fbpx

Audi Q8 e-tron edition Dakar tampil rugged

Audi Q8 e-tron edition Dakar

Audi akan menyahut cabaran Dakar Rally tahun ini dengan RS Q e-tron yang direka khusus untuk kejohanan itu. Sebagai tanda meraikan penyertaannya, syarikat itu telah memperkenalkan Q8 e-tron edition Dakar yang diinspirasikan daripada jentera rali itu.

Menurut Audi, hanya 99 unit edisi Dakar ini akan dihasilkan. Tempahan untuknya akan dibuka pada suku pertama tahun ini dengan harga bermula dari 120,000 euro (RM608,211) di Jerman.

Q8 e-tron edition Dakar diasaskan dari varian Q8 advanced 55 e-tron quattro. Ia dilengkapi dengan bateri 114 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 487 km, dan sistem pacuan quattro dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan 402 hp (300 kW) dan 664 Nm.

Dengan tayar standard, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat. Bagaimanapun, dengan tayar all-terrain General Grabber AT3, Q8 e-tron edition Dakar mengambil masa 5.9 saat. Kelajuan maksimum dihadkan pada 200 km/j.

Biarpun penggunaan tayar berkenaan menjadikan SUV ini lebih perlahan, ia memberikannya ruang lega tanah yang lebih tinggi (+31 mm) dan cengkaman yang lebih baik di atas permukaan berbatu atau salji.

Ia juga didatangkan standard dengan rak bumbung yang boleh menampung berat sehingga 40 kg. Rak ini disertakan sekali dengan beg dan tali pengikat untuk aksesori.

Dalam tetapan standard, Q8 e-tron edition Dakar menawarkan ruang lega tanah 260 mm. Ketinggiannya akan dikurangkan secara berperingkat apabila ia bergerak pada kelajuan lebih tinggi – 15 mm pada 85 km/j, 17 mm pada 100 km/j dan 13 mm pada 120 km/j.

Sementara itu, sudut pendekatan, ramp dan ketibaan masing-masing adalah 20, 26 dan 19 darjah. Ia juga mampu meredah air dengan kedalaman sehingga 300 mm.

Pembeli boleh mendapatkan beberapa kelengkapan yang ditawarkan secara opsyen, seperti set pelekat Dakar Rally, pakej pencahayaan ambien, sistem audio Bang & Olufsen dan cermin sisi maya.

Menariknya, setiap unit Q8 e-tron edition Dakar didatangkan dengan set tayar musim panas bersama rim V-spoke berukuran 20 inci.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved