fbpx

Pemandu Malaysia berminat cuba EV dengan pilihan fleksibel – kajian

socar malaysia thumb

DUNIA sedang berusaha menggalakkan para pemandu untuk bertukar daripada kereta dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV), namun harganya yang agak tinggi menjadi penghalang utama di Malaysia.

Gambar oleh: Volvo Car Malaysia

Satu kajian yang dijalankan baru-baru ini melaporkan bahawa wujud peluang yang ketara bagi SOCAR untuk memberikan rakyat Malaysia akses kepada EV menerusi pilihan mobiliti fleksibel.

Harga EV adalah 30 hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding kereta biasa, dan pembeli di Malaysia enggan membayar lebih. Kebanyakan mereka mahukan harga yang sama dengan kereta konvensional (23.88 peratus), manakala hanya segelintir yang sanggup membayar harga sehingga 10 hingga 30 peratus lebih tinggi.

Minat terhadap EV

Di dalam kajian yang dijalankan oleh SOCAR Mobility Asia di kalangan 236 responden, hampir 9 daripada 10 responden (89.9 peratus) menyatakan minat untuk memandu EV menerusi SOCAR.

Ini satu petunjuk positif walaupun hanya 19.9 peratus daripada mereka pernah memandu kenderaan elektrik bateri (BEV) sebelum ini. Sementara itu, hampir separuh (49.6 peratus) pernah cuba memandu kenderaan hibrid.

Sebab tidak mahu memandu EV

Majoriti para responden turut menyatakan halangan penggunaan EV yang sememangnya diketahui umum iaitu harga yang tinggi, dan stesen pengecasan yang terhad (72.5 peratus) sebagai sebab utama kenapa mereka tidak memandu atau memiliki sebuah EV.

Namun begitu, minat mereka yang positif terhadap penggunaan EV berdasarkan impak alam sekitar (74.6 peratus) dan penjimatan kos minyak (74.2 peratus) memberikan petanda baik ke arah penggunaan EV jika halangan kos dan infrastruktur dapat ditangani.

“Di SOCAR, kami mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menggalakkan mobiliti yang lebih hijau termasuk komitmen untuk mengembangkan lagi pembiayaan berkaitan kemampanan dalam Belanjawan 2022,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOCAR Mobiliti Asia, Leon Foong.

“Kami juga tidak sabar untuk melihat apakah yang terkandung di dalam Pelan Tindakan Pembiayaan Mampan dan  mendengar lebih lanjut mengenai rangka kerja insentif cukai untuk pengimportan EV di dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.”

Beliau turut mencadangkan kolaborasi bagi mewujudkan kedai sehenti digital Kenderaan Elektrik untuk pemandu Malaysia, bagi mempertingkatkan lagi pengalaman pemilikan dan pemanduan EV dengan menyediakan maklumat berkaitan di hujung jari, daripada bimbingan dalam pengiraan penjimatan hasil penggunaan EV dan tuntutan faedah cukai hinggalah kepada membantu mencari titik pengecasan dan bengkel yang bersesuaian.

Memandangkan sokongan penyelenggaraan juga penting bagi menggalakkan penggunaan EV, SOCAR menyasarkan untuk bekerjasama dengan pusat penyelenggaraan dan servis yang diiktiraf serta berkelayakan yang dapat memenuhi keperluan flit yang digunakan sepenuhnya.

BMW i3. Gambar oleh: BMW

Berdasarkan kajian tersebut, pusat servis ini berkemungkinan besar akan dimulakan dengan kerjasama jenama automotif terkemuka Amerika Syarikat dan Eropah, kerana para responden paling berminat melihat SOCAR menawarkan Tesla Model 3 (72 peratus), BMW i3 Electric (58.9 peratus), Tesla Model Y (57.2 Peratus) dan Volvo XC40 Recharge (56.8 peratus).

Pilihan fleksibel penggunaan EV

Memandangkan ramai rakyat Malaysia masih berusaha untuk berjimat dalam belanjawan mereka hari ini, ini menekankan lagi peranan mobiliti fleksibel dalam memenuhi keperluan orang ramai.

Kajian mendapati seramai 61.8 peratus responden hanya sanggup membelanjakan sehingga RM999 sebulan untuk memiliki sebuah EV.

Jadi, penting untuk menyokong keinginan mereka untuk mendapat akses kepada EV melalui langganan bulanan (53.8 peratus) atau sewaan mengikut jam (49.2 peratus) dan harian (47.9 peratus).

Bagi mereka yang ingin memiliki EV, mobiliti fleksibel turut menyediakan pilihan untuk mengimbangi kos pemilikan dan penyelenggaraan, melalui perkongsian kereta dan akses kepada stesen pengecasan mereka dengan pemandu lain di TREVO bagi meraih pendapatan tambahan.

Penggunaan EV adalah sebahagian daripada masa depan mobiliti dan sememangnya sangat sesuai untuk konsep berteraskan masa depan seperti mobiliti multifleks menjadi faktor utama dalam usaha meluaskan akses kepada EV dan meningkatkan penggunaannya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved