fbpx

Porsche serah 221,512 kenderaan dalam tempoh 9 bulan pertama 2022

porsche models

NAMPAKNYA permintaan untuk kereta Porsche masih lagi kukuh. Dalam tiga suku pertama tahun 2022, mereka berjaya menyerahkan sebanyak 221,512 unit kenderaan kepada pelanggan di seluruh dunia. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan jualan paling ketara dicatatkan di Eropah, di mana Porsche menyerahkan 42,204 kenderaan antara Januari dan September – 11 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Di Jerman, 20,850 pelanggan menerima kenderaan mereka (+9 peratus) manakala di pasaran tunggal terbesar Porsche iaitu China, sebanyak 68,766 kenderaan diserahkan kepada pelanggan, turun 1 peratus.

Di pasaran Amerika Utara pula, Porsche mencatatkan 56,357 penyerahan, menunjukkan penurunan sebanyak 4 peratus. Ini diakibatkan oleh cabaran logistik, terutamanya pada suku pertama.

Dengan penyerahan mencecah 66,769 unit, Cayenne kekal sebagai model Porsche yang paling popular. Di tangga kedua adalah Macan, yang mencatatkan sebanyak 59,604 penyerahan.

Sementara itu, kereta sport ikonik iaitu 911 mencatatkan peningkatan sebanyak 9 peratus dengan 30,611 penyerahan. Panamera pula telah diserahkan kepada 25,452 pelanggan.

Penghantaran seluruh dunia untuk Taycan mencecah 25,073 unit, 12 peratus lebih rendah disebabkan isu berkaitan rantaian bekalan dan ketersediaan alat ganti yang berkurangan. Untuk model 718 Cayman dan 718 Boxster pula, sebanyak 14,003 unit diserahkan.

“Kami telah berjaya meningkatkan jumlah penghantaran kami dalam sembilan bulan pertama tahun ini – walaupun menghadapi pelbagai cabaran,” kata Detlev von Platen, Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran di Porsche AG.

“Populariti Porsche sebagai jenama mewah moden, serta produk kami, adalah sama tinggi di setiap benua. Pada masa yang sama, kami masih bimbang tentang pengehadan bekalan alat ganti, yang boleh memberi kesan kepada masa menunggu pelanggan,” tambah beliau.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved