fbpx

BMW iX tiba di Malaysia – SUV elektrik sepenuhnya dengan 322hp, dari RM420k

bmw ix xdrive40 01

BMW Malaysia nampaknya semakin giat ke arah elektrifikasi, buktinya dengan pengenalan barisan model-model elektrik (EV) mereka.

Terbaharu, mereka mengumumkan ketibaan iX ke Malaysia, sebuah EV dengan gaya SUV. Ia hadir dalam dua versi, iaitu xDrive40 dan xDrive40 Sport. Harga adalah seperti berikut:

iX xDrive40: RM419,630
iX xDrive40 Sport: RM472,630

Harga adalah atas jalan tanpa insurans, dengan jaminan dua tahun. Mahu lebih? Anda boleh pilih pakej jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, lengkap dengan pakej penyelenggaraan enam-tahun, 120,000km.

Untuk ini, harga iX xDrive40 menjadi RM435,800 manakala iX xDrive40 Sport dinaikkan kepada RM488,800. Oh ya, jaminan bateri pula cukup panjang; lapan-tahun atau 160,000km.

Sistem elektrik dwi-motor

xDrive40 menggunakan konfigurasi elektrik dwi-motor, satu di depan dan satu di belakang. Ini menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda.

Sistem ini menjana 240kW (322hp) dan 630Nm tork, membolehkan iX memecut ke 100km/j dalam 6.1 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 200km/j.

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion 76.6kWh, cukup untuk jarak pemanduan 425km. Untuk pengecasan pula, anda boleh guna pengecas AC 11kW yang akan mengambil masa tujuh jam 15 minit.

Pengecas laju DC pula menggunakan penyambung CCS2 pada kadar 150kW, membolehkan bateri pada tahap 10% mencapai 80% dalam hanya 31 minit.

Kelengkapan mewah dan canggih

BMW iX dilengkapi dengan lampu depan LED dengan bantuan High Beam, rim aerodinamik 21-inci, fungsi Comfort Access, dan kemasan tingkap berwarna hitam berkilat.

Bahagian kabin pula mendapat paparan instrumen dengan skrin melengkung 12.3-inci Live Cockpit Professional dan skrin sesentuh 14.9-inci di tengah.

Kemasan kulit pada iX adalah dari sintetik Sensatec dengan pilihan warna Mocha atau Black. Ciri lain adalah tempat duduk dengan fungsi memori, pengecas wireless, dan sistem audio HiFi.

Sementara itu, varian lebih tinggi xDrive Sport didatangkan dengan rim 22-inci, lampu BMW Laserlight, kemasan brek Sport Line, lampu lebih gelap, dan grafik krom pada gril.

Kemasan dalam juga lebih premium dengan bumbung panorama kaca Sky Lounge, sistem audio Harman Kardon 18 pembesar suara, dan kemasan kayu pada konsol tengah.

Ciri keselamatan pada BMW iX termasuklah pakej Driving Assist, dan Parking Assistant. Varian Sport ditambah dengan Parking Assistant Plus dan Driving Assistant Professional.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved