasa kepada model yang baharu.

“Penasihat jualan kami telah menghubungi para pelanggan untuk memaklumkan mengenai pertukaran Perodua Axia serba baharu dan kebanyakan mereka bersetuju untuk menukar kepada model baharu tersebut,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved