fbpx

Kilang Porsche di Leipzig terima anugerah Factory of the Year

kilang porsche lepizig 04

KILANG pengeluaran Porsche di Leipzig telah menerima anugerah Factory of the Year atau kilang tahunan oleh firma konsultan Kearney, dengan kerjasama Süddeutscher Verlag Veranstaltungen dan majalah Produktion.

Fasiliti pengeluaran jenama kereta sports itu mengalahkan hampir 100 kilang lain seluruh dunia. Panel-panel juri telah melawat kilang Leipzig ini pada musim luruh tahun lepas.

Porsche menggunakan pendekatan Smart Factory untuk kilang yang pintar dan terhubung. Segala proses adalah pintar, kemas, dan hijau.

Sebagai contoh, proses ‘perkahwinan’ kereta di kilang dilakukan dengan cara kompleks tetapi tersusun. Proses ‘perkahwinan’ ialah pemasangan casis dengan badan kereta dicantum bersama.

Di Leipzig, proses ini boleh dibuat meliputi tiga janaan kuasa berbeza – enjin pembakaran, hibrid, atau elektrik – dalam barisan pemasangan yang sama. Kamera digunakan untuk pemantauan selain sistem ukuran automatik untuk memeriksa alur skru.

Di bahagian mengecat pula, jika dahulu ia diperiksa oleh beberapa orang dalam satu pasukan, tetapi kini menggunakan proses Automatic Error Detection (AFE).

Dalam masa cuma 70 saat, dua robot mengimbas keseluruhan permukaan luar kereta menggunakan strip cahaya. Lebih 100,000 foto membolehkan robot ini mengesan walau terdapat kesilapan kecil.

Satu lagi aspek yang menyumbang kemenangan kilang Porsche di Leipzig ialah kelestarian dan komitmen terhadap masyarakat setempat.

Visi Zero Impact Factory mengimbangi ekonomi, biodiversity, dan kualiti udara. Sejak 2017, kilang ini hanya menggunakan sumber elektrik dari bahan boleh diperbaharui. Ianya neutral karbon sejak 2021, dan sebahagian kuasa elektrik dijana oleh kilang sendiri.

Komitmen sosial Porsche pula menyumbang kepada pendidikan, budaya, isu sosial, sukan, dan alam sekitar.

 

Salah satu strategi ialah melindungi beberapa spesies haiwan di kawasan sekitar kilang sejak lebih 20 tahun lalu. Antara spesies di kawasan sekitar termasuklah lembu Heck, kuda Exmoor, dan lebah selain pelbagai tumbuhan.

Pada 2002, kilang Leipzig memulakan operasi sebagai pusat pengeluaran kedua Porsche selepas Stuttgart. Kini, kilang Leipzig menjadi pemacu penting dalam ekonomi di Jerman tengah, lebih 4,600 pekerja membina Macan dan Panamera di sini.

Kilang Porsche Leipzig juga merupakan pusat kepada Porsche Experience Centre dengan litar dan laluan off-road bertaraf FIA.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved