fbpx

Isuzu perkenal imej baharu untuk bilik pameran 3S – Autoexec Corporation Kepong jadi cawangan pertama

isuzu new 3s 01

ISUZU Malaysia hari ini memperkenalkan imej korporat (CI) baharu untuk pasaran negara ini dan cawangan pertama yang menerima pembaharuan ini adalah Autoexec Corporation 3S Centre di Kepong, Kuala Lumpur.

Dengan imej yang lebih menonjol serta ceria melalui adanya menara logo tersendiri, rekaan cawangan baru ini menawarkan sebuah suasana yang lebih unik untuk apa saja keperluan berkaitan Isuzu kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Rekaan baru ini disasarkan untuk menyerlahkan lagi kehadiran Isuzu dengan menawarkan sebuah suasana dan persekitaran yang lebih hangat kepada semua pelanggan dan pengunjung.”

“Elemen rekaan moden dan kemudahan yang dipertingkatkan dihadirkan bagi memastikan pelanggan bukan sekadar membeli barisan produk yang bagus, tetapi turut menerima layanan jualan dan lepas jualan yang cemerlang di bawah satu bumbung,” ujar Okazoe.

Pusat 3S terbaru Autoexec Corporation terletak di atas kawasan dengan keluasan 1,400 meter persegi di Jalan Jinjang Permai di pinggir Kuala Lumpur dan menawarkan barisan lengkap produk serta servis Isuzu, dari trak pikap Isuzu D-Max hinggalah kepada lori tugasan ringan (light duty), medium duty, heavy duty, dan juga trak besar (prime mover).

Bilik pamerannya menampilkan ruang berpendingin di mana trak pikap dipamerkan serta lori juga ditunjukkan di bawah kawasan berbumbung.

Cawangan ini juga menempatkan ruang servis luas yang boleh menampung sehingga empat kenderaan tugasan ringan serta dua trak tugasan medium dalam satu masa.

Pelanggan yang membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan lepas jualan boleh menikmati hidangan ringan yang disediakan di ruang menunggu yang sangat selesa sementara juruteknik terlatih melayani keperluan kenderaan Isuzu mereka.

Cawangan Isuzu selepas ini akan dibezakan dengan penggunaan logo Isuzu baru yang ditampilkan di depan bangunan serta di menara logo khas di gerbang masuk ke premis.

Di dalam, cawangan baru ini juga hadir dengan penampilan lebih berkarismatik dengan ciri khusus sebagai panduan mudah untuk pengunjung mengetahui keseluruhan tataletak di premis berkenaan.

Antara ciri khas yang dimaksudkan adalah ruang menyambut tetamu, pencahayaan suasana yang nyaman, sudut cenderahati Isuzu, ruang penyerahan untuk pelanggan, dan ruang pameran luas dan moden.

Isuzu Malaysia mensasarkan untuk mentranformasi tiga lagi pusat 3S seluruh negara menjelang akhir tahun ini, dan 26 lagi cawangan pada 2023.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved