fbpx

BMW Z4 sDrive30i M Sport facelift dilancarkan di Malaysia – RM509k

01. The New BMW Z4 sDrive30i M Sport – San Francisco Red

BMW Malaysia telah mengumumkan pelancaran BMW Z4 versi facelift yang kini memperlihatkan penampilan yang lebih segar serta kelengkapan baharu.

Ditawarkan dalam varian sDrive30i M Sport, jentera roadster ini dijual pada harga RM508,800 termasuk waranti tanpa had perbatuan untuk lima tahun dan program servis berjadual percuma.

Dari segi penampilan, kerangka gril ‘kidney’ Z4 masih mengekalkan geometri yang sama namun strukturnya kini diberi sentuhan lebih menarik menerusi garisan-garisan melintang pada rekaan mesh.

Selain itu, saluran udara sisi turut diperbaharui, manakala pakej Shadowline M berglos tinggi kini disertakan secara standard. Ia kemudian disudahi dengan set roda aloi ringan dwiruji M dalam saiz 19 inci.

Di samping tawaran warna luaran yang sedia ada iaitu Alpine White, Black Sapphire dan San Francisco Red, Z4 kini boleh didapati dalam tiga warna baharu iaitu Skyscraper Grey, Thundernight Metallic dan Portimao Blue.

Untuk ruang dalaman, ia telah dikemas kini dengan kemasan trim bermaterialkan Aluminium Mesheffect. Tempat duduk dibalut upholsteri kulit Vernasca dalam warna hitam dengan sulaman hitam, Ivory White dengan sulaman hitam, Magma Red dengan sulaman hitam, atau Cognac dengan sulaman hitam.

Kelengkapan masih sama seperti sebelum ini dan ia merangkumi papar pandu (head-up display), Bantuan Parkir, BMW Live Cockpit Professional, kerusi M Sport untuk pemandu dan penumpang depan.

Trenkuasa juga tidak berubah, dengan Z4 sDrive30i M Sport masih dikuasakan oleh enjin pengecas turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 258 hp dan 400 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan.

Tidak cukup dengan itu, jentera ini juga didatangkan standard dengan sistem suspensi Adaptive M dan brek M Sport.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved