fbpx

10 SUV Jerman yang paling cool – Sembang Engear

10 suv jerman paling cool featured image

Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi yang SUV kini mendominasi pasaran automotif di peringkat global. Jika anda perhatikan, kebanyakan pengeluar yang memainkan peranan dalam mengangkat populariti kenderaan jenis ini datangnya dari Jerman seperti Audi, BMW, Mercedes-Benz, Porsche dan Volkswagen.

Ini kerana jenama-jenama ini menawarkan pelbagai jenis SUV, dari sporty dan mewah hinggalah yang memfokuskan kepada prestasi off-road. Pendek kata, apa sahaja yang anda boleh fikirkan, semuanya mereka ada.

Dari beratus-ratus model SUV yang pernah dihasilkan oleh pengeluar-pengeluar dari Jerman, berikut adalah 10 yang boleh dianggap paling ‘cool’:

Audi Q7 V12 TDI

Model ini diperkenalkan pada 2008 ketika Volkswagen Group masih belum dibelenggu skandal ‘dieselgate’. Enjin berkapasiti 6.0 liter dengan 12 silinder yang disusun dalam bentuk V dan pengecas turbo berkembar itu menjana 500 hp dan 1,000 Nm, membolehkan Q7 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Volkswagen Touareg R50

Touareg generasi pertama dibangunkan bersama-sama dengan Porsche Cayenne dan Audi Q7, oleh itu tidak hairanlah jika ia mempunyai varian berprestasi tinggi. Untuk petrol, ia boleh didapati dengan enjin W12 manakala untuk diesel pula, VW menawarkan varian R50 yang dikuasakan oleh enjin 5.0-liter V10 TDI dengan 313 PS dan 750 Nm, jumlah yang cukup tinggi pada ketika itu.

Mercedes-AMG GLC 63 S

Mercedes-Benz tidak berdiam diri apabila pesaing-pesaingnya mula membangunkan SUV berprestasi tinggi yang mampu membuat catatan rekod di Nurburgring dengan mudah. Dibangunkan oleh AMG dan tersedia dalam bentuk biasa atau coupe, GLC 63 S menawarkan gabungan prestasi setanding kereta sport sebenar dan praktikaliti tipikal sebuah SUV.

BMW X5 M

Mana-mana kenderaan BMW yang menggunakan designasi M pada hujung namanya amat digeruni atas sebab-sebab yang tidak perlu diperkatakan lagi. X5 M tidak terkecuali kerana dengan enjin biturbo V8 yang mampu menghasilkan 600 PS dan 750 Nm, ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j. Ini setanding dengan supercar seperti Aston Martin DB11 dan Mercedes-Benz SLR McLaren.

Mercedes-Benz G-Class

Juga dikenali sebagai The Godfather of SUVs, G-Class atau G-Wagon mengangkat nama Mercedes-Benz dalam segmen itu terima kasih kepada ketahanan yang ditunjukkan oleh model asal (W460) yang diperkenalkan pada 1979. Hari ini, G-Wagon lebih dikenali sebagai ikon kemewahan namun prestasi off-road jentera ini masih dikekalkan, malah teknologi yang ada padanya kini lebih hebat dan canggih.

Porsche Macan

Adil jika dikatakan bahawa Macan menjadikan segmen crossover yang agak tepu ketika itu lebih ‘cool’. Gabungan elemen mewah dan prestasi yang diketengahkan ternyata berjaya menarik perhatian pembeli, sama ada dari kumpulan yang baharu kepada jenama Porsche mahu pun pelanggan sedia ada. Buktinya, ia muncul sebagai model Porsche paling laris pada 2021 dengan 88,362 unit berjaya dijual.

BMW iX3

Trend kenderaan elektrik telah menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak beberapa tahun yang lalu dan seperti yang dijangka, segmen SUV tidak terkecuali. Diperkenalkan pada 2020, BMW iX3 merupakan SUV elektrik pertama yang dihasilkan oleh BMW. Penggunaan motor elektrik eDrive dan pek bateri lithium-ion 400V membolehkan ia dipandu sejauh 460 km dengan satu cas penuh.

Audi SQ5

Tidak lama dahulu, mana-mana kereta sport yang boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam lingkungan lima saat sudah dianggap cukup ‘power’. Kini, prestasi seumpama itu mampu dicapai dengan sebuah SUV seperti Audi SQ5. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana crossover itu mempunyai 354 PS dan 500 Nm.

Porsche Cayenne Turbo S

Cayenne merupakan ‘pioneer’ dalam segmen SUV berprestasi tinggi. Model generasi pertama yang dilancarkan ke pasaran hampir 20 tahun lalu mendapat reaksi yang bercampur aduk namun hari ini, ia menjadi antara model yang paling popular dalam segmennya. Malah, ia juga mempunyai potensi untuk ditransformasikan menjadi jentera off-road dengan beberapa modifikasi ringkas.

Audi e-tron

e-tron diperkenalkan di Paris Motor Show 2018 sebagai kenderaan elektrik bateri versi produksi pertama keluaran Audi. Di samping kualiti pemanduan dan pengendalian ‘trademark’ jenama itu, model ini juga tampil dengan pelbagai teknologi inovatif seperti cermin sisi virtual yang menggunakan kamera. Bukan itu sahaja, ia juga dihasilkan di kilang pengeluaran neutral CO2 di Brussels.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved