fbpx

Selamba! Brabus G700 6×6 berharga RM3.2 juta digunakan untuk misi bantuan banjir

brabus g700 6×6 banjir

HUJUNG minggu lepas telah berlakunya banjir di beberapa kawasan seperti Kuantan dan Temerloh kerana hujan berterusan selama beberapa hari.

Lebih menyulitkan, banjir juga berlaku di kawasan-kawasan di yang tidak dijangka seperti di Shah Alam, Hulu Langat dan Bentong.

Pelbagai agensi kerajaan bertungkus-lumus melakukan kerja-kerja penyelamatan serta agihan bantuan. Dan dengan semangat muhibbah rakyat Malaysia, terdapati juga individu dan badan-badan NGO yang ‘turun padang’ memberi bantuan.

Antaranya adalah Datuk Seri Sunny (DS Sunny) dan menariknya, beliau menggunakan sesuatu yang luar biasa untuk bantuan menyelamat iaitu sebuah Brabus G700 6×6!

Trak pikap dan kenderaan SUV pacuan empat-roda (4×4) dengan kelegaan tanah tinggi memang berguna dalam situasi banjir tetapi untuk menggunakan sesuatu yang eksotik seperti supertruck ini sememangnya menarik perhatian ramai.

Perkara ini mula dikongsi oleh Nedim Nazri Aziz di Twitter miliknya sebelum tular di media sosial. Dia berkongsi gambar menunjukkan Brabus G700 6×6 itu diisi dengan barang-barang di ruang kargo belakangnya dengan keadaan paras air hampir separuh tayar.

Oh ya, tayarnya bukan bersaiz 17- atau 20-inci, tetapi 37-inci! Dengan jarak kelegaan tanah 460mm, kenderaan pacuan enam-roda 6×6 ini mampu mengharungi air sedalam 1,000mm!

Untuk pengetahuan, Brabus G700 6×6 ini diasaskan dari Mercedes-AMG G63 6×6 yang merupakan trak pikap gergasi dengan enjin berprestasi tinggi.

Versi AMG G63 dikuasakan oleh enjin V8 twin-turbo 5.5-liter yang menjana 543hp dan 759Nm tork. Tetapi untuk Brabus G700, enjin sama ini telah ditala untuk menghamburkan sehingga 700hp dan 960Nm.

Enjin ini menghantar kuasa ke semua enam roda melalui kotak gear automatik 7-kelajuan AMG Speedshift Plus 7G-Tronic. Oh ya, sistem pacuan 6×6 ini juga menggunakan lima pengunci pembeda atau differential lock!

Dari segi prestasi, enjin berkuasa itu cukup untuk membantu trak gergasi seberat 3.8 tan ini untuk mencapai 100km/j dalam hanya 7.4 saat. Kelajuan maksima? Dihadkan pada 160km/j, tapi siapa mahu pandu trak pikap gergasi eksotik ini laju-laju, bukan?

Satu fakta menarik ialah Mercedes-AMG G63 6×6 asalnya hanya dihasilkan dalam versi pemanduan kiri. Tetapi atas permintaan Naza, terdapat 15 unit G700 6×6 telah dikeluarkan dalam versi pemanduan kanan untuk pasaran Malaysia.

Harga? Ia dijual pada 2015 dengan harga RM3.2 juta sebelum cukai.

Syabas DS Sunny kerana menggunakan G700 6×6 untuk bantuan banjir. Ya lah, masa sebegini lah paling sesuai digunakan trak gergasi dengan pacuan enam-roda, bukan? Selamba!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved