Raja baru di Nurburgring! Mercedes-AMG One lapan saat lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS

MERCEDES-AMG One telah membuat pusingan terpantas di Litar Nurburgring dengan catatan masa 6 minit 35.183 saat.

Catatan masa ini adalah lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS dengan pakej Manthey Racing yang mencatatkan pusingan 6 minit 43.0 saat, perbezaan sebanyak 7.817 saat.

Ini bermakna Mercedes-AMG One kini merupakan raja terbaharu di litar sepanjang 20.8km dengan jolokan nama The Green Hell itu.

Cubaan rekod pada 28 Oktober itu walaubagaimanapun menghadapi beberapa cabaran. Semasa mereka memulakan pemanduan, masih terdapat beberapa kawasan lembap di litar, termasuk di ‘racing line’ sesetengah sektor.

Semasa keadaan bertambah baik, pasukan Mercedes mempunyai masa kurang dari sejam sebelum slot mereka tamat. Pemandunya, Maro Engel hanya sempat membuat empat pusingan.

Engel telah pun mencipta rekod baharu sebelum masa tamat, tetapi keadaan litar masih sedang bertambah baik. Dia keluar untuk satu lagi pusingan terakhir dan berjaya mencatat masa lebih pantas.

“Saya tidak menjangkakan dapat mencatat masa sepantas itu dengan keadaan litar sebegini. Di beberapa kawasan penting, ia belum benar-benar kering, jadi agak sukar. Ianya satu cabaran unik,” kata Engel.

Mercedes juga telah melantik pakar untuk memastikan kereta yang digunakan merupakan spesifikasi produksi. Setup pada AMG One itu termasuklah angka camber pada suspensi supaya tayar berada pada tahap toleransi maksima.

Mercedes berkata pemilik biasa pun boleh menala kereta mereka seperti jentera yang digunakan untuk rekod itu.

Mercedes-AMG One dipacu oleh enjin 1.6-liter V6 dari Formula 1 dengan empat motor elektrik dan menjana 1,049hp.

Ia mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat dan mencapai 200km/j dalam 7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 352km/j.

Semasa di Nurburgring, Engel berjaya memandu One hingga mencapai 338km/j di bahagian lurus Döttinger Höhe.

2 thoughts on “Raja baru di Nurburgring! Mercedes-AMG One lapan saat lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS”

  1. I may need your help. I tried many ways but couldn’t solve it, but after reading your article, I think you have a way to help me. I’m looking forward for your reply. Thanks.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *