Nissan Rawang kini bertaraf pusat 3S – sedia perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan pembukaan pusat 3S Nissan yang dinaik taraf di Rawang, Selangor.

Menurut ETCM, outlet tersebut pada asalnya merupakan pusat jualan sahaja namun kini ia telah diperluaskan bagi memenuhi keperluan pelanggan Nissan yang tinggal di Rawang dan kawasan sekitar.

Selain dinaik taraf menjadi pusat 3S, outlet tersebut juga menerapkan Identiti Korporat Nissan yang menampilkan logo baharu jenama itu, selaras dengan Konsep Peruncitan Nissan global (NRC-NEXT).

Di bilik pameran, pelanggan boleh melihat dengan lebih dekat semua model semasa Nissan termasuk model MPV Serena S-Hybrid baharu yang dilancarkan baru-baru ini.

Selain itu, terdapat juga kemudahan-kemudahan lain untuk keselesaan pelanggan termasuk ruang rehat dan bilik perbincangan peribadi. Sebagai pusat 3S, Nissan Rawang juga mempunyai pusat servis yang dilengkapi dengan dua ruang servis dan peralatan terkini.

Beralamat di No7-G, 9-G & 7-1, Jalan Bandar Baru Rawang 16, Pusat Bandar Baru Rawang, pusat ini beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 7 petang setiap Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang setiap Sabtu dan 10 pagi hingga 5 petang setiap Ahad.

Waktu operasi pusat servis pula adalah dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang setiap Isnin hingga Sabtu. Ia ditutup setiap hari Ahad dan pada cuti umum.

Dalam pada itu, ETCM turut mengumumkan pembukaan tiga pusat pengedaran baharu di Taiping, Perak, Kluang, Johor, serta Sibu, Sarawak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *