fbpx

MAN Malaysia tawar casis bas elektrik eBus bermula 2023

MAN eBus Chassis

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) dan Gemilang International Limited (GML) baru-baru ini mempertontonkan casis MAN eBus buat pertama kalinya di Malaysia.

Casis bas elektrik itu membuat kemunculan pada majlis pratonton khas untuk pengendali bas dan pegawai kerajaan di ibu pejabat GML di Senai, Johor.

Bermula dari tahun 2023, MAN Malaysia akan menawarkan casis bas elektrik sepenuhnya dengan pelepasan karbon sifar bersama dengan casis konvensional yang dikuasakan oleh enjin Euro V.

Untuk pasaran Malaysia, casis MAN eBus boleh didapati sebagai kenderaan dua gandar dengan lantai rendah (LF) yang sesuai untuk pengangkutan awam bandar.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik dengan kuasa berterusan 160 kW dan tork maksimum 2,100 Nm, dipadankan dengan kotak gear kelajuan tunggal.

Dengan bekalan elektrik sama ada daripada bateri 4 pek 320 kWj atau 6 pek 480 kWj berteknologi NMC (lithium-nikel-mangan-kobalt), casis MAN eBus mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 350 km dengan sekali cas.

Pengarah Eksekutif GML, Pang Jun Jie dan Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks

Pengarah Urusan MAN Malaysia Andrew O’Brooks yakin bahawa casis MAN eBus, dengan fleksibiliti dan prestasi yang telah terbukti, akan menjadi platform yang sempurna untuk pengendali bas Malaysia beralih kepada mobiliti elektro.

Tambah O’Brooks, MAN Malaysia merancang untuk memasang casis MAN eBus secara tempatan bagi menjadikan harganya lebih kompetitif.

“Dengan program pemasangan tempatan (CKD), kami menjangka bas elektrik akan mencapai sekurang-kurangnya 20% daripada jualan keseluruhan bas MAN di Malaysia menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, Pang Chong Yong, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gemilang International berkata syarikat itu teruja dengan pengenalan casis MAN eBus di Malaysia.

“GML adalah salah satu syarikat pertama di Asia Tenggara yang memasang bas elektrik dan kami berkongsi matlamat yang sama dengan MAN dalam mengurangkan pelepasan karbon. Kami komited untuk membangunkan badan bas aluminium yang paling tahan lama, ringan, mesra alam dan kos efektif bagi casis MAN yang menggunakan teknologi terkini.

Selain mempunyai casis sifar pelepasan karbon, sama penting adalah penghasilan badan bas berkonsep hijau dalam mengeluarkan kenderaan mesra alam secara keseluruhan. Bersama-sama, kami berharap dapat meneraju Malaysia dan seluruh rantau ini ke arah masa depan yang lebih bersih, tenang dan selamat,” katanya.

MAN Malaysia juga akan menawarkan perkhidmatan perundingan emobiliti 360° khusus pelanggan kepada syarikat-syarikat yang merancang untuk beralih ke elektro mobiliti.

Perkhidmatan eksklusif dari Penyelesaian Pengangkutan MAN meliputi semua faktor penting untuk peralihan yang berjaya seperti analisis pelbagai dan penggunaan, analisis rangkaian, konsep infrastruktur, pengisian dan konsep tenaga, peralihan armada pengangkutan dan perkhidmatan serta latihan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved