fbpx

Lexus RX300 F Sport hilang dari pusat servis dilarikan lelaki tak dikenali

Lexus RX300 F Sport

KERETA dicuri di kawasan awam itu biasa, namun di pusat servis? Itu memang pelik. Namun itulah yang berlaku kepada Tay Han Sin apabila Lexus RX300 F Sport miliknya hilang selepas menjalani penyelenggaraan di sebuah pusat servis di Ayer Keroh, Melaka.

Menurut mangsa, kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu ketika dia menghantar SUV mewahnya untuk penyelenggaraan kali kedua di premis sama.

Beberapa jam kemudian dia dimaklumkan kenderaannya dibawa keluar oleh seseorang selepas selesai menjalani penyelenggaraan.

“Saya terkejut apabila pusat servis memaklumkan saya sudah mengambil kereta sedangkan saya baru hendak berbuat demikian. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil kunci berkenaan.

“Susulan kejadian itu, aduan di peringkat dalaman dan laporan polis telah dibuat. Bagaimanapun, saya terkilan dengan layanan pusat servis berkenaan yang tidak banyak membantu untuk menyelesaikan masalah ini.

Dennis Lee Han Lim (dua dari kanan) dan Tay Han Sin (dua dari kiri) ketika pertemuan dengan wakil sebuah pusat servis kenderaan di Ayer Keroh, Melaka. Gambar: Utusan Malaysia

“Saya hanya sempat menggunakan kereta tersebut selama enam bulan. Saya tetap perlu membayar ansuran kereta lebih RM2,000 sebulan meskipun kenderaan itu gagal dikesan sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan pusat servis berkenaan pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Pengaduan Awam MCA Melaka, Dennis Lee Han Lim berkata, setelah hampir sebulan menunggu, masih tiada jawapan kukuh berhubung kejadian diberikan pusat servis terlibat.

Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan dalaman membabitkan pelbagai pihak termasuk polis.

“Saya dimaklumkan proses untuk menyelesaikan isu ini akan mengambil sedikit masa. Pihak syarikat dan insurans sudah mengetahui perkara ini dan akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima termasuk siasatan pihak polis.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk meningkatkan ciri keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang melibatkan harta milik pelanggan. Kes kecurian membabitkan pusat servis kereta mungkin taktik baharu dan orang ramai diminta lebih berhati-hati,” katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved