fbpx

Volkswagen Passat generasi kesembilan hanya boleh didapati dalam bentuk wagon

The new Volkswagen Passat Variant

PERCAYA atau tidak, Passat merupakan model paling laris Volkswagen dengan 34 juta unit terjual di seluruh dunia sejak ia diperkenalkan 50 tahun lalu. Ya, ia lebih popular daripada Beetle dan Golf.

Ini berita baik untuk peminat Passat kerana legasinya akan diteruskan dengan model generasi kesembilan (B9) yang telah diperkenalkan secara rasmi di peringkat global,

Bagaimanapun, ia akan ditawarkan dalam bentuk wagon sahaja kerana bentuk sedan telah pun dihentikan sepenuhnya.

Dikenali sebagai Passat Variant, model ini dibina menggunakan platform MQB evo yang turut digunakan oleh Golf Mk8 dan Tiguan generasi baharu yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Penggunaan platform ini menyaksikan saiz Passat Variant bertambah besar dengan ukuran panjang 4,917 mm (+144 mm), lebar 1,852 mm (+20 mm), tinggi 1,506 mm dan tapak roda 2,841 mm (+50 mm).

Dari segi penggayaan, Passat B9 dilihat lebih sejajar dengan model-model ID dengan rekaan lampu LED yang langsing pada bahagian hadapan, jalur lampu nyalaan siang pada bahagian gril dan lampu belakang yang melintang merentangi but.

Seperti biasa, penampilan luaran akan sedikit berbeza mengikut varian, dengan R-Line tampil lebih agresif dengan bukaan bampar yang lebih besar. Volkswagen akan menawarkan rim sehingga 19 inci dan lampu IQ.Light LED Matrix.

Ruang dalaman pula tampil lebih kemas dan teratur kerana kebanyakan suis dan tombol telah pun dibuang. Hampir semua fungsi kenderaan perlu diakses menerusi skrin sentuh berukuran 12.9 hingga 15 inci bergantung kepada varian.

Sementara itu, pemandu pula mempunyai kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci dan paparan head-up baharu yang dikatakan lebih besar berbanding sebelum ini.

Seperti ID.7 dan ID Buzz, tuil penukar gear kini dipindahkan ke bahagian kanan kolum stereng manakala pada bahagian kiri, terdapat tuil untuk lampu isyarat membelok dan pengelap cermin.

Pertambahan saiz luaran Passat Variant bukan sahaja memberikan ruang kaki yang lebih luas, malah ruang kargo turut meningkat sebanyak 40 liter kepada 690 liter. Jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya, anda akan mendapat ruang sebesar 1,920 liter, iaitu 140 liter lebih besar berbanding model terdahulu.

Di Eropah, Passat Variant akan ditawarkan dengan trenkuasa mild-hybrid petrol (eTSI), hibrid plug-in (eHybrid), turbodiesel (TDI) dan turbo petrol (TSI) – semuanya menggunakan transmisi DSG.

Versi eTSI menggunakan gabungan enjin 1.5-liter TSI evo2, bateri litium ion dan belt starter generator 48V, memberikannya 150 PS dan sistem penyahaktifan silinder.

Versi eHybrid pula menampilkan enjin TSI evo2 yang digandingkan dengan bateri berkapasiti 19.7 kWh. Pelanggan memilih dua versi kuasa iaitu 204 PS/350 Nm atau 272 PS/400 Nm.

Volkswagen mendakwa versi ini mampu memberikan jarak pandu elektrik sejauh 100 km. Lebih hebat lagi, ia boleh bergerak sejauh 1,000 km jika bateri dicas penuh dan tangki bahan api 45 liter diisi penuh.

Sementara itu, versi TDI dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TDI dengan tiga pilihan kuasa iaitu 122 PS, 150 PS dan 193 PS untuk versi 4Motion. Versi TSI pula mempunyai enjin 2.0-liter TSI yang menawarkan 204 PS atau 265 PS untuk versi 4Motion.

Passat Variant akan membuat penampilan sulungnya di pameran permotoran IAA Munich pada bulan ini dan dijangka memasuki pasaran bermula suku pertama 2024.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved