fbpx

Sejarah kenderaan perisai di Malaysia – Bahagian 2/2

pt-91m pendekar
PT-91M Pendekar

INI merupakan bahagian kedua untuk sejarah yang agak panjang. Jika anda belum baca bahagian pertama, boleh baca di sini.

AV8 Gempita MIFV

Selain di Somalia, Malaysia juga terlibat dalam misi PBB di Bosnia. Pada tahun 1993, Rejimen ke-3 Kor Armor Diraja (3 KAD) diaturgerakkan ke Bosnia. Sekitar 42 unit kenderaan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) diperolehi pada tahun 1993 untuk misi di Bosnia.

Pada tahun 1994, 7 RRD diaturgerakkan ke Somalia menggantikan 19 RAMD, dan Rejimen ke-2 Kor Armor Diraja (2 KAD) diaturgerakkan ke Bosnia menggantikan 3 KAD. Sekitar 22 unit lagi kenderaan MIFV diperolehi untuk misi Bosnia pada tahun 1994.

Pada tahun 1995, 2 KAD digantikan dengan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) untuk operasi PBB di Bosnia, dan pada tahun 1996, 1 KAD digantikan dengan Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) untuk operasi PBB di Bosnia. Sekitar 47 unit lagi kenderaan MIFV diperolehi untuk misi Bosnia pada tahun 1995 menjadikan jumlah keseluruhan 111 unit MIFV dalam pegangan.

ACV-300 Adnan

Pada tahun 1997, 4 KAD digantikan semula dengan 2 KAD untuk operasi PBB di Bosnia. Pada tahun yang sama, giliran batalion ke-12, Rejimen Askar Melayu Diraja (12 RAMD) pula ditukar dari batalion infantri menjadi batalion infantri mekanis. 12 RAMD dilengkapi dengan kenderaan MIFV.

Kenderaan MIFV yang diperolehi pada tahun 1993 sehingga 1995 mula menjalani proses modenisasi dan naiktaraf pada tahun 2000 (5 unit) dan 2004 (32 unit).

ACV-300 Adnan

Pada tahun 2000, kebanyakan aset armor yang diperolehi pada tahun 1970an dan 1980an telah berusia sekitar 20 tahun ke atas dan dinilai tidak lagi sesuai untuk operasi peperangan konvensional semasa. Oleh itu, program perolehan 44 + 167 unit kenderaan ACV-300 Adnan telah dilancarkan pada tahun tersebut.

RPZ Condor

Insiden Sauk pada tahun 2000 menyaksikan kenderaan RPZ Condor diaturgerakkan untuk menyokong operasi pasukan khusus Tentera Darat Malaysia dari 11 Rejimen Gerak Khas (11 RGK).

Pada tahun 2003, 12 RAMD Mek menerima kenderaan ACV-300 Adnan untuk menggantikan kenderaan MIFV dalam pegangannya.

PT-91M Pendekar

Pada tahun 2003 juga Malaysia sekali lagi melaksanakan program perolehan berimpak tinggi dengan perolehan 48 unit kereta kebal PT-91M dari Poland beserta 3 unit kenderaan MID-M, 5 unit kenderaan PMC-90 dan 6 unit kenderaan WZT-4. 11 KAD menjadi unit pertama negara yang mengoperasikan kereta kebal.

WZT-4

Pada tahun 2008 Malaysia telah menambah Adnan dalam pegangan dengan penambahan 8 + 28 + 20 unit termasuk varian pembawa mortar.

S-5 Barracuda

Pada tahun 2006 Malaysia telah dijemput untuk menyertai misi mengamankan negara sahabat yang bergolak iaitu negara Timor Leste. Selepas negara tersebut berjaya diamankan dengan kehadiran tentera jemputan, anggota dari PDRM turut dihantar ke sana. Antara perolehan yang dilaksanakan untuk menyokong operasi PDRM di sana ialah perolehan 20 unit kenderaan S-5 Barracuda.

Pada tahun 2011 sekali lagi Malaysia melaksanakan program pembaharuan aset armor secara besar-besaran dengan program pemerolehan 89 + 46 + 122 unit kenderaan AV8 Gempita. Selain untuk unit-unit di bawah Kor Armor Diraja dan batalion infantri mekanis, AV8 Gempita turut digunakan oleh Skuadron ke-12, Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD).

Streit Typhoon

Insiden pencerobohan Royal Sulu Force di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 telah membawa kepada penubuhan beberapa unit baru dan penambahan aset armor. Misalnya Unit Tindakhas (UTK), Pasukan Gerakan Khas, PDRM telah memperolehi 6 unit kenderaan Streit Typhoon pada tahun 2013.

Deftech AV4 Lipanbara

Juga baru ditubuhkan selepas insiden Lahad Datu ialah Skuadron Armor ESSCOM yang dilengkapi dengan kenderaan Deftech AV4 Lipanbara 4×4 (berasaskan kenderaan Chaiseri First Win 4×4). 20 unit kenderaan ini diperolehi pada tahun 2015. Skuadron Armor ESSCOM kini telah dinaiktaraf menjadi Rejimen ke-5 Kor Armor Diraja (5 KAD).

Pada tahun 2015, batalion ke-14, Rejimen Askar Melayu Diraja telah diisytiharkan berstatus operasional selepas ditukarkan menjadi batalion infantri mekanis, menjadikan ia batalion infantri mekanis keempat di bawah 4 Briged Mekanis (4 Bgd Mek), 3 Divisyen. Batalion ini dilengkapi dengan kenderaan MIFV.

IAG Jaws

Juga pada tahun 2015, PDRM telah memperolehi 8 unit IAG Jaws untuk Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Gerakan Khas.

Skuadron Perisai ESSCOM, Pasukan Gerakan Am, Briged Sabah juga ditubuhkan ekoran insiden Lahad Datu 2013. Skuadron ini telah dirasmikan sebagai Skuadron Perisai Ke-15 pada tahun 2020 dan dilengkapi dengan kenderaan Shorland, S-5 Barracuda dan IAG Jaws.

Untuk menyokong operasi RPZ Condor dan SIBMAS yang beroperasi di bawah misi PBB di bumi Lubnan, 9 unit kenderaan Guardian telah diperolehi pada tahun 2017.

Alvis Stormer

Di ambang tahun 2022, antara kenderaan armor tertua dalam perkhidmatan kini ialah kenderaan Commando V-150, AT-105 Saxon dan Shorland dalam perkhidmatan PDRM, serta kenderaan RPZ Condor, SIBMAS, Stormer dan Scorpion dalam perkhidmatan Tentera Darat Malaysia.

 

Artikel oleh: MHI (contributor)

Sumber gambar: Macva.org.my, Barang Baru Barang Lama, Weaponsystems.net, Turbo Squid, Negeri Sembilan kini, Asian Military Review, New Straits Times, Kementerian Pertahanan Malaysia, Tanks. Being tanks., Modern Tanks and Military Vehicles, Military-Today.com, Defense Studies, Malaysian Defence, STREIT Group, Army Recognition.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved