Mercedes-EQE 350+ dilancarkan di Malaysia – 669 km sekali caj, harga RM419,888

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah memperkembangkan lagi barisan Mercedes-EQ untuk pasaran tempatan dengan pelancaran model baharu EQE 350+.

Ia merupakan model EQ kedua yang dibina menggunakan platform elektrik Mercedes-Benz selepas EQS 450+ yang dilancarkan di Malaysia pada Julai 2022.

Menurut syarikat itu, EQE 350+ membawakan penawaran yang sama dengan EQS 450+ cuma dalam format yang lebih kompak. Ini boleh dilihat dengan jelas pada rekaan luaran EQE yang menampilkan gril tertutup, profil sisi ala coupe dan lampu belakang yang melintang.

Seperti EQS, ia juga didatangkan dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, dan kit badan AMG Line namun dengan rim yang lebih kecil bersaiz 19 inci.

Di dalam, terdapat sistem infohibur MBUX generasi terkini yang menampilkan skrin OLED condong dengan Apple CarPlay/Android Auto dan kluster instrumen digital, namun tidak mendapat papan pemuka digital Hyperscreen seperti EQS.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah upholsteri Artico, balutan kulit nappa pada stereng, tempat duduk sport, sistem audio Burmester, sistem pencahayaan ambien aktif, Keyless Go dan pendingin hawa automatik Thermotronic.

Didatangkan dengan bateri berkapasiti 90.56 kWj, EQE 350+ menawarkan jarak gerak sejauh 669 km berdasarkan kitaran WLTP. Bateri tersebut boleh dicas dari 10 hingga 100% dalam 8 jam 15 minit dengan menggunakan pengecas AC 11 kW.

Sementara itu, pengecasan pantas DC dengan kapasiti 170 kW membolehkan bateri tersebut memulihkan casnya dari 20 hingga 80% dalam hanya 32 minit.

Dari segi prestasi, motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 292 hp dan 565 Nm membolehkan EV mewah ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 210 km/j.

Sistem bantuan pemandu pula terdiri daripada pakej Driving Assistance Plus yang merangkumi Active Distance Distronic, Active Stop and Go Assist, Active Steering Assist dan Active Lane Keeping Assist. Kamera parkir 360 darjah dan Active Parking Assist turut disertakan.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) Mercedes-EQE 350+ bermula dari RM419,888 termasuk cukai jualan dan perkhidmatan 10%.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *