fbpx

Perodua Kelisa ini dipandu ke 20 negara, kos melebihi 10 buah kereta sama!

kembara dunia perodua kelisa 16 wm

SEBUAH Kelisa dengan kebolehan Perodua Kembara. Itulah yang kami terfikir bila melihat gambar-gambar oleh Aimpro Samudra yang memandu Perodua Kelisa miliknya ke 20 negara seluruh dunia.

Samudra yang merupakan anak kelahiran Tampin melakukan pengembaraan itu berdua bersama anak lelakinya dengan Perodua Kelisa yang diberi nama timangan “Wheely”.

Menurut Samudra yang berkongsi kepada Waupost, Kelisa itu dibeli pada 2004. Hanya sedikit persediaan dilakukan pada kereta itu sebelum memulakan kembara mereka.

“Dimana kami berhenti, di situlah kami berkhemah untuk bermalam,” katanya.

Walaubagaimanapun, ada beberapa tempat dengan cuaca ekstrem menghalang mereka untuk memasang khemah, jadi Samudra dan anaknya akan tidur di dalam kereta sahaja.

Perjalanan Samudra bermula pada 4 November 2019 dimana mereka telah mula memandu dari Malaysia ke Thailand, seterusnya ke Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, dan Hungary. Perjalanan seterusnya membawa mereka ke Croatia, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Itali, Switzerland, dan Greece.

Mereka telah diarahkan untuk meninggalkan mereka di Turki dan kembali ke Malaysia semasa kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

Mereka menyambung perjalanan pada 15 September lepas, terbang ke Turki untuk membawa pulang Wheely yang mempunyai masalah kotak gear. Hasil bantuan kenalan dari Turki dan mekanik dari Melaysia dan panggilan video, Kelisa itu dapat dipandu semula.

Dalam perjalanan pulang, Samudra dan anaknya sempat memandu di Karakoram Highway, iaitu jalan raya tertinggi di dunia berdekatan sempadan China.

Tetapi perjalanan terpaksa ditangguhkan kerana jalan raya berada dalam keadaan tidak berapa baik disamping salji.

Samudra sempat pulang ke Malaysia kira-kira sehari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 19 November lepas.

Menurut Samudra, beliau gembira dapat melakukan sesuatu yang berbeza dalam kehidupan sambil meluangkan masa dengan anak sulungnya.

“Sebagai seorang manusia, kita mempunyai komitmen jadi kita akan melakukan perkara sama setiap hari.

“Jadi untuk memenuhi impian, kita perlu sedikit ‘gila’ untuk mempunyai kebebasan hidup,” tambahnya.

Samudra juga berkongsi di tulisan Facebook miliknya berkenaan belanja yang dihabiskan untuk kembara itu.

“Bab harga kos keseluruhan cukuplah kalau saya nyatakan boleh beli lebih dari 10 buah kereta yang sama. Tetapi kepuasan dan kenikmatan yang saya dan anaknda perolehi tidak ternilai harganya,” terangnya.

“Tiada apa yang perlu dibanggakan, ini semua dengan keizinan dari-Nya dan berkat doa semua,” kata Samudra.

Anda boleh ikuti perjalanan dan perkembangan lanjutan kembara ini di Facebook Aimpro Samudra. Walaupun mereka telah pulang ke Malaysia, beliau dikatakan akan terus menulis mengenai pengalaman yang mereka perolehi.

Syabas! Semoga lebih ramai rakyat Malaysia mendapat inspirasi dari pengembaraan ini.

Sumber gambar: Facebook Aimpro Samudra

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved