fbpx

Ini imej rasmi depan dan belakang Perodua Axia 2023 – Lancar 14 Feb!

perodua axia official 01

ANDA tertanya-tanya rupa sebenar Perodua Axia 2023? Baik, apa yang kami boleh bantu ialah anda ambil gambar-gambar yang kami siarkan tengahari tadi, dan gabungkan dengan dua imej terbaharu yang dikongsi Perodua ini.

Gambar yang kami kongsi awal tadi adalah di sesi pandu uji media tetapi kereta-kereta itu masih ‘berbungkus’ dengan pelekat camouflage. Kini, Perodua menyiarkan dua gambar depan dan belakang sedan segmen-A dengan namakod D74A itu.

Apa pendapat anda setakat ini? Gambar penuh hanya akan dapat anda lihat menjelang pelancarannya yang dijangka pada 14 Februari depan.

Perodua Axia 2023 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu G, X, SE dan AV. Kesemuanya dikuasakan oleh enjin 1.0-liter NA yang dipadankan dengan transmisi jenis D-CVT.

Kuasa dan tork tidak dinyatakan, namun menurut Perodua, gabungan itu memberikan kadar penggunaan bahan api 25.3 km/l bagi varian G dan X. Bagi varian SE dan AV, bacaan meningkat sehingga 27.4 km/l dengan adanya sistem Eco Idle. Kedua-dua varian ini juga dilengkapi dengan Power Mode.

Dari segi kelengkapan, varian G dan X mempunyai lampu jenis halogen, manakala dua varian lagi dilengkapi dengan lampu LED automatik dan lampu nyalaan siang LED. Cermin sisi pada semua varian adalah elektrik, namun pada SE dan AV, ia boleh dilipat secara automatik dan mempunyai lampu membelok LED.

Di dalam, varian SE dan AV didatangkan dengan kerusi separa bucket dan upholsteri separa-kulit dua tona, manakala yang selebihnya mendapat kerusi standard dan upholsteri fabrik.

Sebagai varian tertinggi, Axia AV didatangkan standard dengan paparan multi-info TFT berukuran 7.0 inci dan paparan audio 9.0 inci seperti yang terdapat pada Alza dan Ativa.

Untuk sistem keselamatan, Axia AV mendapat enam beg udara (pemandu, penumpang, sisi dan tirai) dan Perodua Smart Drive Assist. Ciri-ciri lain seperti ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control, Hill-Start Assist dan Traction Control pula disertakan secara standard pada semua varian.

Axia 2023 boleh didapati dalam lima warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Lava Red, Granite Grey dan warna baharu Coral Blue.

Harga dijangka bermula dari RM38,600 untuk varian G, RM40,000 untuk X, RM44,000 untuk SE dan RM49,500 untuk AV.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved