fbpx

Honda bawa WR-V Field Explorer Concept, Accord e:HEV Sports Line ke TAS 2024

Honda WR-V Field Explorer Concept

SEPERTI biasa, acara Tokyo Auto Salon (TAS) menjadi ‘pentas’ untuk pengeluar kenderaan menunjukkan kereta-kereta modifikasi dan konsep mereka.

Untuk edisi 2024 yang akan berlangsung pada Januari depan, Honda akan mempamerkan beberapa model yang baharu yang telah diberi sentuhan segar. Antara model yang dimaksudkan adalah WR-V Field Explorer Concept dan Accord e:HEV Sports Line.

WR-V ini kelihatan sedikit berbeza dengan WR-V yang dipasarkan di Malaysia kerana ia berasaskan model Elevate yang dijual di India. Ia mempunyai ukuran yang lebih besar namun menggunakan enjin 1.5 liter NA yang sama. Model ini akan memasuki pasaran Jepun pada Mac 2024.

Field Explorer Concept ini menyerlahkan lagi sisi rugged WR-V menerusi penggunaan aksesori tulen Honda seperti gril baharu dengan tulisan HONDA (bukannya logo H), tiga lampu penanda LED seperti Ford F-150, lampu kabus berwarna kuning dan tint gelap pada lampu depan dan belakang.

Selain itu, terdapat juga aksen hitam yang menggantikan trim krom dan aluminium, rim hitam yang dibalut tayar off-road, skirt sisi dan rak bumbung.

Seperti namanya, Sports Line pula versi lebih sporty bagi Accord e:HEV baharu yang akan memasuki pasaran Jepun pada musim bunga tahun depan. Ia dilengkapi dengan komponen aerodinamik dalam warna hitam berkilat dan rim aloi berukuran 19 inci.

Accord e:HEV dikuasakan oleh trenkuasa hibrid yang terdiri daripada enjin kitaran Atkinson 2.0 liter empat silinder, dua motor elektrik dan transmisi jenis CVT.

Di samping dua model ini, Honda juga akan membawakan beberapa lagi hasil tangan mereka ke TAS 2024. Ini termasuk Civic Type R Mugen Gr.A dan Gr.B, serta lapan buah jentera lumba dari pelbagai kategori seperti Type R-GT dari Super GT Series dan Type R CNF-R.

Bukan itu sahaja, syarikat itu juga akan memperkenalkan sebuah jentera lumba berasaskan Civic bergelar “Joy Resistance” yang mempunyai pakej aerodinamik agresif dan trenkuasa hibrid.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved