fbpx

Harga rasmi Mercedes-Benz EQB 350 dan EQC 400 diumumkan

EQ Media Launch-1

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan harga rasmi bagi dua model elektrik di bawah payung Mercedes-EQ iaitu EQB 350 4Matic dan EQC 400. Kedua-dua model ini diperkenalkan buat pertama kali bersama dengan EQS 450+ pada 22 Julai lalu.

EQB 350 4Matic dijual pada harga bermula dari RM328,888 manakala EQC 400 pula berharga RM388,888. Harga-harga yang disebutkan adalah harga atas jalan (on-the-road) tidak termasuk insurans.

Merupakan EV mewah pertama di Malaysia yang menawarkan tujuh tempat duduk, EQB 350 4Matic tampil dengan kemasan luaran  Electric Art, rim aloi berukuran 19 inci, rel bumbung aluminium dan lampu depan LED High Performance.

Bahagian dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Artico dan fabrik Cupertino dalam warna dwi tona Rose Gold dan Titanium Grey Pearl, serta balutan kulit nappa pada stereng. Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access, pendingin hawa Thermotronic dan Easy-Pack Tailgate.

Untuk trenkuasa pula, model ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 423 km dengan satu cas penuh. Pengecasan dari 10% hingga 80% kuasa bateri mengambil masa kira-kira 6 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW atau 32 minit dengan pengecas pantas DC berkapasiti 100 kW.

Sementara EQC 400 pula tampil agresif dengan kit badan AMG Line, rim AMG multi-spoke berukuran 20 inci dan pemijak sisi aluminium. Turut disertakan secara standard adalah lampu depan Multibeam LED dan pengelap cermin automatik dengan sensor hujan.

Ruang dalaman mengekalkan tema sporty AMG menerusi paddle shifter Direct Select, stereng sport multifungsi, karpet AMG dan upholsteri kulit nappa berwarna hitam pada papan pemuka. Bagi menambah lagi keselesaan, ia juga mendapat cermin akustik, pelarasan elektrik dan fungsi memori pada tempat duduk depan serta sokongan lumbar empat hala.

EQC 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 80.0 kWh yang dikatakan cukup untuk memberikan jarak pemanduan antara 373 km hingga 437 km. Dari segi prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved