Pengenalan Lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) antara inisiatif baik daripada PLUS untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. - Foto ihsan PLUS

Teruk kena kecam, Plus buat ‘pusingan U’ buka semula lorong SmartTAG

PLUS Malaysia Berhad (Plus) membuat ‘pusingan U’ dengan mengaktifkan semula lorong SmartTAG yang ditutup di beberapa plaza tol sebelum ini.

Langkah dibuat ada kaitan dengan rungutan orang ramai berhubung isu penggunaan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Memetik kenyataan Plus, pihaknya mengambil maklum akan kesulitan pengguna lebuh raya apabila lorong SmartTAG ditutup di beberapa plaza tol.

Foto ihsan Malay Mail

“Plus komited mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari depan untuk kelancaran trafik sempena Tahun Baharu Cina.

“(Bagaimanapun) pada 19 Februari depan, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, Plus memaklumkan proses mengaktifkan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol akan dilakukan sebelum Selasa depan.

Sebelum ini, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati apabila lorong SmartTAG ditutup sekaligus menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa.

Isu tersebut tersebut turut mendapat perhatian kerajaan yang menggesa masalah berbangkit diselesaikan dengan kadar segera.

RFID: Plus sedia bantu pengguna

Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, Plus turut menempatkan petugasnya di semua 158 lorong RFID di 74 plaza tol kendaliannya.

Langkah itu diambil bagi membantu pengguna yang berdepan masalah menggunakan peranti RFID tersebut.

Antara inisiatif lain diambil Plus termasuk meningkatkan kadar pengesanan tag RFID dan proses penukaran percuma jika berlaku kerosakan.

“Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza tol. Ia demi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas.

“Selain itu, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik,” tambah Plus.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *