fbpx

Mercedes-Benz 190E Evo II bakal dihidupkan semula – 100 unit sahaja, harga dari RM3.6 juta

HWA EVO restomod 01

Bagi peminat Mercedes-Benz, 190E Evo  II merupakan antara kereta paling legend pernah dihasilkan jenama itu. Namun dengan hanya kira-kira 502 unit dihasilkan, ia juga sangat rare dan jarang kelihatan di jalan raya. Mereka yang ternampak kelibat kereta ini boleh dikatakan seperti dapat melihat unicorn.

Bagi mereka yang telah lama berhajat untuk memiliki kereta ini, impian anda mungkin akan tercapai kerana sebuah syarikat kejuruteraan dan sukan permotoran dari Affalterbach iaitu HWA AG telah mengumumkan bahawa mereka akan memulakan projek restomod 190 Evo II.

Gambar oleh RM Sotheby’s

Dikenali sebagai HWA EVO, projek restomod ini sudah tentulah bukan unit asli yang dihasilkan dan dibina oleh Mercedes-Benz sendiri namun inilah benda terdekat kepada 190E Evo II sebenar yang anda boleh dapat.

Menurut HWA, mereka akan menggunakan model-model W201 sebagai asas untuk projek ini. Untuk menggunakan 190E Evo II yang asli adalah mustahil kerana seperti yang diperkatakan, ia sangat rare dan jika ada pun, harganya terlalu tinggi.

Lakaran teaser menunjukkan rekaan badan yang tidak jauh berbeza dengan kereta yang sebenar dengan dapra yang lebar dan spoiler gergasi pada bahagian belakang.

Bagaimanapun, HWA berkata mereka akan menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan trenkuasa, casis, brek, aerodinamik dan yang paling penting, ciri keselamatan.

Apa yang menarik, HWA EVO akan menjadi lebih sukar didapati berbanding 190E Evo II kerana hanya 100 unit akan dihasilkan dengan harga bermula dari 714,000 euro (RM3.6 juta) setiap satu. Unit-unit terawal dijangka akan diserahkan kepada pelanggan menjelang akhir 2025.

Untuk makluman, 190E Evo II dikuasakan oleh enjin Cosworth 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 232 hp pada 7,200 rpm dan 245 Nm dari 5,000 hingga 6,000 rpm, menjadikan ia model 190E yang paling berkuasa.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved