fbpx

Nissan Skyline Nismo – 1,000 unit untuk pasaran Jepun sahaja, harga dari RM252k

Nissan Skyline NISMO 01

BILA sebut sahaja Skyline, tiada model lain yang terlintas selain yang dua pintu itu. Jangan lupa bahawa Skyline sedan masih lagi wujud dan kali ini, ia telah dikemas kini dengan versi NISMO.

Menurut Nissan, hanya 1,000 unit Skyline NISMO akan ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Jepun. Daripada jumlah itu, sebanyak 100 unit merupakan edisi yang lebih eksklusif iaitu Skyline NISMO Limited.

Apa yang menjadikan model ini lebih istimewa berbanding versi standard? Pertama sekali, enjin VR30DDTT 3.0-liter twin-turbo V6 telah ditala oleh jurutera yang sama yang terlibat dalam pembangunan enjin kelas perlumbaan GT500.

Hasilnya, kuasa yang dihasilkan meningkat dari 405 PS dan 475 Nm kepada 420 PS dan 550 Nm. Ia disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan yang dikatakan mempunyai tindak balas yang tajam terutamanya dalam mod Sport dan Sport+.

Selain itu, Skyline NISMO juga didatangkan dengan rim aluminium Enkei berukuran 19 inci yang bukan sahaja lebih lebar tetapi juga lebih ringan dan kukuh. Ini meningkatkan tindak balas stereng serta sentuhan permukaan yang lebih besar.

Sistem suspensi turut dinaik taraf menerusi penggunaan stabilizer bagi mengurangkan olengan badan ketika membelok dan mengekalkan cengkaman pada permukaan yang tidak rata.

Pad brek pula menampilkan material yang lebih tahan panas, manakala sistem ABS ditala semula bagi memberikan jarak brek yang lebih dekat. NISMO juga menggunakan bahan pelekat daripada GT-R NISMO pada cermin depan dan belakang untuk meningkatkan ketegaran badan tanpa meningkatkan berat keseluruhan kereta.

Dari segi penampilan, Skyline NISMO boleh dibezakan menerusi bampar NISMO pada bahagian hadapan dan belakang, skirt sisi dengan aksen merah, lampu kabus NISMO dan juga logo divisyen sukan permotoran Nissan itu.

Bukaan pada gril dan bentuk lubang aliran udara direka semula untuk penyejukan yang lebih baik serta mengurangkan rintangan udara.

Ruang dalaman boleh dikatakan hampir serupa dengan varian 400R, dengan penambahan barang-barang NISMO termasuk stereng bertanda merah, speedometer dengan bacaan sehingga 280 km/j, gelang merah pada tachometer dan juga logo NISMO. Turut disertakan adalah tempat duduk Recaro berwarna hitam merah yang dibaluti upholsteri suede.

Skyline NISMO Limited merupakan model eksklusif yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-60 model Skyline GT S54A-1. Ia tampil dengan rim dalam warna matte gunmetal, plak istimewa dengan maklumat terperinci individu (takumi) yang membina enjin tersebut, plak nombor siri pengeluar serta logo unik.

Di Jepun, Skyline NISMO dijual pada harga 7,880,400 hingga 8,470,000 yen (RM252,004 hingga RM270,859), mnakala Skyline NISMO Limited pula berharga 9,479,800 yen (RM303,151).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved