fbpx

Sejarah kenderaan perisai di Malaysia – Bahagian 1/2

tss10

SEJARAH penggunaan kenderaan perisai di Malaysia bermula apabila kenderaan perisai dibawa masuk oleh pihak British sebelum Perang Dunia Kedua.

Beberapa tahun selepas Perang Dunia Kedua tamat, pengganas komunis memulakan kempen keganasan dan Darurat Pertama diisytiharkan pada 1948.

Panhard AML 90

Pada tahun 1952, 1st Battalion, Federation Regiment ditubuhkan. Pelan asal untuk menubuhkan batalion kedua dan ketiga tidak dapat dilaksanakan kerana pihak British mengalami masalah untuk menarik minat bangsa selain Melayu untuk menyertai pasukan tentera.

Federation Regiment ialah unit pelbagai bangsa tidak seperti Rejimen Askar Melayu Diraja yang dikhususkan untuk bangsa Melayu. Turut ditubuhkan pada 1952 ialah Federation Armoured Car Regiment.

Malaysia mengisytiharkan kemerdekaannya pada tahun 1957 dan Darurat Pertama diisytiharkan tamat tidak lama kemudian pada tahun 1960.

Ferret Scout Car

Pada tahun 1960, Federation Regiment dan Federation Armoured Car Regiment digabungkan untuk membentuk Federation Reconnaissance Corps. Dua rejimen iaitu 1 Recce dan 2 Recce ditubuhkan, dilengkapi dengan kenderaan Daimler Ferret Scout Car.

Malaysia memperolehi 92 unit kenderaan Ferret dari tahun 1961 sehingga tahun 1967.

Malaysia mula aktif dalam misi di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila menyertai misi ke Congo pada tahun 1960 sehingga tahun 1963. Antara unit yang diaturgerakkan ialah 1 Recce dan 2 Recce.

Pada tahun 1963, Sarawak, Sabah (Borneo Utara) dan Singapura menyertai Malaysia. Ini ditentang oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia memulakan kempen Konfrontasi. Federation Reconnaissance Corps menjadi Malaysian Reconnaissance Corps pada tahun 1963. 3 Recce dibentuk dengan menggabungkan Independent Reconnaissance Squadron dari Singapura dengan D Squadron, 1 Recce dan D Squadron, 2 Recce.

Namun jodoh tidak lama, Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

Tidak lama kemudian, ancaman komunis meningkat semula dan Darurat Kedua diisytiharkan pada 1968.

Panhard AML 60

Pada tahun 1971, Malaysia memperolehi sekitar 140 unit kenderaan AML-60 dan AML-90, 44 unit kenderaan M-3 VTT dan 100 unit kenderaan Commando V-100 untuk 1 Recce dan 2 Recce untuk menghadapi ancaman komunis dan konflik di Indochina.

Commando V-100

Pada tahun 1972, 1 Recce dan 2 Recce dikurniakan gelaran Diraja di atas kecemerlangan mereka dalam operasi di Congo sebagai sebahagian daripada Malayan Special Force yang diaturgerakkan ke sana.

Commando V-150
AT-105 Saxon

Pada tahun 1977, Malaysia melakukan penambahan aset armor mereka dengan perolehan sekitar 138 unit kenderaan Commando V-150 dan 44 unit kenderaan AT-105 Saxon untuk Skuadron Perisai Pertama, Ke-3, Ke-5, Ke-7, Ke-9 dan Ke-13, Pasukan Polis Hutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada tahun 1979, Royal Reconnaissance Corps menjadi Royal Cavalry Corps.

RPZ Condor

Pada tahun 1981, Malaysia sekali lagi melaksanakan program penambahan aset armor dengan pemerolehan 459 unit RPZ Condor dan 24 + 162 unit SIBMAS di bawah program PERISTA.

SIBMAS 6×6

Beberapa tahun kemudian perolehan aset tambahan dilakukan dalam bentuk 26 unit kenderaan Scorpion-90 dan 25 unit kenderaan Stormer pada tahun 1982 untuk melengkapi Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja. Turut diperolehi ialah 20 unit kenderaan Shorland untuk Skuadron Perisai, Pasukan Polis Hutan, PDRM.

Scorpion 90

Pada tahun 1986, Royal Cavalry Corps menjadi Royal Armoured Corps (Kor Armor Diraja), yang kekal sehingga kini (2021).

Pada tahun 1987, Malaysia mengorak satu lagi langkah ke hadapan untuk membangunkan keupayaan peperangan konvensional dengan menukarkan batalion ke-19, Rejimen Askar Melayu (19 RAMD) menjadi batalion infantri mekanis dilengkapi dengan kenderaan RPZ Condor. 19 RAMD mencapai status operasi pada tahun 1988.

Setelah 21 tahun, akhirnya Darurat Kedua diisytiharkan tamat pada tahun 1989 dengan persetujuan perletakkan senjata oleh pihak komunis.

Alvis Stormer

Pada tahun 1991, batalion ke-7, Rejimen Renjer Diraja (7 RRD) pula ditukarkan dari batalion infantri kepada batalion infantri mekanis dengan kenderaan RPZ Condor.

Sesuai dengan perkembangan semasa dan pembangunan keupayaan peperangan konvensional, Skuadron Armor Para ditubuhkan pada tahun 1992 untuk menyokong operasi Pasukan Aturgerak Cepat (PAC). Skuadron B, 11 KAD ditukarkan menjadi Skuadron Armor Para, dan skuadron ini dilengkapi dengan kenderaan Alvis Stormer dan Alvis FV101 Scorpion.

Malaysia terus aktif dalam misi-misi di bawah panji PBB. Pada tahun 1993, 19 RAMD diaturgerakkan ke Somalia untuk berkhidmat sebagai Quick Reaction Force.

19 RAMD terlibat dalam insiden Black Hawk Down untuk menyelamatkan tentera Amerika Syarikat termasuk dari unit 75th Ranger Regiment dan Delta Force. Seorang anggota 19 RAMD gugur dalam pertempuran tersebut dan beberapa buah RPZ Condor rosak dan terpaksa dimusnahkan.

Baik, sampai di sini dahulu untuk bahagian pertama, kami tak mahu artikel ini menjadi terlalu panjang. Kita bersambung pula ke bahagian dua di sini.

 

Artikel oleh: MHI (contributor)

Sumber gambar: Macva.org.my, Barang Baru Barang Lama, Weaponsystems.net, Turbo Squid, Negeri Sembilan kini, Asian Military Review, New Straits Times, Kementerian Pertahanan Malaysia, Tanks. Being tanks., Modern Tanks and Military Vehicles, Military-Today.com, Defense Studies, Malaysian Defence, STREIT Group, Army Recognition.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved