fbpx

Ni Hsin EV Tech dapat kelulusan pasang motosikal elektrik EBIXON di Malaysia

TAILG skuter EV 01

Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad, mengumumkan bahawa mereka telah mendapat Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

VTA berkenaan adalah untuk dua model motosikal elektrik EBIXON dalam kategori persendirian dan komersial iaitu TAILG Bold dan TAILG Torq.

NH EV Tech pada 23 Mac 2022 memeterai Perjanjian OEM dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd. (TAILG) untuk pemasangan motosikal elektrik di Malaysia. Syarikat itu juga telah mendapat lesen pengilangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Di bawah perjanjian tersebut, TAILG akan membekalkan komponen, alat ganti dan perisian manakala NH EV Tech akan memasang dan menguji serta menjalankan kawalan kualiti dan pentauliahan motosikal elektrik berkenaan.

Diasaskan di China pada 2004, TAILG mengkhususkan dalam bidang R&D, pembuatan, jualan dan servis kenderaan elektrik tenaga baharu. Barisan produknya terdiri daripada motosikal elektrik, skuter elektrik, basikal khas elektrik, basikal roda tiga elektrik dan pelbagai lagi.

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong berkata pihaknya akan memulakan pemasangan tempatan (CKD) motosikal elektrik EBIXON di kilang di Sri Kembangan, Selangor bermula November ini.

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong

“Model motosikal elektrik EBIXON kami menampilkan sistem bateri berkembar yang boleh ditukar yang menawarkan jarak sehingga 200 km. Bateri boleh dipasang ke soket rumah untuk dicas atau ditukar di stesen-stesen bateri yang ditetapkan. Kuasa bateri juga boleh diisi semula di stesen pengecasan awam,” tambah beliau.

NH EV Tech mensasarkan untuk menjual 50,000 unit motosikal elektrik EBIXON di Malaysia dan rantau ASEAN dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved