BMW M5 Touring lebih garang dengan M Performance Parts
BMW M5 Touring baharu, yang diperkenalkan kepada dunia pada Ogos lalu, adalah antara kereta terberat dalam pasaran dengan berat keseluruhan sekitar 2,508 kg.
Oleh itu, BMW telah memperkenalkan pilihan aksesori M Performance Parts yang merangkumi pelbagai jenis komponen yang diperbuat daripada gentian karbon dan gentian sintetik aramid.
Tidak pasti berapa banyak berat yang dapat dikurangkan namun kit ini membuatkan M5 Touring kelihatan lebih garang, sepadan dengan prestasinya yang seakan supercar.
Ia bermula dengan bahagian hadapan, di mana M5 Touring mendapat splitter gentian karbon yang membuatkan bampar kelihatan lebih menonjol.
Di belakang pula terdapat diffuser gentian karbon yang terbahagi kepada dua bahagian. Ia boleh dipadankan dengan ekzos M Performance untuk impak visual yang lebih hebat.
Selain itu, kit M Performance Parts juga merangkumi pelekat badan dalam warna Frozen Black, serta tambahan untuk skirt sisi (sill extensions) untuk membuatkan wagon ini nampak lebih lebar.
Untuk penampilan yang lebih agresif, pelanggan juga boleh mendapatkan cermin sisi gentian karbon dan pelindung aerial M Performance.
Turut ditawarkan adalah penutup tangki minyak yang boleh menjadikan “setiap isian minyak seperti hentian pit”, karpet lantai M Performance, pelindung kunci yang diperbuat daripada Alcantara dan kulit, serta beg tayar.
Sudah tentu, aksesori M Performance Parts ini tidak membawakan sebarang peningkatan dari segi prestasi. Namun M5 Touring sebenarnya sudah cukup menggerunkan dengan enjin 4.4-liter biturbo V8 hibrid yang menjana 717 hp dan 1,000 Nm.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.