Nissan X-Trail 2025 terima edisi Rock Creek – tayar all-terrain, HDC, Off-Road View


DENGAN lebih 141,160 unit terjual dalam enam bulan pertama pada 2024, Rogue (X-Trail) menjadi model paling laris Nissan di Amerika Syarikat (AS). SUV ini mendapat edisi Rock Creek sebagai facelift, disasarkan untuk mereka yang mengamalkan gaya hidup aktif.
Diambil dari Pathfinder yang lebih besar, edisi Rock Creek pada Rogue menampilkan penambah baikan kecil untuk anda menakluki jalan off-road seperti rim hitam 17-inci, tayar all-terrain Falken Wild Peak, dan Hill Descent Control untuk pengendalian lebih mudah di permukaan curam.
Terdapat juga Off-Road View yang memberikan paparan supaya anda lebih mudah mengelak halangan semasa mengemudi laluan mencabar. Mod ini boleh diaktifkan sehingga kelajuan 19km/j.
Penambahan lain termasuklah gril dan cermin sisi hitam berkilat, kemasan warna Lava Red, dan rak bumbung tubular. Pilihan warna badan terdiri dari Everest White, Super Black, Boulder Gray, dan warna menarik Baja Storm seperti dalam gambar ini.
Di bahagian dalam, Rogue Rock Creek hadir dengan kemasan kulit kalis air dan beberapa kemasan Lava Red, selain panel piano black di papan pemuka. Tempat duduk dengan fungsi pemanas didatangkan standard, begitu juga soket 12-volt di ruang kargo.
Enjin tidak berubah, iaitu 1.5-liter turbo petrol berkuasa 201hp dan 305Nm tork seperti model standard. Enjin 3-silinder ini menghantar kuasa ke roda depan melalui kotak gear CVT.
Nissan Rogue Rock Creek ini dijual pada harga bermula USD36,810 (RM161,027), tetapi dengan tambahan USD800 (RM3,499), anda boleh mendapatkan Premium Package yang merangkumi stereng dengan pemanas, pad pengecasan tanpa-wayar, pintu but berkuasa lampu kabin LED, dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu dan cermin sisi.
Terdapat juga Technology Package yang berharga USD3,200 (RM13,998) yang memberikan Front Wide View iaitu kamera dengan paparan 176-darjah serta hud lutsinar (seperti Range Rover).

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.